Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Vaksin Covid-19 – Masih Ada Menolak? Dato’ Dr Musa Seru Rakyat Malaysia Jangan Mudah Percaya Dengan Dakyah Palsu!

Huda Hussain
17/03/2021 13:23 MYT
Susulan isu pengambilan vaksin Covid-19 dan timbulnya pelbagai dakwaan juga teori palsu daripada mereka yang bukan arif dalam bidang ini membuatkan InTrend terpanggil bagi membicarakan secara lanjut mengenainya. Bagi mendapatkan huraian lanjut, InTrend berkesempatan menemubual secara eksklusif Dato’ Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Perunding Kanak-Kanak Dan Neonatologi dari Hospital Pakar Damansara. Beliau juga merupakan Pengerusi Federation of Islamic Medical Association Advisory Council iaitu gabungan pakar-pakar perubatan Islam seluruh dunia. Selain itu beliau juga adalah Ahli Lembaga Penasihat Meningococcus Antarabangsa, Ahli Konsultasi Serantau untuk Campak dan Penghapusan Rubella WHO, Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Kerja Influenza, Lembaga Penasihat Pneumococcal Asia Akademi Pakar Vaksin Pneumococcal Asia Pasifik. Sekali gus membuktikan beliau layak mengulas isu yang hangat diperkatakan kini.

Kredit Foto: Instagram Dr Musa

Apa yang kita perlu faham tentang vaksin secara asasnya?
Covid-19 adalah satu penyakit yang telah menjadi pandemik dan menular ke seluruh dunia. Paling kurang ia telah menyebabkan 2.5 juta kematian dan lebih 120 juta kes positif. Dan kita harap dengan adanya vaksin dapat mengurangkan bebanan Covid-19, menyelamatkan nyawa manusia dan kita boleh mengurangkan kesakitan kepada mereka yang dijangkiti. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al Maidah ayat 32 yang bermaksud ‘Kalau kamu menyelamatkan seorang insan seolah-olah kamu menyelamatkan seluruh manusia. Vaksin merupakan satu kaedah perubatan yang boleh mencegah berlakunya Covid-19. Vaksin yang ada sekarang ini iaitu vaksin mRNA keluaran Pfizer-BioNtech boleh mencegah 95% berlakunya Covid-19. Jadi maknanya, kita memelihara rakyat Malaysia daripada dijangkiti Covid. Tetapi masih boleh berlaku jangkitan kepada 5%.

Kredit Foto: Google

Walaupun demikian, jangkitan 5% ini adalah jangkitan tanpa gejala dan tidak teruk. Walaupun mereka dijangkiti Covid-19, hanya 5% saja tetapi mereka boleh dijaga, tidak perlu ditahan di hospital. Walhal rakyat Malaysia yang terkena Covid-19, risikonya lebih kurang 1 dalam 100 orang. Dan ini adalah peratusan yang amat tinggi. Jadi kalau seorang rakyat Malaysia terkena Covid-19, 80 % adalah tanpa gejala atau tidak teruk. Manakala 15% lagi memerlukan rawatan di hospital. Dan 5% lagi memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif, menggunakan oksigen. Bahkan ada yang disebabkan sukar bernafas memerlukan tiub untuk membantu pernafasan. Juga hampir 13% sudahpun meninggal dunia akibat pandemik ini. Memandangkan ini suatu gejala yang serius, maka kita harus mencegah daripada ia terus-terusan menular dalam kalangan rakyat. Insya-Allah kita boleh melakukannya dengan pengambilan vaksin.

