Kredit Foto: Google


Soalan:

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersambung minggu demi minggu. Ramai yang terkesan daripada segi ekonomi, emosi dan sosial. Boleh puan huraikan bagaimana PKP ini memberi kesan pada kesihatan mental seseorang dari segi:
• kesan ekonomi (kehilangan kerja/perniagaan)
• masalah keluarga (pergaduhan suami isteri/tekanan melayan kerenah anak-anak)
• sosial (tidak dapat berhubungan dengan mak ayah yang jauh , rakan-rakan dll)



Jawapan:

PKP sudah pasti sesuatu di luar jangkaan logik akal sebelum ini sehingga membantutkan banyak kefungsian dalam kehidupan seharian. Perlu difahami, masyarakat di Malaysia terbahagi kepada beberapa kategori iaitu bawahan, pertengahan dan atasan. Skop kerjaya juga berbeza. Justeru, corak fikiran dan daya tindak juga berbeza.


Keadaan ini adalah senario yang berkait rapat dengan faktor psikologi seseorang manusia iaitu pemikiran, perasaan, tingkah laku serta sosial dan spiritual. Semua ini adalah teras dimensi utama dalam kehidupan seseorang. Maka sesuatu perkara yang berlaku di luar jangkaan menyebabkan gangguan dalam dimensi asas tersebut terutamanya melibatkan persediaan dan penerimaan.


Kesan ekonomi amat ketara bagi sumber pendapatan yang berorientasikan manusia dan kontak sosial seperti perniagaan, pendidikan, pengangkutan, pelancongan, perkhidmatan sumber manusia serta pelbagai sektor perkilangan. PKP yang dilaksanakan secara menyuluruh dan tidak bersasar pastinya mengakibatkan sektor ekonomi lumpuh.


Ramai yang hilang punca pendapatan terutama bagi yang berpendapatan gaji harian. Secara tidak langsung ia menimbulkan krisis kewangan dan kesan buruk pada pendapatan isi rumah. Perbelanjaan harian, bayaran bil-bil utiliti serta sewa rumah dan pinjaman sedia ada masih perlu dijelaskan.


Sungguhpun kerajaan menyediakan bantuan tertentu namun ia tetap tidak mampu menampung keseluruhan liabiliti yang ditanggung. Keadaan semakin parah apabila emosi tidak terkawal akibat tekanan perasaan yang berlaku seperti sudah tiada solusi yang terdaya dilakukan. Akhirnya, ia menjadi penyebab kepada masalah keluarga, persekitaran sosial yang tidak harmoni serta pertengkaran dan perbezaan pendapat.


Kes-kes penderaan juga boleh berlaku dalam tempoh ini apabila pasangan atau keluarga yang sudah sedia ada bermasalah tetapi perlu berada dalam satu tempoh masa yang lama. Isu ini menjadi penyebab wujudnya persekitaran tidak selamat dalam rumah tangga.


Selain itu, PKP juga mengekang hubungan dan interaksi sosial dengan keluarga serta rakan taulan. Namun ia bukanlah isu besar untuk diperdebatkan kerana kita perlu berpijak di dunia nyata dalam mencari solusi terbaik bersama. Banyak kaedah atau cara masih boleh dipraktikkan dalam memastikan hubungan sosial masih boleh berterusan walau dalam tempoh pandemik ini.




Soalan:

Bagaimana untuk kita kesan yang diri kita atau orang terdekat mengalami kemerosotan kesihatan mental ini?



Jawapan:

Tanda-tanda dan gejala gangguan kesihatan mental pada setiap individu bergantung pada gangguan tertentu, tetapi ada beberapa tanda umum yang boleh dilihat termasuklah:

• Perubahan dalam tidur dan atau selera makan (terlalu banyak atau terlalu sedikit)
• Kehilangan minat terhadap perkara-perkara yang dulu menggembirakan atau menarik
• Mengasingkan dan bersendirian lebih kerap
• Menghabiskan sebahagian besar masa untuk berfikir atau bercakap mengenai berat badan atau badan mereka
• Melakukan kecederaan diri seperti memukul, menggigit, menghantukkan kepala sampai luka, memotong atau mengambil tindakan yang lebih agresif.



