Masih terakam kemas dalam memori saya sewaktu merakamkan sesi fotografi ini untuk keluaran InTrend edisi April 2016. Ya, hampir empat tahun sudah berlalu tetapi kenangan ini pastinya tersemat sebagai tanda ingatan istimewa warga InTrend bersama Allahyarham Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey atau lebih dikenali sebagai Abam.

Petang itu kumpulan Bocey tiba sedikit lewat kerana perlu menyudahkan sesi raptai Maharaja Lawak Mega (MLM) 2016. Bertempat di Yipieyaya Studio, riuh-rendah bagaikan gegak gempita apabila beberapa nama besar pelawak tersohor berkumpul demi merealisasikan fotografi ruangan Khas Gaya Hidup bertemakan Genius Komedi. Antaranya Rahim (Sepah) Ebby Yus, Douglas Lim, Jalil Hamid, Zulin Aziz, Sherry Alhadad dan Lan Pet Pet. Mengimbas kembali gelagat Abam sepanjang sesi fotografi berlangsung, dia tidak lekang dengan senyuman dan tutur bicara yang penuh hemah. Masih terngiang-ngiang di minda ketika arwah menyapa saya yang sarat hamil tujuh bulan waktu itu. “Kak okey kak?” soalnya kerana sekali-sekala melihat saya mengusap pinggang. “Okey Abam. Sikit aje lagi ni”. Sambungnya pula, “Tapi perut akak tetap tak boleh lawan saya,” ujarnya berseloroh lalu disambut dengan ketawa saya berdekah-dekah.

Walaupun tidak mengenali dengan rapat, tetapi meluangkan masa dan ketika menemu bual di telefon; kemesraan itu bagaikan mudah terjalin. Seperti sudah kenal lama serasanya. Mungkin itu juga kelebihan arwah. Menyenangkan dan bisa membuatkan kita selesa dengannya. InTrend kongsikan bingkisan kata-kata arwah dan rakan seangkatan yang ditinggalkannya, Fad dan Achey buat tatapan semua. Titipkan juga rampaian doa dan surah Al-Fatihah buat arwah, moga sejahtera hendaknya dia bersama Pencipta.
Kredit Foto: InTrend Malaysia


Jika bukan pelawak, kalian adalah?
Fad: Saya mungkin kekal sebagai operator bahagian khidmat pelanggan di TNB Johor.
Abam: Saya akan bekerja sendiri (tukang masak , berniaga) kerana sebelum itu saya diberhentikan kerja sebagai Juruteknik kerana mematahkan tiga tangga.
Achey: Saya akan meneruskan kerja sebagai mekanik kereta di bengkel selain menjalankan tanggungjawab sebagai suami sepenuh masa.


Sejak bila dan bagaimana kalian menyedari punya bakat untuk melawak?
Achey: Pada saya ia adalah bakat atau anugerah Allah. Malah apa yang saya perhatikan dalam Bocey, masing-masing mempunyai karakter yang tersendiri dan saling melengkapi. Fad dengan karakternya tersendiri dan begitu juga dengan Abam.


Kredit Foto: IG Abam


Adakah kalian mewarisi sifat-sifat humor atau dikelilingi oleh mereka yang fun and funny dalam hidup?
Fad: Daripada segi keluarga tiada kerana saya adalah yang paling kelakar dalam keluarga.
Achey: Adik-beradik saya ramai, (10 orang kesemuanya, tujuh lelaki dan tiga perempuan). Dan boleh dikatakan ahli keluarga saya masing-masing ada sense of humor yang tersendiri. Secara tidak langsung saya terdidik dengan jenaka yang ada pada mereka. Bapa saya juga kelakar orangnya begitu juga dengan bapa mentua. Faktor pergaulan bersama rakan-rakan juga turut sama menyumbang. Ibaratnya saya hanya penyampai jenaka daripada senda gurau orang sekeliling saya.
Abam: Keluarga saya boleh dikatakan hampir semuanya kelakar. Baik adik, pakcik mahupun emak saya. Pernah suatu hari Emak saya berikan punch line hingga polis tidak jadi mahu saman. Tetapi saya bukan mewarisi sense of humor daripada keluarga kerana sememangnya sifat saya adalah seorang yang pemalu.


