Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ujian Hilang Harta Benda Boleh Buat Jiwa RAPUH, Tapi Inilah Hakikat Semua Yang Kita Ada, Hanya Pinjaman Semata

Afiza Kamarulzaman
28/12/2021 14:02 MYT
Bukan mudah untuk menerima takdir yang kita tinggal sehelai sepinggang apabila diuji dengan kehilangan atau kemusnahan harta benda dalam sekelip mata. Apa lagi, jika harta itu hasil titik peluh yang diusahakan bertahun-tahun dan tak mungkin mampu dimiliki lagi. Inilah dugaan paling getir buat hambanya yang susah. Sudah jatuh, ditimpa tangga.


Rumah musnah, kereta rosak, segala perabot kelengkapan hilang sekelip mata. Untuk mengadakannya semula entahkan bila mampu dibeli lagi. Dalam keadaan sekarang, ramai berdepan ketidakstabilan ekonomi. Selagi boleh hidup dengan apa yang ada, maka diteruskan tanpa perlu dibeli baru.


Namun, apabila terjad bencana sebegini, seperti banjir besar yang melanda beberapa negeri baru-baru ini, adakah mereka ini mampu untuk bangun semula. Mahu atau tidak haruslah gagahi jua untuk terus berdiri dan berlari. Persoalannya, adakah kehidupan sama seperti yang dulu, hanya yang mengalaminya saja yang lebih tahu.


Semua Yang Kita Ada Bukan Milik Kita


Apabila melihat sesetengah mangsa yang kehilangan harta benda masih mampu bercakap dengan tenang, tersenyum tabah tanpa air mata dan di bibir sentiasa basah dengan perkataan “saya reda”, hati ini bagai disentap sebak. Bagai ada tamparan hebat singgah di wajah melihat bagaimana insan-insan ini diberi kekuatan yang terlalu tebal.


Inilah insan-insan terpilih yang dijanjikan Allah pahala dan rahmat apabila mampu bersabar dan tetap bersangka baik dengan Allah walau ditimpa ujian dan musibah yang besar dan menyakitkan.


Allah telah menyatakan di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan suatu ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 155)

Maka, sebagai insan-insan di sekeliling yang turut berdukacita, jangan kita anggap ini hanya ujian mereka. Jadikan takdir hitam mereka itu juga sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kita untuk bersama meringankan beban yang sedang ditanggung. Jangan hanya melepaskan diri dan hanya melihat sahaja penderitaan di depan mata.


Bantulah pada kadar yang kamu mampu. Jika tidak dengan wang ringgit atau tenaga, bertanya khabar dan menjadi pendengar atau penasihat yang baik juga mampu memberi kekuatan kepada mereka. Apa lagi jika kebaikan yang dibuat itu mampu membawa sinar gembira kepada mereka.







#Ujian #Sabar #Hilang Harta Benda
;