Soalan:

Cara terbaik untuk kita menstabilkan emosi dan menguruskan stres di kala pandemik?


Jawapan:
  • Tanggalkan topeng anda – Cukuplah berpura-pura. Biar orang di sekeliling anda melihat anda sebenar, tidak sempurna, aneh, pelik, cantik dan betapa istimewanya anda. Itu sudah cukup. Tidak perlu lagi memikirkan apa pandangan orang lain.
  • Percaya pada gerak hati – kita tak perlu menerangkan kepada orang lain tentang isi hati kita. Percayakan kepada bisikan hati kita kerana ia selalunya tahu apa yang terbaik untuk kita.
  • Lepaskan pemikiran yang tidak menyenangkan – pada saat ini, fikiran sedang menetapkan hala tuju untuk hari anda. Pilih pemikiran yang membawa kepada sesuatu yang paling anda ingini untuk hari ini.
  • Tegas membuat keputusan apa yang penting dan apa yang tidak – tekanan atau stres berpunca daripada bagaimana kita memberi reaksi, bukan daripada kehidupan kita. Pengertian untuk setiap perkara dalam hidup kita adalah diberikan oleh anda sendiri. Ketenangan jiwa bermula di saat anda memilih untuk sedar, dengan tidak membiarkan orang lain atau sesuatu peristiwa untuk menguasai emosi kita.
  • Ambil nafas dalam-dalam apabila kita memerlukannya – Anda tidak perlu menyelesaikan setiap masalah dalam hidup untuk menikmati hidup yang aman.
  • Menjaga kewarasan dan rasional kita – Kadang-kadang kita perlu mengatakan “tidak” kepada perkara-perkara yang baik untuk membolehkan kita mengatakan “ya” kepada perkara-perkara penting. Kita tidak dapat melakukan semuanya. Kita harus sentiasa sedar dan membuat pilihan dengan bijak.
  • Amalkan rasa syukur – Jika kita mencari sebab untuk jadi pemarah, kita akan mendapat sebab untuk itu. Lihatlah sebaliknya, cari sebab-sebab untuk bersyukur, dan lihatlah ia di mana-mana. Ingatkan diri kita bagaimana kita bernasib baik masih lagi bernafas pada masa ini di sini, sekarang. Lebih banyak kita menghargainya, ia akan menjadi lebih baik.
  • Buang tabiat mudah terguris hati atau hanya merungut – Jika anda mengambil segala-galanya secara peribadi, anda akan kekal tersinggung untuk sepanjang hayat anda. Apa yang orang lain sering lakukan adalah kerana mereka sendiri, bukan anda.
  • Menyedari bahawa kita mungkin memerlukan jauh lebih sedikit daripada apa yang dimiliki – Orang paling kaya bukan orang yang mempunyai yang paling banyak harta, tetapi orang yang memerlukan yang paling sedikit. Kekayaan adalah mindset. Mulai hari ini, kurangkan kemahuan dan hargai apa yang telah ada.
  • Penuhi hidup anda dengan banyak pengalaman, bukan banyak benda – Kekusutan fizikal sering kali menimbulkan kekusutan emosi. Lebih baik memiliki banyak cerita yang luar biasa dalam hidup, bukannya kekusutan yang luar biasa barang-barang dalam almari anda.
  • Hanya lakukan yang terbaik dan menghargainya – Tidak kira apa yang berlaku hari ini, ingat, anda tidak akan menikmati hidup anda jika anda tidak menikmati cabaran anda. Dan cabaran yang paling sukar pernah anda lalui, anda akan merindui dan berterima kasih kepadanya apabila anda sedar betapa ia telah membawa anda sejauh ini.
  • Fokus kepada perkara positif – Pemikiran positif bukanlah mengharapkan yang terbaik berlaku setiap masa – ia mengenai menerima apa yang berlaku dalam setiap masa, dan membuat yang terbaik terhadapnya.
  • Lepaskan apa yang tidak diperlukan – Melepaskan sering kali membawa kita satu langkah ke hadapan. Kadang-kadang kita perlu bersedia mengelakkan diri daripada apa kita hajatkan, untuk mencari apa yang anda benar-benar perlukan. Jadi jangan biarkan ketakutan dan kesakitan masa lalu anda mempengaruhi pandangan anda pada masa kini.