Ceritakan kepada kami kehidupan ketika zaman persekolahan. Adakah anda dikenali sebagai seorang ceria dan sentiasa menghiburkan atau pendiam mungkin?
Abam: Zaman sekolah dahulu saya seorang pelajar yang pemalu. Saya juga adalah anak emak yang manja dan pemalu. Saya takut untuk berhadapan dengan masyarakat kerana bentuk fizikal saya. Malah dahulu saya pernah diejek sehingga membuatkan saya rasa mahu memotong perut sendiri. Tetapi selepas berjumpa Abang Afdlin segalanya berubah. Dan saya banyak terhutang budi dengannya kerana dialah individu yang bertanggungjawab mencungkil potensi sebenar dalam diri saya. Dia yang banyak membantu supaya saya lebih berani dan yakin walaupun dengan bentuk fizikal seperti ini.
Fad: Seperti Abam, saya juga adalah seorang pelajar yang pemalu dan pendiam ketika zaman persekolahan. Tetapi selepas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) saya disuruh berdiri di hadapan ribuan peserta lain menceritakan mengenai sekolah saya. Daripada situlah saya mula belajar bercakap di hadapan khalayak ramai dan berlajar bagaimana untuk mencipta satu suasana yang kelakar.


Kredit Foto: IG Fad Bocey


Mengapa memilih medium pertandingan untuk mengetengahkan bakat melawak?
Abam: Saya pernah menyertai Raja Lawak 6 bersama adik, Ali. Kami menamakan kumpulan kami sebagai Albob. Ceritanya saya dipaksa untuk hadir ke uji bakat bersama adik. Saya pemalu dan takut untuk tampil ke hadapan dan bercakap, tetapi dia yang sebenarnya beria-ia mahu menyertai pertandingan tersebut. Sudahnya, kami tersingkir dan dia masih lagi tidak berputus asa. Hinggalah kami menyertai Bintang Mencari Bintang (terbitan TV3 pada 2013). Mulanya kami hadir ke uji bakat berdua tetapi selepas berjumpa dengan Abang Afdlin, kami dipisahkan dan saya bergandingan bersama Fad. Adik saya pula disatukan dengan orang lain. Secara peribadi, saya dan Fad sudah mengenali antara satu sama lain sejak Raja Lawak 6. Ketika itu saya bersama kumpulan Albob manakala Fad di dalam kumpulan Selak.
Achey: Sebenarnya saya pernah cuba menyertai pelbagai pertandingan antaranya Mentor dan banyak lagi. Bukan bermaksud saya tidak kenal erti putus asa tetapi kerana minat, saya terus mencuba. Asalkan ia berupaya menganjakkan dan membawa perubahan kepada diri, saya akan teruskan. Hinggalah akhirnya percaturan Allah, saya terpilih menyertai Bintang Mencari Bintang (BMB) 2013. Saya berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada sifu saya, iaitu Allahyarham Harun Salim Bachik dan terus berguru dengannya hingga ke akhir hayatnya.


Individu yang bertanggungjawab membawa kalian ke dunia komedi?
Achey: Sudah semestinya Allahyarham Harun Salim Bachik. Malah penyertaan Bocey buat kali pertama dalam MLM 2013 sebenarnya atas sokongan daripada kumpulan Boboi, iaitu Allahyarham Harun Salim Bachik dan Abang Afdlin sendiri.


Memandangkan sebelum ini, kalian terdiri daripada dua entiti berbeza (Achey sebagai peserta solo) dan Bocik (berkumpulan). Bagaimana timbulnya chemistry hingga tertubuhnya Bocey seperti hari ini?
Achey: Sejak BMB lagi kami bertiga sudah rapat dan mengenali antara satu sama lain. Walaupun saya peserta solo dan Fad bersama Abam berkumpulan, keserasian itu mula timbul kerana kami banyak meluangkan masa bersama. Dalam masa sama kami menyimpan angan-angan mahu muncul sebagai satu kumpulan dan ingin menyertai MLM. Dan mungkin ketika itu, arwah dan Abang Afdlin mempunyai ruang untuk membawa kami ke MLM. Maka peluang tersebut kami ambil dan manfaatkan sebaik mungkin.
Fad: Waktu BMB kami banyak meluangkan masa misalnya lepak dan makan bersama. Daripada situ saya lihat tiada masalah jika Achey tampil menyertai saya dan Abam kerana karakter dirinya sendiri mudah didekati dan difahami. Jenakanya pula boleh di selarikan dengan cara kami berlawak. Apabila kamu duduk berborak, timbullah angan-angan, “Eh, apa kata suatu hari nanti kalau ada peluang kita masuk MLM sebagai satu kumpulan,” dan Alhamdulillah angan-angan itu menjadi kenyataan hingga tertubuhnya Bocey seperti yang anda kenali hari ini.