Kredit Foto: Google

Adakah pengambilan vaksin bergantung kepada antibodi seseorang? Maksudnya kalau antibodi kuat, vaksin itu berkesan dan kalau antibodi lemah vaksin itu tidak berkesan. Komen Dr?
Tidak. Kajian telah dilakukan untuk vaksin Pfizer ke atas 43,000,00 sukarelawan. Manakala vaksin Moderna yang sama kaedah mRNA seramai 30,000,00 dan jumlah keseluruhan lebih kurang 73,000,00 sukarelawan. Ia menunjukkan bahawa apabila diberi suntikan vaksin ini, 95% mengeluarkan antibodi. Hanya 5% sahaja tidak mengeluarkan antibodi yang mencukupi untuk mencegah daripada terkena Covid-19. Tetapi yang pentingnya, semua vaksin yang ada sekarang ini mencegah seseorang daripada terkena Covid-19 yang teruk.

Bagaimana pula dengan kesan sampingan selepas pengambilan vaksin?
Memang, ini merupakan kerisauan dan kebimbangan rakyat kita. Malah saya sebagai doktor pun bimbang juga. Tetapi semua perlu yakin bahawa ia adalah sejenis vaksin yang telah menjalani kajian yang paling teliti. Ini penting kerana vaksin diberi kepada orang yang sihat belaka. Jadi kita perlu pastikan piawaian yang paling tinggi untuk memastikan bahawa kesan sampingannya tidak serius. Daripada kajian yang dilakukan, ke atas lebih 150,000,00 sukarelawan; kesan sampingannya sedikit sahaja. Misalnya sakit apabila disuntik, bengkak 5%, merah sedikit 5%, ada yang pening kepala 60%, lenguh-lenguh badan 30%, ada yang rasa lemah, sengal lebih kurang 70%, demam 15%. Dan ia berbeza kerana sesetangah daripada mereka agak serius hingga perlu mengambil cuti sakit. Tetapi kebanyakannya baik selepas satu hingga dua hari. Sebenarnya kesemua kesan sampingan ini adalah petanda yang baik. Ia menunjukkan bahawa badan anda mengeluarkan antibodi sekali gus ia adalah tindak balas immune kita untuk mengeluarkan antibodi.

Kredit Foto: Google

Pengambilan vaksin dapat mencegah 95% daripada terkena Covid-19. Sudah dibuktikan ia selamat dan berkesan tetapi masih ada yang takut, meragui, was-was nak mohon di aplikasi My Sejahtera. Kenapa?
Pada saya mungkin rakyat kita merasakan bahawa ini adalah suatu vaksin yang agak terlalu pendek dan singkat kajiannya, setahun sahaja. Tetapi, yakinilah mungkin ia singkat untuk anda tetapi bagi kami yang terlibat dalam bidang vaksin ini mengetahui bahawa pengkaji-pengkaji ini telah melakukan kajian tentang mRNA semenjak 1990 lagi. Maknanya sudah 30 tahun kajian dilakukan. Satu daripada syarikat yang mengeluarkan vaksin mRNA ini Moderna, terdapat sembilan vaksin dalam fasa kajian kedua. Antaranya vaksin untuk Influenza, Zika, Chikugunya, Cytomegalovirus. Jadi, apabila kerajaan China memberitahu tentang baka ataupun DNA Covid pada Januari 2020 dan pada Mac 2020 mereka telah mengeluarkan vaksin Covid yang pertama. Dan sekarang ini, mungkin sudah ada 200 juta manusia di seluruh dunia telah disuntik dengan vaksin Covid tanpa kesan sampingan yang serius. Malah telah menunjukkan keberkesanan seperti yang telah saya nyatakan diatas. Jadi, anda sebagai rakyat Malaysia bukannya guinea pig (tikus yang diuji kaji) perlu yakin dengan keselamatan, keberkesanan dan kesucian vaksin ini.

