Highlights

WhatsApp GROUP SEKOLAH Anak Yang Menjengkelkan - Kasut Sekolah Anak Pun Suruh Cikgu Betulkan?

gempak
Huda Hussain
25/10/2019
01:12 MYT
Sponsor Banner
WhatsApp GROUP SEKOLAH Anak Yang Menjengkelkan - Kasut Sekolah Anak Pun Suruh Cikgu Betulkan?
Pengalaman menghantar anak ke pra sekolah pastinya mengujakan ibu bapa. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru kali pertama merasainya. Seronok dan teruja dengan kelibat anak-anak yang baru mahu membiasakan diri dengan persekitaran baru semestinya meninggalkan pengalaman bermakna.
Dan kecanggihan zaman serba teknologi kini juga tidak lagi menjadi halangan bagi ibu bapa memantau dan mengetahui perkembangan anak-anak.
Malah menjadi kelaziman kini bagi ibu bapa dan guru-guru kini mempunyai Whats App group. Ya, walaupun anak baru tadika, ibu bapa sudah ada Whats App group okey!
Tujuannya sudah tentu bagi memudahkan guru-guru menyalurkan maklumat, berkongsi informasi penting berkaitan pelajaran dan perkembangan sekolah. Tetapi sayangnya, ia seringkali disalah gunakan sebagai medium yang tidak sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa.
Berbalik kepada objektif dan tujuan utama ibu bapa menghantar anak-anak ke mana jua tadika, tabika, prasekolah baik swasta ataupun dibawah seliaan kementerian tertentu; semuanya adalah demi memberikan pendedahan dan pendidikan awal kepada anak-anak.
Agar tidaklah nanti anak-anak mengalami kejutan budaya apabila melangkah ke alam sebenar persekolahan yang semakin mencabar kini.
Dan sewajarnya tugas mendidik dan menjaga perihal kebajikan, keperluan asasi dan lain-lain dipikul bersama yakni pihak ibu bapa dan guru. Tidak adil jika mahu menyerahkannya bulat-bulat kepada guru untuk melunaskan segala.
Berikut adalah situasi lazim yang sering dialami oleh guru-guru khususnya guru-guru di tadika.

Betulkan Kasut Anak Pun Suruh Cikgu!
Daripada sebesar-besar perkara hingga sekecil-kecil hal, semuanya tergalas dibahu guru. Tugas cikgu di sekolah, bukanlah asyik berkepit dengan telefon bimbit memanjang.
Jika anda dalam situasi di atas, bagaimana agaknya reaksi anda? Sama ada anak-anak yang manja atau mak-mak yang mengada? Alahai mak-mak sekalian, inilah masanya anda mengajar kemahiran asas kepada anak-anak apabila mereka semakin meningkat usia.
Terutamanya bagi anak-anak dalam lingkungan tiga hingga empat tahun. Logiknya, pada peringkat usia ini mereka sudah boleh bezakan kiri dan kanan, bila masanya perlu ke tandas untuk membuang air, adab dan tatasusila seperti salam dengan orang yang lebih tua dan lain-lain.
Tidak adil jika soal betulkan kasut pun disuruhnya cikgu yang buat kan? Betul tak?

Anak Sedang Ujian Pun Cikgu Kena Ambil Gambar?
Faham, mak-mak semua teruja. Almaklum sajalah ini kali pertama anak-anak menduduki ujian. Jika mahu disimpan foto itu dalam album untuk ditunjukkan kepada anak apabila besar kelak, tak mengapalah.
Sementelahan setiap daripada kita ada cara tersendiri mahu mengabadikan momen yang akan menjadi kenangan sepanjang hayat. Tapi, takkanlah pula anak sedang menjawab soalan peperiksaan pun dipintanya cikgu ambil gambar?
Tidak pasti pula sama ada kebergantungan kepada media sosial kini membuatkan ibu bapa teruja mahu berkongsi segalanya mengenai perihal anak-anak dalam medium ini.
Apakah kalian fikir cikgu-cikgu tiada kerja lain di sekolah? Alahai mak-mak sekalian. Cuba relaks boleh tak? Biarkan anak-anak anda melalui zaman tadika atau prasekolah mereka dengan tenang, ceria dan gembira.
Beri ruang kepada anak-anak untuk belajar mendengar arahan daripada cikgu, belajar menghormati cikgu, belajar bergaul dengan rakan sebaya dan sebagainya.

Fahami Peranan Kita Demi Kebaikan Bersama
Rumusannya, janganlah jadikan guru sebagai pembantu rumah atau pengawal keselamatan kepada anak-anak anda. Botol air atau bekas makanan anak yang terlupa dibawa pulang pun disuruh cikgu yang simpankan.
Menyuruh cikgu memanggil anak turun walaupun hakikatnya boleh saja ibu atau bapa menunggu, menjemput sendiri di hadapan pintu sekolah. Itu belum lagi disentuh perihal yang lain.
Menghantar anak-anak ke tadika adalah pendedahan awal untuk mempersiapkan psikologi anak-anak. Bahawasanya, ruang lingkup anak-anak bukan terhad kepada orang tertentu sahaja.
Bukan berkisar mengenai keberadaan ibu, bapa, adik-beradik, saudara-mara, jiran tetangga dan sebagainya. Inilah permulaan yang membawa minda anak-anak kita mengenal siapa rakan sebayanya, guru-guru dan masyarakat secara amnya.
Latihlah anak-anak berdikari, peringkat demi peringkat. Sedikit demi sedikit sehingga anda yakin anak-anak anda boleh berdiri di atas kaki sendiri. Ya, itu semua perlukan masa dan menuntut pengorbanan kita dari segenap sudut.
Fahami tanggungjawab dan peranan kita sebagai ibu bapa, guru dan murid-murid. Kenali dan selidiki peribadi anak-anak kita kerana hakikatnya didikan awal itu sentiasa bermula dari rumah.
Kita bukan mahu melahirkan generasi yang besar kepala, manja dan mengada-ngada. Hanya yang terbaik kita harapkan demi masa depan mereka.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024