Soalan:

Nasihat puan kepada masyarakat untuk sedar bahawa kesihatan mental sama penting dgn kesihatan fizikal, malah lebih perlu diberi keutamaan kerana sukar dikesan?


Jawapan:

Semua peringkat masyarakat boleh mengalami masalah mental, jelasnya, namun masyarakat yang berada pada tahap sosio ekonomi rendah adalah lebih berisiko, disumbangkan oleh masalah kewangan, terlalu ramai ahli keluarga dalam satu rumah dan kekurangan pendidikan.


Penyakit mental terbahagi kepada tiga jenis iaitu psikosis iaitu yang paling ketara dan agak berat serta orang ramai menganggap pesakit ini sebagai gila. Contohnya, skizofrenia, kemurungan dan bipolar.


Jenis kedua, neurosis. Pesakit mempunyai ciri kegelisahan dan kerisauan atau cemas. Kadang kala pesakit mental ringan ini tidak boleh diterima orang lain kerana beranggapan pesakit berpura-pura dan cuba menarik perhatian.


Jenis ketiga dikenali sebagai penyakit mental organik yang berkaitan dengan masalah fizikal dan kecederaan otak, contohnya selepas berlaku kemalangan.


Dengan menyedari tentang hal ini, maka masyarakat perlu lebih mengambil berat kepada kesejahteraan mental. Peduli diri dan cakna emosi adalah pendekatan terbaik buat semua lapisan masyarakat.




Soalan:

Antara banyak-banyak faktor tekanan ini, yang mana paling kerap dihadapi oleh rakyat Malaysia? Kenapa agaknya?


Jawapan:

Masalah kemurungan menjadi masalah besar di seluruh dunia yang menjejaskan tahap keupayaan bekerja. Ia lebih kerap dialami wanita, namun kecenderungan untuk membunuh diri disebabkan kemurungan lebih banyak terjadi dalam kalangan lelaki. Kita selalu fikir kebanyakan orang ramai yang tidak berupaya bekerja ini disebabkan mereka mengalami masalah dari segi fizikal.


Bila mereka pergi berjumpa doktor, didapati tiada penyakit dan doktor hanya memberikan ubat biasa seperti paracetamol dan sebagainya. Kita tidak sedar sebenarnya dia mungkin mengalami masalah mental sehingga tiada keupayaan untuk bekerja.


Masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan profesional yang semakin menjadi-jadi juga dikenal pasti sebagai punca meningkatnya penyakit mental dalam kalangan penduduk Malaysia.


Pengambilan dadah seperti syabu boleh menyebabkan kelakuan seseorang itu sama seperti simptom dialami bagi penyakit mental psikotik. Jika pengambilan dadah itu berterusan, simptom penyakit mental juga akan bertambah.


Faktor sosio ekonomi juga boleh menyebabkan masalah penyakit mental lebih-lebih lagi di zaman urban yang penuh dengan persaingan, yang mana sesetengah individu tidak mampu untuk menerima tekanan.


Tambahan pula tekanan yang berlaku secara tiba-tiba dan luar jangkaan sepertimana yang sedang dihadapi oleh ramai orang sepanjang tempoh PKP disebabkan oleh Pandemik Covid-19.



Siti Fatimah Abdul Ghani KB, PA
Kaunselor Berdaftar, Universiti Putra Malaysia