Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Personaliti

Wanita OKU Penglihatan Ini Cekal Berkelana Sendirian di Kuala Lumpur, Kini Sukses Dalam Kerjayanya.

Penulis Jemputan 26/02/2021 | 02:39 MYT
Teks: Nor Hatina Shuib
OKU juga seperti orang lain, menjalani hidup secara normal dengan cara mereka. tersendiri. Seperti gadis manis bernama Siti Huraizah ini, sejak kecil beliau sudah melakukan kerja rumah, dimarahi, didenda dan ditegur sekiranya melakukan kesilapan meskipun Kurang Upaya Penglihatan.
Pesan wanita ini, jangan sesekali memanjakan OKU kerana itu adalah perosak kepada kejayaan mereka kelak dan layanan diterima sama seperti orang normal lain, menjadikan beliau seperti hari ini.
Tidak lembik dan tidak meminta simpati orang. Malah, dia berpegang dengan falsafah, “Kalau kita nak menjadi seperti orang yang normal, kita harus dilayan sama seperti mereka,”
Melihat seorang wanita berpenampilan menarik, kemas memakai hijab dengan pelbagai gaya dandanan, lincah kesana sini berseorangan dan petah berkata-kata, memang tidak menyangka wanita kelahiran Kelantan, ini adalah Orang Kurang Upaya Jenis Penglihatan yang sudah belasan tahun hidup berdikari di Ibu Kota.
Kalau melihat penulisannya di laman sosial Facebook pula, umpamanya, ‘kalah’ kita yang sempurna ini kerana setiap ulasannya cukup matang dan berwibawa.
Itu belum lagi berdebat isu semasa, memang ‘kalah’ teruk kerana beliau gemar membuat kajian sebelum berbicara selain gemar menambah ilmu dengan membaca bahan ilmiah.
Hilang penglihatan sejak berusia tujuh tahun akibat menghidapi penyakit Trakoma, sejenis penyakit mata, beliau sebelum ini pernah melihat keindahan dan warna-warni dunia ini satu ketika dulu dan ia mulai beransur gelap sedikit demi sedikit sejak sejak penyakit ini menganggu penglihatannya sejak berusia empat tahun lagi.
Pemilik nama indah Siti Huraizah Ruslan, 37, ini juga bukan saja berdikari, bersendirian di kota Kuala Lumpur yang penuh pancaroba, tetapi turut menggapai impiannya, memiliki ilmu atas keyakinan pendidikan itu melengkapkan setiap kekurangan diri.
Berjaya memiliki ijazah sarjana muda, ia melayakkan beliau menjawat jawatan sebagai Eksekutif Kanan Aksesibiliti dan Advokasi di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).
Malah, anak sulung daripada empat beradik ini juga kini dalam misi mendapatkan sarjana sebagai melengkapkan cita-citanya selama ini.
Jom kita kenali kehidupan seorang OKU dengan lebih dekat. Pasti tertanya-tanya bagaimana beliau menjalankan kehidupan seharian.
Bermula daripada perjalanan ke rumah, sehingga sampai ke tempat kerja, melakukan tugasan kerjaya, kembali ke rumah, melakukan tugasan memasak, membasuh dan sekecil-kecil rutin seperti mengggosok tudung dan menjaga penampilan, istimewa betul wanita cekal ini.
Sememangnya setiap kekurangan yang diberikan Allah, ada jalan keluar yang dibentangkan untuk kita melangkah.
Lihat saja wanita comel molek ini, berdikari dan sendirian di ibu kota tanpa melihat dengan mata kasar, bukan alasan untuk tidak menjadi insan berjaya. Beliau melihat keindahan dunia ini dan terus melangkah dengan mata hati…
Kredit foto: Siti Huraizah
Sepanjang bergelar OKU, apa situasi paling susah anda berjaya lalui?
Situasi paling susah adalah saat transisi daripada seorang yang dapat melihat menjadi OKU Penglihatan. Menjadi OKU, saya percaya ianya suatu mimpi ngeri bagi mereka yang dilahirkan sempurna sifatnya. Saya bahagikan detik sukar ini kepada dua bahagian:
Menerima hakikat yang saya telah hilang penglihatan. Ianya memakan masa yang lama. Meskipun pada ketika itu saya masih kanak-kanak, kecewa dan sedih tetap ada.
Mungkin tidak seteruk mereka yang dewasa tapi ianya tetap dirasai. Walaupun kelihatan saya sekadar seorang kanak-kanak yang suka bermain tapi dalam hati Allah je yang tahu.