Strategi kalian untuk memastikan kekal maintain sebagai sebuah kumpulan lawak kerana kita sedia maklum bukan mudah bagi sebuah kumpulan untuk mengekalkan momentum mereka hingga kini?
Abam: Kami mementingkan tolak ansur sesama sendiri. Jangan ikut kepala sendiri dan jika ada apa-apa masalah kami akan berterus terang dan berbincang. Bagi saya apa jua yang dilakukan berpaksikan kepada niat. Jika niat mahu bangkit bersama-sama teruskanlah.


Kredit Foto: IG Fad Bocey


Drama atau filem yang menampilkan watak kalian sebagai pelawak?
Abam: Filem Kawan Aku Mati Dalam Rumah Sewa pada 2014. Ia adalah filem pertama yang menampilkan lakonan kami bertiga.


Menarik dan apakah cabaran komedi daripada kaca mata Bocey?
Abam: Pada saya cabarannya bukan bagaimana untuk menaikkan nama agar dikenali tetapi bagaimana untuk memastikan anda kekal atau maintain. Hampir empat tahun Bocey dalam industri dan dunia komedi, Alhamdulillah kami masih kekal hingga ke hari ini.
Fad: Apa yang mencabar adalah komedi atau jenaka menuntut kami melakukan pembaharuan. Mencari sesuatu yang baru dan segar untuk tontonan umum. Jika kita masih berada di takuk lama, ia sukar untuk berubah. Dalam Bocey, kami akan cuba memastikan ada kelainan di tampilkan dalam setiap cabang persembahan. Dan yang menariknya dunia komedi adalah kita mampu menghiburkan atau menceriakan orang ramai. Waima kami sedang berduka sekalipun, apabila melihat dan mendapat reaksi penonton yang gembira dan terhibur, kami turut sama gembira. Dalam masa sama pada saya, menariknya komedi adalah ia membuatkan kami sebagai pelawak dekat dengan masyarakat.


Kredit Foto: IG Acheykintangkintung


Signature lawak Bocey, kongsikan?
Achey: Kami dikenali dengan lawak ala-ala ping pong style. Apabila kena sahaja pada seseorang, masing-masing akan smash. Fizikal pula memang tidak lari daripada signature kami. Abam dengan killing impact, fizikal dan kata-katanya. Manakala Fad pula kekuatannya terletak bagaimana dia memegang sketsa itu. Dan saya dengan kelantangan suara. Itu adalah sebahagian daripada maklum balas yang kami peroleh juga berdasarkan pemerhatian kami sepanjang hampir empat tahun bersama.


Jika ada yang mempertikaikan kelantangan dan suara Achey yang nyaring, komen Achey?
Achey: Jujurnya saya akui memang ada menerima komen sedemikian. Tetapi saya mengambilnya daripada sudut yang positif. Pada mulanya rasa kecewa dan sedih juga apabila menerima komen-komen sedemikian. Tetapi selepas mendapat reaksi positif daripada Dato’ AC Mizal mengenai kelantangan suara ini, katanya, “Engkau teruskan sahaja sebab inilah diri kau. Lama-kelamaan orang ramai boleh terima dan tidak ramai yang ada bakat suara lantang macam kau,”.
Kredit Foto: InTrend Malaysia


Kali pertama mengadakan persembahan pentas, apakah perasaan kalian dan bagaimana dengan sambutan penonton?
Abam: Ketika itu kami adakan persembahan di Johor Bharu. Ia dilakukan secara terbuka dan rasa gugup itu tidak pernah hilang. Takut pun ada kerana jika hilang idea, entah apa yang harus dilakukan. Tetapi untungnya bertiga atau berkumpulan, sekiranya salah seorang daripada kami hilang idea, ada dua orang yang akan bantu. Tetapi kalau ketiga-tiga lost, lebih baik turun sahaja pentas, hahaha…


