Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

UPSR 2019 & Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah – Cemerlang Itu Bukan Sekadar Tercoret Di Atas Kertas!

Huda Hussain
22/11/2019 10:13 MYT
Menjelang hari-hari akhir persekolahan sesi 2019, kebanyakan sekolah di seluruh negara mengadakan hari anugerah kecemerlangan sebagai pengiktirafan bagi pencapaian akademik murid-murid.

Ya, menjadi satu kemestian malah acara wajib dalam takwim sekolah untuk mengangkat dan menobatkan murid-murid yang berkelayakan dianugerahkan dengan prestasi yang cemerlang.


Kredit Foto: Huda Hussain


Dan dalam sela-sela masa inilah, menjadi kelaziman ibu bapa moden berkongsi momen bersejarah buat kenangan juga untuk tatapan rakan taulan dan kenalan di media sosial. Saya juga sebagai ibu tidak terkecuali melakukan perkara yang sama.

Bukan mahu menunjuk-nunjuk (tidak pernah terlintas niat sedemikian) sebaliknya mahu berkongsi dengan semua mengenai kejayaan dan pencapaian anak yang kian membesar. Ya, barulah faham betapa susahnya bergelar seorang guru.

Betapa beratnya amanah yang dipikul untuk mengajar dan memastikan anak didikan kita mampu memahami apa yang diajar. Sedangkan saya mengajar anak yang baru berusia enam tahun pun sudah sesak dada, inikan pula barisan guru-guru di luar sana yang bukan calang-calang hebat ujian mereka mendidik anak bangsa.


Kredit Foto: Google


Tetapi bukan soal profesionalisme guru yang mahu diketengahkan. Sebaliknya saya terpanggil mahu berkongsi buah fikir mengenai sebuah artikel yang kian tular di laman sosial.

Tentang betapa kecewanya seorang ibu (seorang pensyarah dan suaminya pula seorang doktor pakar) namun pencapaian akademik anak tidak seberapa (menurut si ibu yang mengakui dirinya high expectation). Dan anaknya pula baru darjah satu.

Okey… Tarik nafas dalam-dalam dan pembacaan saya seterusnya tertumpu pada ruangan komen balas netizen.
Rata-rata menyifatkan si ibu terlalu pentingkan pencapaian akademik si anak.


Kredit Foto: Google


Yang kalau difikirkan, apalah sangat mahu ditekankan sedangkan dia baru darjah satu! Tidak dinafikan murid-murid era kini berhadapan dengan pelbagai cabaran. Namun itu bukan asbab mereka perlu cemerlang dalam setiap sudut.

Cubalah terima hakikat, yakin dan percaya bahawa setiap anak-anak kita Allah telah anugerahkan bakat dan potensi yang berbeza. Ada anak yang ‘cepat tangkap’ apabila belajar walaupun kita lihat dia lebih banyak bermain daripada belajar. Ada yang terang hatinya dalam bidang kokurikulum, ada yang bersinar bakatnya dalam sukan dan lain-lain.

Kredit Foto: Google


Janganlah dibanding-bandingkan kejayaan anak orang lain dengan anak sendiri. Kerana walau sekecil manapun anak kita, dia juga punya hati dan perasaan. Pasti terdetik dihatinya, “Oh ibu cuma nampak kejayaan orang lain sedangkan apa yang adik dah cuba buat ibu tak nampak”.

Dan secara tidak langsung ia hanya membibitkan kekecewaan yang terpendam lantas bisa membinasakan diri si anak.

Jika anak tidak mampu atau kurang mahir dalam soal akademik, kenal pasti potensi atau bakatnya dalam bidang lain. Mungkin dia minat dalam bidang memasak, menjahit, bertukang dan sebagainya? Lantas sebagai ibu dan bapa, berilah galakan dan semangat.


Kredit Foto: Google


Andai benar si anak tiada daya dan upaya lagi mahu digerakkan dalam akademik, usah dipaksa. Ada cara dan bidang lain yang boleh dicuba. Menjadi ibu bapa juga perlu kreatif. Tidak boleh tertumpu pada satu cara atau kaedah tertentu sahaja.

Tetapi jika kekecewaan anda sudah diluahkan sedangkan anak baru darjah satu, sabarlah. Masih ada banyak masa dan pelbagai kaedah lain boleh dicuba. Ya, masih ada masa.

Memetik titah ucapan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di Majlis Apresiasi Pendidikan kali ke-16 bertempat di SK Tunku Azizah, Kuantan.

Titah baginda, “Biar mereka bermain supaya bila sudah dewasa, dia (anak) mempunyai kenangan pernah berbuat begini, begitu… Tidaklah dia teringat asyik kena belajar atau menghafal sahaja,”. Betapa keseimbangan antara belajar dan bermain itu perlu seiring dengan perkembangan pelajar yang bukan berteraskan akademik sahaja.


Kredit Foto: Google


Sedarilah bahawa, cemerlangnya anak-anak kita bukan tertulis di atas sekeping kertas semata-mata. Kerana cemerlang itu sahaja cukup luas definisinya. Jika anak-anak punya adab dan akhlak yang terpuji, pandai menghormati orang tua dan nilai-nilai murni lain sudah cukup cemerlang di mata semua.

Lihat saja bagaimana tingginya adab susila seorang pelajar cemerlang UPSR 2019 yang tular sejak semalam. Odah, satu-satunya pelajar cemerlang UPSR yang memperoleh 6A di sebuah sekolah menolak pemberian hadiah berupa duit oleh gurunya. Alasan Odah, “Tak payah la cikgu. Cikgu dah ajar saya pun dah cukup”.


Kredit Foto: Google


Masya-Allah, betapa dia merendah diri dan menolak pemberian hadiah dengan penuh hemah. Malah sukar untuk kita dengari cerita murid-murid yang cemerlang akhlak dan budi pekertinya ketika ini.

Pelajarilah sesuatu dan ambil intipati daripada keseluruhan cerita-cerita hari kecemerlangan anak-anak kita. Tentang bagaimana kita mahu meraikan kejayaan mereka, adakah kita sebagai ibu bapa berpendirian kejayaan anak itu sebagai satu aksesori untuk ditayang buat kandungan media sosial kita?

Atau benar-benar kita mensyukuri anugerah Allah dalam bentuk kepandaian yang disalurkan melalui anak kita? Atau bagaimana? Semuanya berbalik kepada diri kita. Duduk sebentar dan fikir sedalamnya.


Kredit Foto: Google


Cemerlang yang bagaimana kita bentukkan atau tetapkan dalam minda anak-anak kita? Sentiasalah merintih kepada-Nya, memohon petunjuk agar dikurniakan kesabaran dalam mendidik anak-anak kita, diterangkan juga dilembutkan hati anak-anak agar setiap apa yang diajari guru bisa difahami dan dimanfaatkan.

Selebihnya usai berusaha, bertawakal lah kepada Allah. Insya-Allah, jika yang baik-baik dipanjatkan, pastinya yang baik-baik juga dikembalikan buat kita. Relaks okey, dah cuti sekolah pun. Bawalah anak-anak pergi bercuti. Rehatkan minda dan eratkan hubungan berbekalkan kualiti masa yang masih ada dengan mereka.
#Anak-Anak #Pelajaran #Keibubapaan
;