Highlights
WORK FROM HOME Sebenarnya Lagi Penat Dari Kerja Dari Pejabat, Hari-Hari ‘Over Time’ – Salah Sendiri!
Apa pun syukurlah masih ada kerja dan gaji bulanan. Ada orang lebih perit meneruskan kelangsungan hidup apabila dibuang kerja dan syarikat gulung tikar. Tapi di sini, penulis ingin ceritakan perihal work from home atau kerja dari rumah yang sedang dipraktikkan oleh kebanyakan pekerja ketika musim pandemik ini.
Ada yang kata untunglah dapat kerja dari rumah. Dapatlah bersenang-senang di rumah sambil buat kerja rasmi. Boleh juga lari ke sana ke sini, bos bukan tahu? Anak-anak di rumah pun boleh dipantau di depan mata. Banyak urusan boleh diuruskan serentak, urusan rumah dan kerja.
Hakikatnya, ia tidak semudah mendendangkannya. Mula-mula dulu penulis pun rasa teruja. Ya, banyak kerja boleh diuruskan dari rumah dengan adanya teknologi canggih hari ini. Artikel boleh diketuk dari rumah. Naikkan sahaja menerusi online. Kalau bos panggil mesyuarat, boleh dibuat secara virtual.
Yang penting kena ‘alert’ sajalah telefon itu. WhatsApp harus selalu dijenguk. Kalau sambil memasak itu, telefon mesti dibawa sama. Manalah tahu tiba-tiba bos tanya soalan ketika kita sedang goreng ikan. Malah, ke tandan pun kena cepat-cepat periksa email atau apa-apa panggilan yang masuk.
Itulah masalahnya pula apabila dilema untuk menguruskan kedua-duanya dalam satu waktu dan satu tempat. Bukanlah kata ambil kesempatan, namun tidak dapat untuk menolak apabila bekerja dari rumah dan anak-anak pula di depan mata. Dengan keadaan rumah yang pastinya menuntut banyak komitmen.
Seketika menaip di laptop, perut terasa lapar. Berfikir sama ada mahu masak atau order sahaja. Kalau masak, pasti makan masa. Kalau order, nanti dah sampai kena turun ambil pula. Malasnya nak bersiap turun jumpa orang lagi. Aduhai, dilema sungguh! Belum dikira nak mengemas rumah, mencuci baju dan sebagainya.
Kalau tidak dibuat, sakit pula mata, kalau mata dah sakit, bagaimana untuk fokus menyiapkan kerja pejabat? Belum lagi hal anak-anak yang mahukan perhatian. Ditambah dengan mereka yang perlu hadiri kelas secara online, homework yang minta ibu ayah bantu selesaikan sama. Kalau yang ada anak kecil, lagilah!
Kredit Foto: Google
Ya, apa pun berbaik pada pengurusan masa sendiri. Jika kita sudah ambil masa siang yakni masa bekerja pejabat, maka wajiblah diganti pada waktu malam. Walaupun rasa tak adil, namun inilah yang dikatakan kejujuran dalam bekerja dan demi mencari keberkatan dalam gaji yang diperolehi.
Maka, janganlah dikeluhkan jika kerja yang patutnya diselesaikan di siang hari bertangguh sehingga ke malam. Itu pun selepas suami dan anak-anak sudah aman tenteram masuk bilik tidur. Barulah para ibu selesa untuk menyudahkan kerja perjabat yang berbaki. Apa pun, tahniah bagi anda yang berjaya melaluinya berbulan-bulan selama PKP ini.
Semoga kita terus menjadi pekerja yang produktif di samping tidak mengenepikan urusan rumah. Tiada yang mustahil untuk memperoleh kejayaan dalam kerjaya juga sebagai isteri dan ibu. Inilah budaya dan cabaran baru sebagai wanita bekerjaya. Selamat bekerja dari rumah semuanya.