Sejak kecil lagi kita terdidik dan diasuh dengan konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kerana apa? Apabila sudah terbentuknya rebung, keras dan pejal sifatnya. Tidak boleh dilenturkan, dibengkokkan atau dibentuk lagi. Begitulah jua dalam meniti kehidupan seharian. Adab bermaksud budi pekerti yang halus; tingkah laku yang baik dan budi bahasa. Betapa agama Islam dan masyarakat Melayu dahulu kala sendiri memandang tinggi serta mementingkan peradaban ini.

Kredit Foto: Google

Hinggakan begitu puitis sekali perlambangan adab dari kaca mata mereka yang turut dikaitkan dengan adat. Antaranya, ‘Adab itu perlu lebih tinggi daripada ilmu. Jika seseorang itu memiliki ilmu yang banyak, tetapi tidak memiliki adab dan akhlak yang baik ; boleh jadi setiap apa yang dipelajari itu adalah sia-sia. Sepatutnya semakin tinggi ilmu seseorang, semakin tinggilah adab dan budi pekertinya. Selain itu, ada ilmuan yang menyifatkan ‘Adab dulu baru ilmu. Orang beradab pasti berilmu, orang berilmu belum tentu beradab.’


Begitulah signifikannya adab yang perlu ada dalam jiwa setiap daripada kita. Tanpa mengira usia, pangkat, darjat atau siapa pun kita. Ia mendahului atau menggambarkan keperibadian kita tanpa perlu kita memperkenalkan diri terlebih dahulu. Daripada tutur bicara, gerak-geri bahkan bahasa tubuh sekalipun sudah mampu merungkai adakah kita ini beradab atau biadap orangnya.

Kredit Foto: Google

Lihat Dan Tinjau Perlakuan Kita Di Media Sosial


Kerana hari ini, media sosial umpama satu kemestian yang perlu ada bagi mewakili perjalanan hidup seseorang. Maka kita mulakan daripada sini. Perhatikan apa pengisian (content) yang kita muat naik. Adakah bersifat keakuan atau bagaimana? Kita sendiri yang menentukannya. Kemudian, perhatikan pula laras bahasa, pemilihan ayat dan perkataan yang sering kita tulis. Jika dalam perspektif kesihatan, kita sering mendengar ‘You are what you eat’. Tetapi dalam konteks media sosial hari ini, saya fikir pendekatan ‘You are what you write’ adalah tepat untuk menggambarkan gaya penulisan menterjemahkan siapa diri anda. Daripada segi pemilihan bahasa, perkataan, muat naik status dan sebagainya adalah refleksi kepada diri anda. Apakah anda seorang yang peka dan sensitif tentang kandungan yang menonjolkan anda seorang yang beradab sopan atau tidak? Sesiapa yang membacanya pasti dapat mengetahui sekali gus membuat rumusan singkat mengenai diri anda. Justeru, hati-hatilah dalam memberikan pandangan, komen dan sebagainya. Jaga pertuturan kita di media sosial.

Kredit Foto: Google

Perlakuan Kita Di Jalan Raya


Kerana hakikatnya kita tidak dikurniakan firasat yang mampu menembusi pemikiran sesiapa, oleh itu patuhi dan fahamilah undang-undang jalan raya. Contoh paling mudah dan sering kita lihat adalah kegagalan memberikan isyarat. Sama ada mahu membelok ke kiri, kanan atau membuat pusingan U, gunakan lampu isyarat yang sememangnya tersedia cantik pada semua kenderaan di negara kita. Atau rancang perjalanan terlebih dahulu. Tetapkan dalam minda laluan mana harus diikuti untuk sampai ke destinasi tertentu. Tidaklah nanti apabila terlupa memberi isyarat, pemandu di belakang sudah mula memaki-hamun, menyumpah seranah hatta membuka cermin tingkap menunjukkan isyarat yang kurang ajar dan lain-lain. Lebih buruk lagi jika ia mencetuskan pergaduhan atau secara tidak langsung kita digelar samseng jalanraya pula. Dan sekali lagi, semua ini memperlihatkan sejauh mana kesabaran dan adakah kita masih menjaga adab apabila berada di jalan raya. Fikir-fikirkan.