Tambahan pula, bagaimana seorang kanak-kanak seperti saya mampu untuk meluahkan rasa kecewa saya.
Saya tak tahu kepada siapa harus saya luahkan kekecewaan dan keperitan saya? Siapa yang mahu mendengar keluhan budak kecil seperti saya? Keluarga sekadar tahu saya sakit dan tidak dapat melihat.
Tiada siapa yang menyelami hati sanubari saya ketika itu. Bukan salah orang di sekeliling tapi keadaan ini mengejutkan semua orang. Kehilangan penglihatan ini bukan sekadar memberi tekanan, kekecewaan dan kesedihan kepada saya tetapi kepada seluruh keluarga saya. Ketika itu, saya rasakan, dunia telah pun berakhir.
Saya akan terus diam di rumah saban waktu sehingga kembali menemui pencipta. Saya tak mungkin akan ke sekolah seperti adik saya. Saya juga tak mungkin akan keluar berkerja seperti mama dan abah saya.
Saya tak mungkin menjadi wanita aktif berkerjaya dan cantik seperti nenek saya yang merupakan idola saya selama ni. Cita-cita zaman kanak-kanak untuk menjadi pramugari, harus saya kuburkan.
Mengadaptasi kehidupan sebagai seorang yang Kurang Upaya Penglihatan jika sebelum ini pernah menjalani hidup berpenglihatan. Menjalani hidup sebagai seorang OKU.
Penglihatan harus ada adaptasi dari kehidupan sebelumnya. Sebagai contoh, cara belajar dan bermain. Jika kanak-kanak berpenglihatan bermain banyak menggunakan penglihatan, saya harus bermain menggunakan deria-deria lain seperti rasa, sentuh, bau dan dengar.
Antara permainan yang menjadi kegemaran saya adalah lego. Jika sebelum itu saya membina lego berdasarkan penglihatan, setelah menjadi OKU Penglihatan, saya harus menzahirkan kreativiti saya melalui imaginasi dengan cara menyentuh tanpa melihat.
Saya berjaya memasang lego-lego saya hanya dengan sentuhan. Abah antara orang yang sering memberi galakan kepada saya untuk bermain permainan kegemaran saya meskipun setelah menjadi buta.
Alhamdulillah, hari demi hari berlalu, saya mampu mengatasi cabaran ini dengan jayanya. Pergaulan di sekolah khas akhirnya, mampu menjadikan saya kembali seperti manusia lain yang berpenglihatan.
Kredit foto: Siti Huraizah
Cabaran dan kepayahan menjadi OKU, adakah anda bersetuju ia amat menyukarkan atau sebaliknya?
Bagi saya, menjadi OKU sebenarnya bukan sesuatu yang susah. Kuncinya adalah, penerimaan kita dengan ikhlas terhadap takdir Allah. Selagi kita tidak menerima keadaan kita seadanya, selagi itulah kita takkan mampu untuk bergerak ke hadapan. Bak kata orang Inggeris, kita tak boleh move on.
Kalau kita asyik meratapi nasib kita dan sibuk nak jadi nampak balik, kita akan fokus kepadanya dan ia adalah sia-sia kerana kita hidup dalam rialiti bukan dalam novel atau filem yang buta menjadi celik kembali.
Memang masa depan itu di tangan Allah. Tapi apa yang didiagnos oleh doktor itu kita boleh jadikan ‘guideline’ untuk mengatur langkah untuk berjaya. Kita kena redha yang kita tak mungkin kembali seperti dulu. Bila kita terima, kita akan berusaha untuk terus ke hadapan.
Dan waktu itu, setiap kesukaran yang kita lalu pasti dapat kita atasi insya-Allah. Setiap kesusahan dan kesukaran itu hanya asam garam hidup. Ianya bersifat sementara. OKU juga seperti orang lain, menjalani hidup secara normal dengan caranya tersendiri.
Kredit foto: Siti Huraizah
Bagaimana anda berjaya menjadi seorang yang berdikari. Berseorangan di Kuala Lumpur,belajar dan bekerja?
Asuhan itu harus bermula dari rumah. Ibu bapa dan keluarga adalah kunci kepada keyakinan diri. Sebab itulah, sokongan dari keluarga itu penting bagi OKU. Tanpa sokongan secara fizikal dan mental, seseorang OKU pasti tidak mampu berdikari.
Ibu bapa dan keluarga melayani saya seperti orang berpenglihatan. Saya dibesarkan sama seperti adik-adik saya.