Kredit Foto: Google

Pengambilan vaksin belum diwajibkan tetapi digalakkan. Maksudnya ada pilihan disitu sama ada nak atau tidak. Pandangan Dr Musa dalam hal ini?
Kalau kita selidik fatwa yang dikeluarkan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri beliau ada menyatakan bahawa pertamanya vaksin ini ialah mubah (atau harus adalah salah satu daripada hukum Islam) ia dibenarkan. Tetapi bagi mereka yang berisiko tinggi terkena Covid seperti umurnya lanjut (lebih 65 tahun), ada penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung – Mereka ini wajib mengambil vaksin. Sebabnya ramai orang Melayu kita yang agak was-was tentang vaksin ini. Jadi, yakinilah Sohibus Samahah Menteri Agama kita, barisan mufti telah sepakat bahawa vaksin ini adalah halalan toyiban (bukan sahaja halal tetapi baik). Dan bukan itu sahaja ia juga memelihara nyawa manusia dan mengelakkan daripada terkena penyakit Covid-19. Bahkan bukan hanya di Malaysia, Majlis Fiqh di Indonesia, negeri-negeri Arab telahpun bersetuju bahawa ini adalah satu kaedah rawatan yang paling baik untuk menyelamatkan nyawa manusia dan mengeluarkan kita daripada pandemik.

Kredit Foto: Google

Justeru kita sebagai rakyat harus yakin kerana ulama semua telahpun bersetuju. Cuma yang tidak bersetuju adalah segelintir ustaz-ustaz di Malaysia yang percaya kepada teori-teori konspirasi. Mereka ini punya ramai pengikut juga mengeluarkan teori-teori yang karut dan bukannya berasaskan kepada hujah dan dalil. Saya minta maaf, tetapi inilah hakikatnya. Ada diantara mereka yang memberi ceramah-ceramah di media sosial, di kampung-kampung dan menyatakan vaksin ini berbahaya. Walhal, kajian menunjukkan ia selamat. Jadi, saya cabar ustaz-ustaz untuk menunjukkan dimana hujah, dimana dalilnya bahawa vaksin ini berbahaya? Apakah ustaz telah melakukan kajian? Kita wajib menyandarkan kritikan kita dengan ilmu. Firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud ‘Katakan wahai Muhammad, panggillah ke jalan Allah bersama orang-orang yang menyeru kepada agamaku dengan hujah-hujah dan dalil-dalil. Jadi cabaran saya kepada ustaz, kalau ustaz mengatakan ini tidak berkesan, tidak selamat – Tunjukkan hujahnya. Dan kalau tidak, ia merupakan suatu pembohongan kepada mereka yang mendengar ceramah, kuliah ustaz. Sekali gus ia mengakibatkan ramai dalam kalangan kita yang menolak vaksin. Apa yang perlu dilakukan adalah bertanyalah kepada mereka yang ahli, berpengetahuan, berpengalaman.

Kredit Foto: Google

Kenapa pengambilan vaksin pada awalnya tidak boleh diberi kepada wanita hamil dan ibu menyusu, tetapi baru-baru ini Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata boleh pula. Apa sebabnya?
Kita tidak melakukan kajian dikalangan ibu-ibu yang mengandung ataupun ibu-ibu yang menyusukan bayi dan dikalangan kanak-kanak yang kurang daripada 18 tahun. Tetapi kalau kita faham biologi sains vaksin ini, mRNA ini tidak masuk ke dalam nukleus ataupun tempat dimana letaknya DNA. Oleh itu, ia tidak merosakkan baka, janin yang berada didalam rahim. Dan mRNA ia mudah pecah dan kerana itu juga ia perlu disimpan didalam peti beku pada suhu -70. Ia juga mudah pecah kepada nucleotide, mudah dibersihkan dan ia bukanlah sesuatu yang merbahaya.

Kajian juga dilakukan ke atas tikus yang mengandung dan diberi vaksin ini. Didapati bahawa anak-anak tikus yang lahir itu semuanya normal, tiada kecacatan. Bahkan apabila mereka melakukan kajian ini, ada wanita yang tidak tahu mereka sedang hamil. Lalu mereka mengambil vaksin dan apabila mereka melahirkan anak, bayi tersebut tidak mengalami sebarang kecacatan. Sekali gus membuktikan bahawa vaksin ini tidak membahayakan ibu mengandung juga ibu yang menyusukan bayi.