Pendekatan yang kalian ambil jika dikecam peminat atau menerima feedback di laman sosial?
Fad: Sebenaranya golongan haters sentiasa ada di mana-mana dan bukan sahaja berlaku kepada Bocey malah sesiapa jua dalam industri ini. Tetapi kami sentiasa melihat kumpulan penonton atau peminat yang sentiasa memberikan sokongan. Namun ia tidak bererti kami tidak mengambil perhatian daripada komen-komen negatif sebaliknya jika ia kritikan yang membina dan positif kami akan perhalusi dan teliti.
Achey: Apabila sesuatu perkara terjadi, kami lebih melihat kepada punca kritikan tersebut. Orang ramai kadang kala tidak faham, apa yang kami persembahkan itu sebenarnya memerlukan kami mengenepikan apa jua masalah yang kami ada. Sakit demam, masalah keluarga dan sebagainya semua ditolak tepi demi memberikan fokus kepada persembahan. Contoh dan realiti yang berlaku kepada Abam sewaktu pementasan Lawak Ke Der di Istana Budaya. Mungkin ada yang tertanya mengapa watak Abam sering duduk sahaja. Sedangkan sebenarnya dia terpaksa duduk kerana kakinya bengkak akibat terjatuh sewaktu melakukan penggambaran Karoot Komedia sebelum pementasan itu. Dan kami sebagai sebuah kumpulan perlu memikirkan dan mencari solusi terbaik agar kesakitannya tidak merencatkan persembahan. Tetapi dek kerana ramai yang terhibur dengan sketsa dan persembahan kami, mereka tidak perasan. Orang tidak pandang malah mungkin ada yang tidak tahu kesakitan Abam. Apa yang mereka mahukan adalah, ‘Ok, aku dah bayar tiket untuk tonton persembahan dengan harapan gaar terhibur’. Dan menjadi tugas kami untuk menyempurnakan sehabis baik.


Kredit Foto: InTrend Malaysia


Kini masyarakat sanggup berbelanja semata-mata untuk berhibur atau ketawa sahaja. Dan kalian; mahu atau tidak perlu lunaskan tanggungjawab ini. Apa komen kalian jika ada yang mengandaikan, “Alah, buat sahaja, asalkan duit masyuk”…
Achey: Pada saya, duit yang di perolehi adalah hasil daripada kerja kami. Apabila berbicara mengenai kerja ia adalah simbolik kepada tanggungjawab. Menjadi tugas kami untuk pastikan orang terhibur dengan apa yang kami sampaikan. Dan jika orang tidak ketawa sekalipun, kami akan cuba sedaya upaya pastikan mereka terhibur.
Fad: Setiap apa yang orang ramai sudah bayar semata-mata untuk menonton persembahan kami akan kami pastikan ia berbaloi dan setimpal. Kerana ia menjadi tugas dan tanggungjawab kami untuk memastikan penonton yang datang berpuas hati dengan apa yang kami sajikan. Kami meletakkan diri sebagai penonton. Dan sebaagi penonton sudah pastinya mereka mahu lihat apa yang sudah dibayar setimpal dengan apa yang dipersembahkan.
Abam: Bagi saya cukup mudah, saya mahu perjalanan karier bertahan dalam jangka masa yang panjang. Jika saya tidak berikan yang terbaik untuk orang bayar saya, mungkin akan datang orang (pihak produksi, pengarah dan individu belakang tabir) tidak akan memilih saya atau mahu mendapatkan khidmat saya lagi. Itu adalah satu tanggungjawab untuk pastikan mereka berpuas hati dengan apa yang sudah dibayar. Malah sekiranya kami memandang isu ini sambil lewa, Bocey tidak akan pergi lebih jauh.


Memandangkan kalian masih baru dalam lapangan komedi, pasti banyak perkara yang mahu dipelajari dan diperbaiki bukan? Kongsikan?
Achey: Bagi saya, Bocey memperbaiki mutu persembahan atau kualiti jenaka berdasarkan pengalaman yang telah dilalui sebelum ini. Dan ada kalanya, kami akan dapatkan pandangan daripada orang sekeliling yang sentiasa melihat pergerakan atau perkembangan kami misalnya Dato’ AC Mizal, Abang Afdlin dan jika dahulunya arwah Abang Harun. Malah sahabt-sahabat seperjuangan dan rakan-rakan komedi terdekat pun faham permainan Bocey di pentas komedi.


