Tidak sempurna harinya tanpa turun ke lapangan membantu mereka yang ditimpa musibah dan kesusahan. Sebutlah sesiapapun, jauh mahupun dekat, berpanas atau berhujan, semuanya diziarahi dan dibantu seikhlas hati sedaya yang mampu. Itulah nurani tulus dari lubuk paling dalam insan bernama Ustaz Ebit Lew.

Misi Bantuan Bencana Ribut Peniaga Bazar Ramadan, Seksyen 1 Wangsa Maju
Keterujaan peniaga yang ingin mencari rezeki sempena kedatangan 1 Ramadan minggu lalu diuji dengan hujan lebat, ribut dan banjir kilat. Tular apabila sabuah video yang dimuat naik orang ramai merakamkan aksi peniaga mengutip makanan yang bertaburan dan masih belum dijual di atas jalan raya. Ia berlaku susulan angin kuat dan ribut petir melanda kawasan sekitar Wangsa Maju yang mengakibatkan khemah jualan terbalik. Fatin Amalina Zulkifli menceritakan kembali detik kejadian yang menyebabkan kerugian jualan yong taufu sebanyak RM800. “Mungkin Allah nak uji kami dengan kerugian yang sedikit itu ada hikmah lain yang nak diberi,” ujarnya reda. Bagi peniaga air Sauzana Zakaria pula, “Mungkin Tuhan terbalikkan khemah itu takut jadi asbab orang makan ada masalah apa-apa ke. Saya fikir positif, mesti ada sesuatu Tuhan tak izinkan saya berniaga hari itu. Ramai yang nak bantu dengan beri sumbangan kewangan. Tapi bagi saya doa pun dah cukup. Saya lagi suka orang tolong doakan. Macam kewangan ni selagi mampu saya akan usaha untuk adakan , “ ulasnya tenang.

Tidak menunggu lama apabila mendapat perkhabaran berita seumpama ini, Ustaz Ebit Lew tampil membantu dengan memberikan tujuh buah khemah kepada peniaga yang terkesan dengan insiden ini. Selain itu sedikit wang turut diberikan kepada mereka yang terjejas. Bermandi hujan team Jejak Ebit Lew menghulurkan bantuan.

Pesan Ustaz Ebit Lew
Bagi kita mungkin nampak kecil tetapi bagi peniaga-peniaga bazar Ramadan ini mereka telah melakukan persiapan sejak Ramadan tahun lepas lagi. Pelbagai rintangan yang perlu mereka hadapi. Walaupun penat, sedih, tak jadi untuk berniaga dan sebagainya moga Allah akan permudahkan untuk mereka semua. Bulan ini bulan kebajikan bulan kasih sayang dan bulan rezeki orang Mukmin bertambah, dan kita kena jamu serta gembirakan orang lain untuk makan dan berbuka. Kita beli jualan mereka dan kita gembirakan orang lain dengan bersedekah, bantu mereka yang susah mudah-mudahan Allah terima semuanya sekali.

Kredit Foto: Astro Prima

Misi Bantuan Bekalan Makanan Di Zoo Negara
Ramai yang mengetahui dengan permasalahan yang dihadapi kakitangan Zoo Negara pasca Covid-19 untuk menyediakan bekalan makanan kepada haiwan-haiwan disini. Bukan itu sahaja dek kerana penularan pandemik ini, kekurangan pengunjung turut memberi kesan terhadap operasi dan pengurusan Zoo Negara.

Menurut Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana pihak Zoo Negara beroperasi mengikut SOP dengan hanya dibenarkan membawa masuk sebanyak 50 peratus kapasiti pengunjung berbanding kebiasaannya. Jika pada kebiasaannya, seramai 12,000 pengujung melawat Zoo Negara, tetapi mengikut SOP hanya 6,000 pengunjung sahaja dibenarkan masuk pada satu-satu masa.

Kredit Foto: Astro Prima

“Cabaran terbesar kita adalah sekiranya haiwan-haiwan ini tidak cukup dana untuk diberi makan. Mulanya risau duit kita tak mencukupi. Dan apabila kita minta bantuan daripada pihak media untuk menguar-uarkan permasalahan ini, dapatlah sumbangan daripada pelbagai pihak untuk menaja haiwan disini,” jelasnya lanjut.

Maklum dengan kos penyelenggaraan di Zoo Negara yang memerlukan dana juga perbelanjaan sekitar 1 juta lebih membuatkan Ustaz Ebit Lew turut terpanggil untuk membantu mengikut kapasitinya. Jika pada awalnya team Ustaz Ebit Lew menyumbang makanan haiwan terdiri daripada buah-buahan dan daging berjumlah RM20,000 kini sekali lagi beliau turun membantu. “Alhamdulillah PKP kedua ini Allah masih beri kesempatan. Kebaikan ni kena rebut, kalau kita terlambat nanti orang lain rebut.

Kredit Foto: Astro Prima

Pesan Ustaz Ebit Lew
Kita menyeru orang ramai di luar sana untuk tampil membantu. Seperti mana waktu senyum gembira kita sama-sama menikmatinya. Waktu kita susah, sama-sama kita menghadapinya. Didik anak-anak kita dengan sifat penyayang dan menyayangi haiwan dengan cara kita membantu seperti berkunjung ke sini. Mudah-mudahan dengan sokongan semua pihak, terdiri daripada kerajaan, NGO dan masayarakat kita dapat bantu mengurangkan beban yang ditanggung Zoo Negara agar terus bertahan.

Kredit Foto: Astro Prima

Misi Bantuan Asnaf Di Cheras
Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa Muhammad Adam Haikal Rosli. Baru kehilangan ibunya akibat masalah kesihatan, satu-satunya motosikal yang digunakan untuk berulang alik dan menjalani rutin harian dicuri dibawah blok rumahnya. Mempunyai tiga beradik, Adam dan adiknya dijaga arwah ibu yang berpisah dengan ayah mereka sejak kecil. Manakala kakak sulung pula dijaga oleh nenek dan ibu saudaranya.
Bagi membantu adik-beradik ini, Ustaz Ebit Lew bermurah hati membelikan motosikal baharu kepada Adam selain berbincang untuk membantu menyambung pelajaran dua beradik ini yang tidak lagi bersekolah sejak PKP.

Kredit Foto: Astro Prima

Pesan Ustaz Ebit Lew
Ujian bagi mereka dan pelajaran jua bagi kita untuk lebih bersyukur, menghargai hidup, emak ayah, adik-beradik dan saudara-mara yang masih ada. Walaupun emak kita dah tiada, kita boleh tolong orang lain. Adik-beradik, nenek, makcik dan sesiapa jua. Nabi Muhammad SAW bersabda barangsiapa yang berbuat baik, Allah sayang padanya. Bekerja kuat, bantu orang miskin umpamanya sedang berjihad di jalan Allah. Setiap kali buat baik, niatkan kalau ada pahala hadiahkan untuk emak yang saya sayangi. Moga Allah terus beri kita kekuatan.