Kredit Foto: Google

Di Amerika Syarikat, Centre for Disease Control and Prevention (CDC) atau Pusat Pencegahan Penyakit, American Society of Obstetric Gynaecology (Persatuan Obstetrik dan Ginekologi dan Fetal Medicine (Persatuan Janin) mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa wanita yang hamil dan menyusukan bayi boleh mengambil vaksin. Hanya di Malaysia, very cautious. Bagi wanita hamil, kalau kebaikannya melebihi risikonya boleh ambil vaksin.

Kanak-kanak tergolong dalam kelompok yang berisiko untuk dijangkiti Covid-19. Tetapi tidak termasuk pula dalam kumpulan yang boleh menerima vaksin. Kenapa?
Kanak-kanak tidak berisiko tinggi dijangkiti berbanding dengan orang dewasa. Dan kalau kena sekalipun tidak teruk hingga ia menular dengan serius juga tidaklah hingga memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif. Jadi Alhamdulillah, Allah SWT memelihara mereka. Lantaran itulah, kita perlu pastikan pengambilan vaksin dapat dijayakan sepenuhnya dengan secepat yang mungkin. Dan perlindungannya meliputi dengan lebih meluas. Kenapa? Supaya kita berupaya mencapai imuniti kelompok sebanyak 70 hingga 80%. Apabila kita sudah mencapai peringkat ini, kita boleh memelihara kanak-kanak, memelihara mereka yang tidak boleh mengambil vaksin misalnya yang mempunyai masalah seperti alahan yang teruk juga mereka yang menolak vaksin.

Apakah selepas sudah divaksin seseorang itu lebih kebal daripada dijangkiti penyakit-penyakit berunsurkan virus?
Tidak kerana vaksin mRNA dicipta khusus untuk Covid-19. Hebatnya vaksin ini selepas dos pertama sebelum mendapat dos kedua; iaitu selama 21 hari, perlindungannya berada pada tahap 92% sekali gus memberi petanda bahawa ia cukup tinggi. Sungguhpun begitu, walaupun telah divaksin kita masih perlu memakai mask, penjarakan fizikal dan patuhi SOP sedia ada seperti biasa. Hinggalah apabila menerima dos kedua, ia memberi perlindungan lebih tinggi lagi sebanyak 95%. Ini penting kerana kita mahu mencegah berlakunya strain ataupun jenis-jenis Covid yang berbahaya. Misalnya yang berlaku di United Kingdom B117, di Afrika Selatan B1351, di Brazil P1 juga dari Nigeria yang merekodkan dua kes dan sudah masuk ke Malaysia.

Kredit Foto: Google

Nasihat dan seruan Dr Musa supaya orang ramai sedar terutamanya golongan B40 memohon untuk divaksin?
Saya amat berharap seluruh rakyat Malaysia untuk mendengar daripada mereka yang ahli dalam perihal penyakit Covid-19 ini. Bagi mereka yang berisiko tinggi, dapatkan suntikan vaksin secepat mungkin seperti yang telah ditentukan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pertamanya, barisan hadapan seperti para doktor, jururawat, petugas-petugas kesihatan, tentera, polis, bomba dan sebagainya penting untuk mengambil vaksin. Kerana merekalah yang paling berisiko dijangkiti daripada pesakit-pesakit.

Kredit Foto: Google

Kedua adalah golongan yang berisiko tinggi misalnya warga emas yang berumur melebihi 65 tahun, mempunyai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, angin ahmar dan seumpamanya. Pastikan anda adalah kelompok seterusnya untuk menerima vaksin. Amat penting untuk kita mencapai tahap imuniti kelompok untuk memelihara kesemua rakyat Malaysia. Dengan pengambilan vaksin, kita mampu keluar daripada pandemik ini dan dapat menjalani kehidupan seperti sebelumnya. Itulah harapan saya kepada seluruh rakyat Malaysia, Insya-Allah.
#Kesihatan #Vaksin Covid-19 #Dato' Dr Musa Nordin
;