Sukar atau tidak menempatkan diri agar dikenali seperti hari ini?
Achey: Pada pengamatan orang mungkin senang tetapi sebenarnya cukup sukar. Jalan yang kami tempuh bukanlah mudah dan singkat. Tetapi berbekalkan semangat tidak kenal erti putus asa kami meneruskannya hingga kini. Masih segar dalam ingatan saya sewaktu penyertaan Bocey di MLM 2013, undian untuk Bocey sering menduduki tangga paling corot. Sama ada di tangga terakhir atau kedua terkahir dan tidak pernah menduduki kelompok atas. Tetapi apa yang kami persembahkan tetap mempunyai nilai dan mampu memberikan saingan kepada kumpulan lain.


Pelawak juga perlu melakukan research/homework terlebih dahulu supaya lebih peka dan tidak menyentuh sensitiviti sebelum memulakan persembahan. Sebagai penghibur profesional pasti kalian punya pendekatan tersendiri, kongsikan?
Fad: Kami lebih mengambil pendekatan dengan melihat kembali pengalaman lalu dan pergaulan selain pemerhatian terhadap apa jua yang berlaku di sekeliling. Kami sentiasa peka dengan apa yang berlaku, mengambil tahu apa yang terkini dan viral misalnya kerana ia banyak membantu dalam menyuntik sesuatu yang baru dalam persembahan. Malah dalam masa sama, ia akan membuatkan penonton berasa lebih dekat dengan kami kerana kami mengambil pendekatan melihat realiti yang berlaku dalam kehidupan seharian.


Kredit Foto: InTrend Malaysia


Komen Abam apabila bentuk fizikal sering menjadi bahan senda gurau. Adakah ia dianggap sebagai cara paling mudah untuk menarik perhatian penonton?
Abam: Bocey tidak menjadikan bentuk fizikal saya sebagai subjek utama dalam keseluruhan persembahan. Ia lebih menjurus kepada selingan semata-mata. Bergantung kepada jalan cerita yang kami cari, cipta dan olah; bentuk fizikal saya hanya akan disuntik sebagai penambah perasa sahaja. Tidak lebih daripada itu. Bagi saya dalam sketsa, bahan membahan itu perlu supaya jalan cerita yang dipersembahkan tidak hambar. Dalam masa sama, ia juga perlu dieksploitasi dengan bijak supaya tidak menampakkan jenaka tersebut terlalu murah dan kosong.


Kalian adalah generasi pelawak baru. Pasti memikul cabaran tersendiri bukan? Pernah merasa tertekan atau menyesal memilih ini sebagai profesyen?
Abam: Tidak pernah sekalipun kami menyesal memilih jalan ini sebagai karier untuk mencari rezeki. Cuma stress mencari idea adalah, hahaha…
Achey: Tertekan dalam mencari idea dan bahan untuk dipersembahkan itu memang kami tidak dapat lari apatah lagi perlu menghasikan sesuatu yang baru dan memastikan penonton tidak bosan. Jenaka juga tidak boleh diulang pakai dan ia perlu dekat dengan penonton.


Kebelakangan ini adalah waktu puncak kemasyhuran atau kebangkitan cabang lawak. Bersediakah anda jika komedi akan melalui zaman turun naiknya suatu hari nanti?
Achey: Komedi mempunyai cabang yang luas. Pada saya Bocey boleh pergi atau mencuba rentak di radio, bidang pengacaraan, lakonan atau menceburi bidang kewartawanan seperti bekerja di InTrend, hahaha… Kita boleh menjalankan perniagaan dan banyak sebenarnya bidang yang boleh diterokai. Selagi mempunyai ruang dan peluang dalam industri, insya Allah kami akan terus bertahan.
Fad: Zaman turun naik ini bukan sahaja berlaku dalam dunia komedi tetapi juga kepada bidang lain misalnya penyanyi yang ada musim atau zaman kegemilangannya. Pada saya kami perlu bersedia baik aspek fizikal dan mental untuk menghadapi pelbagai kemungkinan atau mencari satu lagi cabang untuk meneruskan karier. Tidak kira apa jua cabang, kami masih mencari. Ia umpama roda, kadang kala di atas dan begitu juga sebaliknya. Kita perlu redha dan apa yang penting adalah persediaan secukupnya. Seperti kata Achey, jika ada kekosongan di InTrend, why not? Because I can speak English very well, hahaha…