Saya perlu melakukan kerja rumah, uruskan diri sendiri, belajar dan bermain seperti adik-adik yang lain. Saya juga dimarahi dan ditegur sekiranya melakukan kesilapan. Kalau mereka dipukul atau dicubit, saya juga akan dipukul dan dicubit jika berbuat salah. Tiada maaf bagi saya meskipun saya ini Kurang Upaya Penglihatan.
Jangan sesekali memanjakan OKU kerana itu adalah perosak kepada kejayaan mereka. Di sekolah pula, saya dididik dan diasuh sama seperti pelajar normal walaupun saya bersekolah di sekolah Pendidikan Khas. Saya juga seperti kanak-kanak lain, suka bermain, adakalanya nakal. Guru-guru mendenda kami seperti guru-guru di sekolah biasa.
Saya bukan tak pernah dirotan, berdiri atas kerusi dan meja, ketuk ketampi, berdiri di tengah panas dan lain-lain.
Malah pernah disuruh siram pokok bunga sekeliling sekolah yang besar tu. Kalau kita nak menjadi seperti orang yang normal, kita harus dilayan seperti mereka. Saya juga dilatih untuk berani bercakap dan membuat persembahan sejak di tadika dan sekolah rendah.
Kredit foto: Siti Huraizah
Sebagai insan OKU, bagaimana mempelajari banyak benda baharu setiap hari. Siapa guru anda dalam membantu segalanya sehingga anda begitu berdikari?
Banyak cara saya belajar benda baru. Sama ada melalui radio, televisyen, kawan-kawan dan pengalaman. Malah, jika saya berminat dengan sesuatu, saya akan mencari tahu sama ada melalui internet dan Youtube.
Kalau tutorial tu saya tak faham sebab mereka menerangkannya secara visual, saya akan minta kawan-kawan untuk menerangkannya kepada saya melalui sentuhan atau praktikal.
Ceritakan rutin harian anda serba sedikit sebagai OKU Penglihatan?
Saya akan membahagikan masa saya pada setiap hari kepada beberapa bahagian:
a. Masa untuk pencipta.
b. Masa untuk diri sendiri seperti penjagaan kesihatan dan kecantikan .
c. Persiapan rumah seperti mengemas dan memasak jika berkesempatan .
d. Masa untuk kerjaya di pejabat dari 8.30 pagi-5.00 petang.
e. Masa untuk haiwan kesayangan saya, Chiko, seekor kucing yang setia menemani saya dari mula dia melihat dunia hingga sekarang walaupun setelah lapan tahun berlalu.
f. Masa untuk pelajaran saya memandangkan sekarang ni saya sedang sambung belajar di peringkat sarjana.
g. Masa untuk hobi saya seperti membuat video Youtube, membaca dan lain-lain.
Kredit foto: Siti Huraizah
Apa impian anda dan sasaran dalam kehidupan?
Impian saya adalah untuk mengembara ke serata pelusuk dunia dan saya mahu jadi seorang yang mampu menyumbang kepada mereka yang susah. Doakan supaya saya dimewahkan rezeki. Saya juga nmahu menyumbang kepada komuniti kucing.
Pernah atau tidak rasa kecewa sebagai OKU atau ia lebih membuatkan anda rasa bersemangat dalam mengharungi kehidupan?
Kecewa sebab jadi OKU tu macam angina lalu saja. Kecewa sekejap ketika waktu baru-baru diuji contoh, tiada bahan hendak buat kertas kerja. Saya akan duduk termenung, fikir macam mana mahu selesaikan.
Kadang-kadang nangis jugak bila diuji dengan kesukaran tu. Tapi kejap saja. Lepas tu,apabila sudah dapat cara mengatasinya, saya akan bangkit dan bersemangat kembali untuk meneruskan perjuangan.
Kredit foto: Siti Huraizah
5 Rutin Yang Dijalankan Siti Huraizah. Ramai Tidak Tahu, Beliau Juga Memasak, Sama Seperti Orang Normal. Bagaimana Ya? Tentu Ini Jadi Persoalan Ramai.
1. Bagaimana anda melakukan aktiviti memasak?
Memasak itu sama saja macam orang lain. Bezanya, orang yang berpenglihatan menggunakan mata untuk memasak. Tapi bagi OKU Penglihatan macam saya, saya gunakan deria-deria lain untuk memasak.
Sebagai contoh, deria pendengaran untuk mengetahui sama ada minyak sudah panas atau belum, lauk dah masak atau belum. Deria bau pun saya gunakan.
Kadang-kadang bila tidak yakin dengan pendengaran, bau akan membantu atau sebagai maklumat tambahan untuk mengetahui apa yang saya masak itu sudah masak atau belum dan sudah menggelegak atau belum.
