Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Walau Kini Hidup Tanpa Sebelah Kaki, Alif Kental Teruskan Hidup – Ligat Berenang, Main Bola, Berbasikal

Afiza Kamarulzaman
20/10/2021 02:05 MYT
Melihatkan foto-fotonya, buat saya terkesima, berasa takjub dengan kekuasaan Allah dalam memberi hikmah buat insanNya yang diuji dengan ditarik nikmat keupayaan sebelah kaki untuk berjalan, namun digantikan dengan semangat jitu yang lebih kebal berbanding orang sempurna lainnya.


Mohammad Nur Alif bin Mohamad Tarmezam jejaka kacak berusia 24 tahun ini berasal dari Pulau Pangkor, Perak. Beliau merupakan anak bongsu daripada lima beradik. Melihatkan gambar-gambar ini pasti ramai tertanya adakah beliau dilahirkan begitu atau bagaimana?


Ini kisah inspirasi beliau yang sempat InTrend rakamkan kala mewawancaranya.





Boleh Alif ceritakan sedikit bagaimana kecacatan ini boleh berlaku?

Ya, saya dilahirkan sempurna. Namun, takdir Allah yang meminjamkan sebelah kaki ini hanya untuk seketika, cukup 17 tahun, haknya ini diambil semula. Saya mengalami kemalangan jalan raya. Kejadian berlaku pada bulan yang mulia iaitu bulan Ramadan tahun 2014, semasa saya sedang dalam peperiksaan percubaan SPM. Saya terbabas jatuh sendiri tanpa sebarang luka. Tapi, kaki saya terhimpit antara motorsikal n tiang lampu sehingga menyebabkan pendarahan dalaman (urat saraf tersumbat). Doktor terpaksa membuat keputusan untuk memotong kaki saya ini, ia bagi mengelakkannya merebak ke jantung yang boleh menyebabkan kematian.



Bagaimana menerima kenyataan ini sebaik sedar?

Berfikir secara positif dan bersangka baik dengan ujian yang Allah beri. Walaupun ditarik satu nikmat kaki, tapi saya masih diberi nikmat lainnya untuk berjalan dan meneruskan hidup. Ramai lagi yang lebih kritikal dan diuji lebih dari ini, mengapa mesti saya meratap dan menyalahkan takdir? Kenapa tidak saya bersyukur dengan nikmat lain yang masih dipinjamkan?



Siapa yang bersama anda waktu itu memberi kekuatan dan semangat?

Sudah semestinya family yang tidak henti-henti memberi semangat dan sentiasa membantu apa yang saya perluan. Tidak lupa juga sahabat, teman-teman dan orang sekeliling yang ada masa susah dan senang.







Bagaimana Alif bangun semula untuk meneruskan kehidupan seperti sedia kala?

Saya tak nafikan saya diuji pada usia yang masih muda, belum banyak pengalaman hidup. Tapi inilah pengalaman yang lekas mendewasakan saya. Dan, saya bangun kerana ibu bapa saya. Waktu itu, siapa lagi yang kita ada melainkan orang tua kita yang pastinya menjadi individu paling rapat. Ibu bapa mana yang nak lihat anak dia dalam kesedihan? Saya pun tak mahu lihat mereka terus bersedih kerana kelemahan saya. Jadi, saya kena kuat demi mereka. Saya sendiri terfikir, kalau pun menangis meratap meraung sekali pun, kaki saya tak mungkin dapat dikembalikan. Langkah terbaik adalah meneruskan hidup dengan apa yang ada sekarang ini.



Nampaknya, Alif aktif bersukan, apa jenis kegiatan sukan yang Alif sertai?
Para swimmer negeri Perak dan pemain Malaysia amputee football.



Kenapa masih memilih untuk aktif dalam kegiatan sukan walau dalam keadaan sekarang ini?

Saya tidak mahu jadikan kekurangan ini sebagai penghalang untuk teruskan minat saya selama ini. Dengan cara ini juga, saya dapat mencabar diri dan ubah persepsi masyarakat terhadap golongan OKU bahawasanya kami juga mampu melakukan pelbagai aktiviti seperti insan normal. Juga mampu menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat.






Bagaimana perubahan rutin kehidupan Alif sebelum dan selepas kemalangan?

Oh, sudah semestinya banyak perbezaan terutamaya daripada segi fizikal. Jujurnya, banyak rutin harian terbatas. Sebagai contoh, kalau dulu mampu berlari dengan dua kaki, sekarang hanya dengan satu kaki dan bantuan dua tongkat. Namun, perlahan-lahan saya cuba sesuaikan diri. Alhamdulillah, Allah tidak kejam. Segalanya tidak mustahil untuk lakukan aktiviti yang sama seperti dulu. Cuma perlu sedikit masa dan latihan.



Bagaimana membiasakan diri dengan keadaan selepas kemalangan?

Saya reda dengan apa yang dah berlaku. Saya juga selalu bercampur dengan orag yang senasib dengan saya (OKU). Daripada situ kita belajar yang sebenarnya kita ni istimewa dan lain daripada orang lain walaupun ada kekurangan.



Kalau boleh Alif berikan suntikan semangat kepada mereka yang turut diuji sedemikian rupa?

Sebenarnya hidup ni sudah tertulis pada takdir Allah. Jadi, siapalah kita untuk menentang semua ketentuan itu? Jangan kerana satu kejatuhan kita rasa kita susah dan terus give up. Macam saya kalau saya rasa saya susah kerana ketiadaan satu kaki, sebenarnya ada orang yang tiada kedua-dua belah kaki. Apabila kita bandingkan diri kita dengan orang yang lebih sukar, kita akan lebih bersyukur dan terima takdir diri dengan penuh tabah.





#OKU #Tabah #Ahli Sukan
;