Idola yang memberi sumber inspirasi buat kalian?
Fad: Jika lokal saya menyanjungi bakat Abang Afdlin dan Pak Hamid Gurkha. Dan jika anda ingin tahu, saya sebenarnya meminati Yaasin Yahya. Sejak menyertai Raja Lawak 6 lagi, saya suka melihat aksinya ketika berlawak dipentas. Bersahaja dan kelakar. Manakala bakat antarabangsa pula saya meminati Jim Carrey.
Achey: Jika dunia komedi, tidak lain tidak bukan arwah Abang Harun. Dalam lakonan pula saya meminati Beto Kusyairy dan di peringkat antarabangsa, saya mengagumi bakat Edie Murphy.
Abam: Jika di luar saya meminati Adam Sandler dan dalam negara pencetusnya adalah Boboi (arwah Abang Harun dan Abang Afdlin). Dan antara sebab saya menyertai bidang komedi adalah kerana ingin menjadi seperti kumpulan Sepah.


Kongsikan kenangan dan pengalaman kalian bersama arwah Harun Salim Bachik dan Pak Yus (jika ada)
Achey: Arwah Abang Harun adalah yang paling rapat dengan kami bertiga sebenarnya. Dia seorang yang penyabar, pendiam dan seorang pengkritik yang sentiasa memerhatikan kami. Misalnya jika sketsa yang kami tampilkan berlainan dengan jalan cerita asal, dia akan menegur, “Eh, tadi bukan yang lain ke”? Bagi saya dia adalah kill yang menonjolkan sesuatu persembahan. Manakala arwah Pak Yus, dia sebenarnya rapat dengan semua orang. Pemergiannya benar-benar meninggalkan kesan kepada semua. Kami akrab malah dia juga rapat dengan isteri saya, sering bertanyakan khabar dan sering berhubung menerusi whatsapp dan menganggap isteri saya seperti adiknya.
Fad: Bak kata Achey, arwah Abang Harun memang mengenali kami bertiga. Dia tahu karakter kami walaupun di BMB saya dan Abam banyak menghabiskan masa dengan Abang Afdlin tetapi dia tahu sifat peribadi saya bagaimana dan mengetahui bagaimana pendekatan yang harus diambil untuk mewujudkan keserasian kami bertiga. Lain rasanya apabila kami menyertai MLM. Bermula pada 2013 dan 2014, arwah masih ada. Tetapi pada 2015 dan sewaktu melihat pementasan Lawak Ke Der tatkala Abang Afdlin muncul seorang diri, kami dapat rasai kekosongan dan ketiadaannya. Arwah Pak Yus pula, saya mengenalinya sejak Raja Lawak 6 lagi dan kami memang rapat. Dia adalah sifu kepada saya dan Abam. Arwah seorang yang pemurah dan sering mengambil berat tentang saya. Berkongsi pentas yang sama ketika MLM dan Juara Parodi malah sering berhubung hingga ke akhir hayatnya, kelibatnya sentiasa dirindui dan diingati. Dia juga ada meninggalkan pesanan yang akan saya pegang sampai bila-bila.


Kredit Foto: IG Artortoise


Harapan Bocey selepas ini dan ucapan kepada peminat?
Achey: Moga terus kekal dalam industri demi mencari rezeki buat keluarga. Harapan saya dapat kekal bersama Bocey hingga ke liang lahad, insya Allah.
Fad: Harapan saya agar Allah mempermudahkan jalan buat kami untuk terus kekal bersama dan kekal dalam industri. Harapan agar dapat terus menghiburkan orang ramai dan buat peminat yang sentiasa menyokong, setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan. Teruskan menyokong Bocey. Dan harapan saya, manalah tahu jika ada peluang dan ruang dalam InTrend, hahaha…
Abam: Harapan kami agar suatu hari nanti kami akan menjadi lagenda. Nama Bocey terpahat sebagai lagenda di Finas, hahaha… Moga kekal terus bersama.