Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
gaya hidup

Ujian Rumahtangga – Suami Isteri Ingatlah, DIA Uji Supaya Kita Sabar, Belajar Dan Ambil Iktibar.

Huda Hussain 08/04/2021 | 08:00 MYT
Tanyalah kepada sesiapa yang sudah berkahwin, takkan pernah terlepas daripada menempuh dan melalui pelbagai fasa ujian. Lebih lama usia perkahwinan itu, makanya banyak jugalah dugaan dan ujian yang datang menerpa. Hanya jiwa yang kuat, hati yang cekal dan kewarasan akal yang akan mengambil iktibar daripadanya. Berikut disenaraikan antara lima jenis ujian dalam rumahtangga yang penulis cerap daripada nukilan Fazlina Pasha.
Jenis-Jenis Ujian Dalam Rumah Tangga
Kredit Foto: Google
1. Ujian Mertua
Tak semua orang memiliki mertua yang baik. Ada yang terpaksa berhadapan dengan mertua yang selalu mencari salahnya, memandang kelemahannya dan mencanang kekurangannya. Hal kecil diperbesarkan mertua kerana mertua tidak boleh menerima dia seadanya. Untuk ujian ini, hanya ada dua keadaan,
Pertama, isteri menceritakan layanan mertua kepada suami, suami juga nampak dan faham dengan situasi isteri, maka suami akan cuba menasihati ibunya untuk tidak berbuat sedemikian pada isterinya. Jika orang tuanya masih meneruskan perbuatan itu, suami menjarakkan isteri dengan mertua untuk sementara waktu.
Kedua, suami menganggap isteri memperburukkan orang tuanya, suami taknak mendengar dan minta isteri jangan buat macam tu sedangkan apa yang dinyatakan isteri itu adalah perkara benar. Isteri dipersalahkan suami, suami taknak faham dan memilih untuk menyebelahi orang tuanya 100%. Untuk keadaan ini, hanya kesabaran si isteri yang menentukan berapa lama hubungan itu akan bertahan.
2. Ujian Ipar
Tak semua orang juga memiliki ipar yang baik. Ada pasangan yang mempunyai ipar yang suka mencampuri urusan rumahtangga mereka. Apa yang mereka lakukan, ke mana mereka pergi dan apa yang mereka beli, semuanya ipar ambil tahu dengan tujuan untuk menyampaikan perkara itu kepada seseorang. Ipar kerap mencari salah pasangan adik-beradiknya kerana tidak serasi, tidak suka dan tidak puas hati kepadanya. Ipar mengawal rumahtangga abangnya, kakaknya atau adiknya hanya kerana satu perasaan yang dipanggil dengki.
Kredit Foto: Google
3. Ujian Kewangan
Setiap pasangan pasti akan menghadapi ujian kewangan ini dalam beberapa tahun pertama setelah mendirikan rumahtangga. Dulu, gaji bulanan yang diperolehi hanya untuk perbelanjaan seorang. Tetapi kini berdua. Apa yang suami makan, isteri makan. Apa yang suami pakai, isteri pakai. Segala galanya kena berkongsi. Waktu ini, ada pasangan yang akan bergaduh sebab kewangan walaupun kedua duanya ada pendapatan. Maka, perancangan sebelum dan selepas mendirikan rumahtangga sangat sangat penting bagi memastikan kewangan setiap pasangan itu teratur dan terurus.
4. Ujian Anak
Expectation yang ada dalam setiap pasangan, iaitu bila berkahwin, kita akan dapat zuriat. Anak ini rezeki, dan bila rezeki, maka Allah s.w.t tidak berjanji bahawa kita akan dapat apa yang kita impikan itu dengan segera. Allah s.w.t nak kita usaha dan sabar. Allah s.w.t hanya akan bagi rezeki anak bilamana Dia merasakan pasangan itu sudah bersedia untuk menerima kehadiran anak itu disisi mereka. Ujian terbesar tentang anak ini ialah pertanyaan yang tiada hentinya daripada mereka yang berada di sekeliling pasangan tersebut. Pertanyaan ini yang akan membuatkan pasangan tertekan dan terbeban.
Kredit Foto: Google
5. Ujian Kecurangan
Adakah kita dah mengenali pasangan sewaktu kita bercinta dengannya? Adakah kita betul-betul tahu luar dalam pasangan masa kita berkawan dengannnya? Kita hanya akan mengenali siapa pasangan kita, perangainya dan tabiat pasangan bilamana kita dah sebantal dan sekatil dengannya. Dia mungkin ada mengenali orang lain sebelum berkahwin dengan kita, dia mungkin rapat dengan rakan sepejabatnya atau dia mungkin ada bekas kekasih. Dan kemungkinan dia masih berhubung dengan orang orang ini sangatlah tinggi. Gejala kecurangan ini perlu dibendung di awal perkahwinan supaya ianya tidak berlarutan dan berterusan.
Kredit Foto: Google
6. Ujian Kerjaya
Perihal ini menuntut persefahaman yang jelas sesama suami isteri. Fahami cara kerja pasangan tanpa perlu masuk campur urusan kerjanya. Usah beri tekanan berganda kepada pasangan. Bagi isteri yang bekerja, suami sekurang-kurangnya perlu bersyukur kerana isteri turut membantu demi memastikan perbelanjaan keluarga dan isi mencukupi. Dan tatkala diuji apabila salah seorang terpaksa diberhentikan kerja, usah mengeluh dan cepat goyah. Yakin pada janji-Nya bahawa jika kita berusaha pasti akan ada hasilnya. Apa yang penting suami isteri perlu kuat menempuh ujian ini.
Akhir kalam, ada pasangan yang mampu menempuhi kesemua ujian ujian yang dinyatakan, ada yang tak. Bagi mereka yang berjaya, mugkin sekarang mereka dah berbahagia. Bagi yang tidak, mungkin sekarang mereka dah berpisah...hanya dua pilihan itu sahaja yang ada untuk sesebuah rumahtangga bila di uji Allah s.w.t...
Semoga Semakin cekal, tabah, kuatkan bersabar serta berfikiran positif sentiasa.
Banyakkan berdoa dan dekatkan diri kita dengan Allah SWT.
Semoga rumahtangga kita di berkati Allah SWT dan berbahagia hingga ke akhir hayat.
Kunci kebahagiaan adalah sabar ikhlas dan sentiasa bertolak ansur dalam apa jua perkara. Buang rasa ego dan jangan membanding bandingkan pasangan kita dengan orang lain. Terimalah buruk baik pasangan kita itu seadanya kerana perkahwinan Itu sebenarnya menyatukan dua insan yang serba kekurangan dan tak sempurna.
Semoga kita semua di rahmati Allah Taala.
Aamin Ya Robbal Alaaminn...
#Rumahtangga #Suami Isteri #Fasa Ujian
;