Kredit Foto: Facebook

Tingkah Laku Kita Di Restoran, Kedai Makan


Seperti twit yang dikongsikan oleh pengguna twitter diatas, sama ada secara sedar atau tidak itulah realitinya. Apabila pelayan menghantar makanan, kita pula sibuk membaca atau membalas komen. Lantas tidak dipedulikan pelayan yang meletakkan makanan yang juga secara tidak langsung menjadi rezeki kita ketika itu. Tak susah manapun untuk luangkan masa, berikan perhatian dan mengucapkan terima kasih. Sama juga senarionya apabila kita berada di kaunter membuat pesananan makanan. Berialah petugas restoran menyapa ‘Hai Cik, Selamat Datang. Makan sini atau bungkus?’. Dan kita pula dengan muka penat, ‘tak kuasa’ nak melayan, acuh tak acuh saja menjawabnya. Ya, faham mungkin hari itu tidak berpihak kepada kita. Tertekan dengan kerja atau mungkin ada masalah rumahtangga, bergaduh dengan teman wanita dan sebagainya. Tetapi bersikap rasionallah seketika saat berhadapan dengan orang lain. Ketepikan seketika apa jua kekusutan atau masalah yang melanda. Ukirkan senyuman dan jangan lupa ucapkan terima kasih. Berpeganglah pada adab yang seharusnya menjadi ‘makanan’ kita walau di mana jua berada.

Kredit Foto: Google

Adab, Pertuturan Kita Dengan Orang Tua, Yang Lebih Muda Dan Sesama Kita


Mungkin ada segelintir yang menyifatkan sudah menjadi kebiasaan bercakap kasar atau dengan suara yang tinggi kerana itulah adat di sesetengah tempat. Contohnya, mereka yang berasal dari Melaka. Kedengarannya mungkin bahasa yang kasar tetapi itu cara mereka bergurau. Tetapi bagaimana pula dengan kita yang lain ini? Jika ia bukan budaya atau cara kita bermesra, takkanlah pula mahu dianggap kebiasaan lantas membiarkan sahaja pertuturan kasar, bahasa yang kesat jadi ikutan? Takkanlah pula mahu membiarkan anak-anak kecil mendengar lalu dijadikan ikutan? Dan pastinya kita malu jika mendengar orang luar berkata “Eh, mak bapak dia tak ajar ke anak-anak cakap elok-elok?” menegur anak kita andai perlakuannya mula menunjukkan bibit-bibit tiada adab.
Sama ada kita bercakap dengan orang tua, seusia dengan kita, mahupun lebih muda daripada kita; tetaplah berpegang kepada adab. Jika kita mahu dihormati, kita terlebih dahulu perlu menghormati orang lain. Walau secantik mana sekalipun rupa paras kita, andai yang keluar dari mulut hanyalah rungutan, bahasa yang kasar, suara yang tinggi dan seangkatan dengannya; tetap kita dipandang biadap dimata yang melihat. Alahai, malunya!

Kredit Foto: Google

Ke mana jua kita pergi, jika pandai membawa diri; menjaga adab dan tatasusila sudah pasti insan sekeliling akan menyenangi keberadaan kita. Yang mungkin kalau kita tiada dicari, apabila didepan mata dirai sepenuh hati. Ingatlah kata-kata ilmuan dahulu yang berpengalaman lagi bijaksana, ‘Adab itu nilainya diatas ilmu. Jika ilmumu setinggi langitpun, ika adab tidak tertanam, tidak berharga kau dimata orang lain. Dan ‘Semulia-mulia manusia ialah orang yang mempunyai adab rendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas, dan bersikap adil ketika kuat.’ (Khalifah Abdul Malik Marwan)