Deria yang tidak kurang pentingnya juga adalah deria sentuhan. Deria sentuhan ini digunakan terutamanya sewaktu menyediakan bahan-bahan memasak.
Itu sentuhan secara langsung. Tapi sentuhan juga diperlukan ketika makanan di atas dapur. Tapi sentuhan ini menggunakan alat seperti sudip.
Kita boleh kenal sama ada sesuatu lauk itu sudah dibalikkan kea tau belum melalui sentuhan menggunakan sudip. Sebagai OKU Penglihatan, saya dapat rasa daripada sentuhan sudip tersebut.
2. Bagaimana anda kenali dan melangkah ke tempat kerja?
Pada mulanya, semestinya saya perlukan seseorang untuk mengajar saya orientasi tempat. Saya akan belajar dengan orang yang berpenglihatan supaya dia dapat menerangkan apa yang ada di sepanjang perjalanan tu.
Kemudian, saya suka keluar dengan kawan-kawan yang sama untuk ajar saya acara untuk pergi ke sesuatu tempat kerana mereka akan mengajar saya mengenal tempat seperti pintu masuk stesen LRT, laluan mana laluan yang sesuai, dimana laluan yang mudah bagi OKU Penglihatan dan macam mana mahu elak dari halangan dan lain-lain.
Mungkin dua tiga kali kami akan berjalan bersama. Setelah saya dapat’ visualize’ dan jadikan ia sebagai peta dalam minda saya, saya akan yakin berjalan seorang diri.
Jadi, saya ke tempat kerja dengan berjalan kaki dari rumah ke stesen LRT, sampai ke destinasi, saya akan berjalan kaki lagi ke pejabat.
Kredit foto: Siti Huraizah
3. Bagaimana anda kelihatan cantik, memadankan pakaian serta menggosok pakaian?
Saya memang sudah terbiasa dari kecil melihat orang-orang cantik. Dalam keluarga, nenek saya seorang yang berkerjaya, terlibat dalam politik dan sangat menjaga penampilan. Saya sangat tertarik kepadanya.
Nenek juga selalu mengajar saya supaya sentiasa cantik dan kemas. Selalu belikan saya pakaian, aksesori, kasut, beg tangan dan macam-macam lagi. Saya diajar untuk memadankan warna pakaian.
Alhamdulillah, saya masih mampu melihat warna. Jadi, saya boleh buat sendiri. Kalau tak pasti, saya akan tanya kawan. Memandangkan saya ketika normal dulu sukakan orang-orang yang cantik dan kemas, jadi apabila sudah tidak nampak, saya mahu berpenampilan menarik.
Jadi, sekarang, saya banyak belajar dengan kawan-kawan untuk berfesyen, mekap, fesyen-fesyen terkini dan cara lilitan tudung.
Kadang-kadang,apabila sudah jemu dengan sesuatu fesyen contohnya tudung, saya akan search di Youtube cara tutorial pemakaian tudung jenis lain.
Saya memang tidak dapat melihat, saya akan minta tolong kawan tengok lepas itu ajar saya macam mana orang dalam video itu buat. Macam itulah cara saya memastikan penampilan diri saya supaya kelihatan kemas.
4. Bagaimana anda mengeluarkan wang di ATM?
Ini sebenarnya isu besar yang masih lagi diperjuangkan tapi belum berkesudahan. Saya akan minta tolong kawan. Tapi saya sendiri yang akan tekan nombor pin.
Saya juga ada online banking supaya saya dapat double confirm setiap aliran keluar masuk duit saya agar saya tidak ditipu.
Baru-baru ni, Hong Leong Bank ada install ATM Machine bersuara. Jadi hanya itu saja mesin ATM yang dapat saya gunakan sepenuhnya secara sendiri.
5. Bagaimana anda belajar dan mengulangkaji pelajaran, apa cabaran dan panduan ?
Belajar di zaman teknologi ini tidak sesusah saya belajar ketika mengambil ijazah dulu. Sekarang, maklumat di hujung jari. Banyak bahan bacaan seperti jurnal atau bahan-bahan ilmiah boleh didapati secara online.
Maka ia lebih mudah bagi saya. Ianya membuatkan saya berdikari. Saya tak perlu lagi meminta belas ehsan orang untuk mencari bahan-bahan bacaan atau assignment. Apa yang penting, kita kena cari bahan bacaan yang sah untuk dijadikan rujukan dalam kertas kerja.
Semua ini saya lakukan dengan telefon, komputer dan komputer riba yang telah di’install’ dengan’ screen reader software’.
#Gaya Hidup #wanita #OKU #Penglihatan
;