gaya hidup
“Tudung Tersangkut Dalam Mesin. Saya Ingat Boleh Tarik, Lepas Tu Termasuk Tangan Sekali.” Norlisa
Pada segmen pertama, program Luar Biasa yang dihoskan Norman Hakim dan Shiha Zikir terdahulu berbicara dengan tetamu jemputan Umar Jai Kumar Abdullah, Ketua Bahagian Perkhidmatan Maklumat dan Analisa Pekerjaan Perkeso. “Sistem Insurans Pekerja (SIP) adalah jaringan keselamatan sosial untuk membantu pekerja yang yang kehilangan pekerjaan. Terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19 tahun lalu ramai dalam kalangan pekerja yang diberhentikan. Maka mereka boleh mengemukakan tuntutan untuk mendapatkan bantuan,” jelasnya.
Bantuan yang disalurkan dalam SIP adalah:
- Bantuan kewangan.
- Bantuan perkhidmatan pekerjaan.
- Bantuan latihan
Kredit Foto: Astro Prima
Program Return To Work (RTW) yang diuar-uarkan dalam episod sebelum ini terus membantu and melindungi pekerja atau orang berinsurans. Norlisa Idrus, salah seorang pekerja di bahagian parti filler Monex Timber Sdn Bhd menceritakan kembali detik cemas yang berlaku di tempat kerja yang akhirnya menyebabkan dia mengalami kecacatan kekal. “Tudung masuk dalam mesin. Saya ingat boleh tarik lepas tu termasuk tangan sekali. Dan bila tangan termasuk mesin, terputuslah,” kongsinya yang juga ibu kepada tiga orang anak.
Apabila disahkan doktor tangannya tidak dapat disambung dan terpaksa dipotong, “Saya cakap okey. Doktor pun hairan sebab mungkin setengah orang perkara ni tak dapat diterima dengan cepat. Tapi nak tak nak, saya kena terima. Saya pegang pada kata-kata ni, Allah takkan ambil sesuatu yang diluar kemampuan kita,” hurainya lanjut.Kredit Foto: Astro Prima
Penulis yakin tidak semua daripada kita punya kekuatan seperti Norlisa saat diuji seperti ini. Walaupun dia trauma tetapi berbekalkan semangat yang kuat, dia kembali bangkit. Cerita Pengurus Kes, Pejabat Perkeso Perak, Nurul Aishah Hassan semasa mengendalikan kes Norlisa pula, “Waktu saya berjumpa dengan Puan Norlisa, dia masih lagi trauma dan emosinya masih lagi belum stabil. Jadi kami hanya beri sokongan dari segi emosi dan akuinya masih belum bersedia untuk kembali bekerja ketika itu.” ulasnya lagi.Kredit Foto: Astro Prima
Buntu memikirkan apakah majikan masih menerimanya kembali bekerja dalam keadaan sedemikian, bagaimana dia boleh bekerja dan sebagainya; ujar Norlisa lagi Pengurus Kes Perkeso banyak membantunya. Beberapa bulan selepas kemalangan, barulah dia menghubungi Aishah menyatakan kesediaannya untuk kembali bekerja dan meminta bantuan agar perkara tersebut dipanjangkan kepada pihak majikan. “Waktu mula-mula tu memang trauma, ya lah sebab dah terkena dalam mesin. Dengar bunyi-bunyi mesin semua. Tapi lama-lama saya fikir sampai bila nak macam ni? Jadi saya kena lawan” kongsi Norlisa lagi.Kredit Foto: Astro Prima
Usai perbincangan dengan majikan, Pengurus Kes dan Norlisa telah disepakati ada tugasan yang sesuai dengan kondisi Norlisa kini. Tidak lagi mengendalikan mesin, dia cuma membantu melakukan kemasan akhir di bahagian parti filler. Dan semua ini berjaya dilakukannya selepas mendapatkan latihan, rawatan dan sesi terapi di Pusat Rehabilitasi Perkeso di Ayer Keroh Melaka. Menurut Pegawai Sumber Manusia Monex Timber Sdn Bhd, Salmah Darus; “Norlisa dapat menyesuaikan keadaan dan diri dia dengan baik. Hari pertama dia bekerja, saya nampak dia bersemangat macam biasa,” jelasnya lagi.Kredit Foto: Astro Prima
Berkongsi pengalaman bagaimana dia mengumpul kekuatan, kata Norlisa; “Pertamanya diri kita kena kuat. Jangan fikir orang sekeliling tengok keadaan diri macam ni. Kalau kita tak kuat, orang sekeliling bagi support macam mana pun benda tu takkan membantu. Kita perlu reda, kuatkan diri. Fikirkan kita boleh saja,” terangnya bersungguh.Bagi semua pekerja di luar sana yang berhadapan dengan situasi hampir serupa dengan Norlisa janganlah berputus asa. Dapatkan maklumat lanjut di pejabat-pejabat Perkeso berhampiran untuk mengetahui secara terperinci mengenai program RTW. Juga bagi mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 pula, SIP yang disediakan untuk membantu meringankan beban boleh dimohon. Banyak bantuan selain kewangan disediakan. Juga ketahui pelbagai faedah yang akan diperoleh jika anda mencarum dibawah Perkeso.
Must-Watch Video