gaya hidup
Urutan CAKAR HARIMAU dan Labah-Labah Eratkan Suami Isteri, Nikmatnya WOW. Cubalah Masa PKP Ni!
Teks: Nor Hatina Shuib
Berikutan tular sebelum ini berkenaan nama hidangan unik Daging Harimau Menangis membabitkan seorang usahawan terkenal dan netizen yang bertegang leher membahaskan hak cap dagangan makanan berasaskan daging itu, penulis teringat-ingat kembali sejenis urutan istimewa yang diperkenalkan penceramah agama, Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah, beberapa tahun lalu berkenaan teknik urutan Cakar Harimau yang dikatakan dapat membantu merapatkan hubungan suami isteri.
Selepas Cakar Harimau, teknik itu perlu disusuli dengan teknik ‘ Urutan Labah-Labah’ supaya pasangan terus dikasihi dan dicintai suaminya.
Kisah perkongsian teknik itu cukup mendapat liputan luas media dan pastinya dimanfaatkan pasangan suami isteri sehingga menjadi tular sebagai bahan jenaka.
Sememangnya urutan mampu memberikan kelegaan berpanjangan setelah tubuh dibelai dan diurut rapi ditambah dengan wangian minyak aroma terapi.
Kredit foto: Google
Hakikatnya siapa yang tidak suka diurut kerana ia umpama satu belaian secara fizikal. Pantang dipelawa suami, pastinya si isteri tersenyum riang jika badan dapat diurut.
Stres , rasa letih dan sengal badan dapatlah dikurangkan meskipun jari jemari yang mengurut bukanlah dari mereka yang pakar.
Kajian turut membuktikan hubungan antara urutan dan manfaat diterima kesan dari amalan terapi berkenaan dalam sesuatu perhubungan.
Penyelidik menyatakan bahawa teknik urutan mungkin merupakan kaedah yang baik untuk meningkatkan kesejahteraan fizikal dan mental pasangan yang sudah berkahwin.
Penyelidik dari Universiti Northumbria di United Kingdom, Sayuri Naruse dan rakannya, Dr Mark Moss menjalankan kajian kepada pasangan berkahwin dengan memberi tugasan supaya pasangan-pasangan ini menghadiri kursus urutan secara bersama selama tiga minggu.
Hasil kajian mendapati bahawa kursus itu membawa faedah yang begitu memberangsangkan kerana urutan yang diterima antara sesama pasangan menyebabkan pengurangan kadar tekanan (stress) dan peningkatan kesejahteraan dalam perkahwinan.
Malah ia diakui hampir berlaku kepada kesemua pasangan yang menyertai kursus berkenaan.
Kredit foto: Google
Jelas sekali, urutan kasih sayang antara suami-isteri memberi rangsangan kebaikan yang patut kita masukkan dalam senarai rancangan kebahagiaan.
Apa kata jadikan ia aktviti suami isteri seminggu sekali, boleh juga kalau mahu bergilir-gilir melakukan urutan. Zaman teknologi ini, semua dihujung jari.
Anda boleh mempelajari teknik urutan di laman You Tube dan mengolah kembali mengikut citarasa dan keselesaan bersama.
Sambil-sambil itu, boleh berguran manja. Apatah lagi musim pandemik Covid- 19, banyak masa terluang bersama, manfaatkan dengan mengeratkan hubungan.
Silap langkah, “baby’ baru melengkapi kehidupan anda tahun depan.
Malah bukan saja dapat mengumpul pahala, tekanan perasaan dapat dikurangkan apabila lebih banyak komunikasi terjalin saat bersama-sama menghayati urutan.
Seorang teman ada berkongsi, kadang kala dia tidak jadi bergaduh dengan suami apabila suami ambil langkah pantas memujuk dia dengan teknik urutan.
Walaupun tidak sesedap tangan tukang urut, bolehlah melegakan urat tegang atau tersimpul akibat tekanan kerja atau letih mengejar anak seharian.
Anda cuma perlu jadi pasangan yang kreatif untuk menghidupkan keindahan alam rumah tangga.
Urut ibu jari kaki berhubung dengan urat di sekitar bahagian kepala yang mana urutan pada urat berkenaan dapat melegakan kesakitan apabila aliran darah menjadi lebih lancar,
Kredit foto: Google
Jom Kita Lihat Manfaat Apabila Urut Pasangan
Urutan dan sentuhan boleh membantu mengurangkan paras kortisol (iaitu hormon stres) sebanyak 30 peratus dan meningkatkan paras hormon gembira iaitu seratonin serta dopamine sehingga 31 peratus.
Perasan tak? Setiap kali suami urut anda, rasa reda sedikit tekanan dan muncul senyuman di bibir. Seronokkan.
Kajian juga mendapati urutan membantu meningkatkan penghasilan sel darah putih yang berfungsi melawan penyakit.Ini bermakna, jika pasangan sentiasa diurut, anda membantu pasangan mengurangkan risiko mendapat penyakit.
Urutan dapat membantu wajah pucat dan lesu kepada segar dan berseri. Setiap kali kita berurut di spa, wajah menjadi kembali merah dan bermaya.
Ini antara kebaikan urutan kerana ia melancarkan peredaran darah di dalam tubuh.
Petua Urutan
Apabila pasangan sakit kepala, cuba leakan dengan mengurut atau memicit bahagian bawah ibu jari tangan secara perlahan dan selama 10 minit.
Bagi penghidap asma, pula boleh mencuba mengurut urat yang terletak pada bahagian kaki iaitu di tengah antara jari telunjuk dan ibu jari kaki.
Waktu terbaik urutan adalah di sebelah pagi dan petang
Elakkan mengurut pada waktu tengahari kerana ketika itu dikatakan semua urat menegang
Boleh gunakan apa saja minyak bersesuaian yang ada di rumah seperti minyak angin atau aromaterapi, namun sekiranya tidak ada boleh juga gunakan minyak bayi atau losyen bagi memudahkan urutan dilakukan
Must-Watch Video