Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
gaya hidup

Yang Kau Ceraikan Itu Isteri Tapi Anak-Anak Masih Amanahmu. Jangan Lupa Diri, Nanti Dah Tua, Anak Juga Dicari.

Afiza Kamarulzaman 06/02/2021 | 15:48 MYT
Tiada siapa mahu perkahwinan berakhir dengan penceraian hidup. Sesiapa saja mahu membina keluarga bahagia bersama anak-anak. Namun, ini takdir yang sudah tertulis. Ujian yang tidak mampu dilawan dan akhirnya penceraian juga jalan terbaik. Ada yang kata itu keputusan terbaik demi kepuasan semua pihak.
Yang selalu menjadi mangsa pastilah anak-anak. Apa lagi yang sudah ‘berakal’ dan mampu menilai sendiri apa yang berlaku di depan matanya. Andai kedua-dua pihak suami dan isteri mampu meneruskan hubungan yag baik selepas bercerai, tidak mengapa. Dan, nasib anak-anak tidak diabaikan, ia tidak mendatangkan kerosakan dalam hidup anak-anak.
Namun, yang menjengkelkan adalah apabila penceraian menjadikan hidup anak-anak tunggang-langgang. Si ibu harus membesarkan anak-anak sendirian apabila bekas suami tidak mahu bertanggungjawab, bersikap lepas tangan dan memberi pelbagai alasan untuk tidak membayar sebarang nafkah.
Meranalah si ibu terpaksa menyara kesemua anak yang ditinggalkan suami durjana. Mahu dituntut di mahkamah perlukan duit dan masa pula. Kalau dapat suami yang mahu beri kerjasama hadir di setiap perbiacaarn okeylah. Kalau sebaliknya? Yang sengaja melengahkan masa dan tidak mahu hadi, bagaimana?
Kredit Foto: Google
Inilah antara dilema kerap yang berlaku kepada ibu yang diceraikan suami tidak bertanggungjawab. Pandai buat anak tapi tidak mahu bertanggungjawab. Dapat pula yang sudah berkahwin lain, langsunglah tidak peduli dengan anak-anak terdahulu. Dia sibukkan dengan kehidupan baru bersama isteri terkini.
Banyak yang kita lihat, selepas anak-anak sudah besar, bekerja dan berduit, barulah si ayah akan muncul menagih simpati. Ya, sebagai seorang anak adalah wajib untuk si anak terus hormat dan berbakti kepada si ayah itu, apatah lagi jika si ayah dalam keadaan uzur dan tidak berkemampuan.
Namun, lain orang lain hati dan perasaannya. Maka, duhai bapa semaikanlah rasa sayang dan tanggungjawab terhadap anak-anak sejak mereka kecil lagi. Walau sudah tidak serumah, pastikan keperluan mereka dijaga, sakit pening mereka diambil tahu, hal pendidikan, emosi dan masalah anak-anak jangan ambil mudah.
Kita tidak tahu, apa akan berlaku di kemudian hari? Tidak selamanya kita mampu berdiri gagah. Sampai masa kita tua dan uzur, anak-anak juga tempat terbaik untuk mengadu dan bermanja. Kesimpulannya, apa yang kita lakukan hari ini, akan terkesan di kemudian hari juga. Fikirlah dengan akal yang matang dan iman yang tebal.
Kredit Foto: Google
Ambil Tahu Tentang Nafkah Anak-Anak
Para suami yang sudah menceraikan isteri perlu tahu, anak-anak tidak akan putus hubungannya dengan si bapa walau apa pun yang terjadi. Maka, jadilah bapa yang memegang amanah dengan terus menafkahi anak-anak walau sudah bercerai dengan ibunya. Nafkah bermaksud pembekalan keperluan hidup bagi seseorang.
Menurut syarak, nafkah adalah keperluan seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal kepada orang yang wajib diberi nafkah atau yang berada di bawah tanggungan seseorang. Nafkah juga termasuk segala kerperluan yang dinyatakan di atas untuk diri sendiri. Dari segi kewajipan memberi nafkah itu kerana adanya hubungan kerabat atau ahli keluarga.
Menurut Mazhab Syafie nafkah bagi kerabat itu adalah ibu bapa hingga ke atas dan anak hingga ke bawah. Oleh itu suatu yang tidak boleh dipertikaikan seorang bapa wajib menanggung nafkah anaknya semenjak anak itu lahir hingga hilang kelayakan anak itu terhadap nafkah daripada bapanya.
Peruntukan undang-undang berkenaan nafkah ada dinyatakan mengikut Seksyen 73, Undang-Undang Keluarga Islam Negeri iaitu: Seksyen 73(1) “kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka menjadi kewajipan seseorang lelaki untuk menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada di dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pendidikan sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”
Dengan adanya peruntukan ini, menjadi sumber undang-undang yang diamalkan di Malaysia khususnya bagi orang Islam untuk mengetahui siapa yang wajib menyara nafkah anaknya. Sama ada anak terbabit dalam jagaan ibu atau bapanya, segala keperluan untuk anak terbabit menyara hidup wajib ditanggung hingga anak terbabit mampu menyara hidupnya sendiri. Justeru, bagi ibu yang menjaga anaknya, ibu perlu bertindak bagi pihak anaknya yang kecil menuntut nafkah dari bapa atau bekas suaminya.
Kredit Foto: Google
Tuntutan itu dibuat di mana-mana Mahkamah Syariah yang berbidangkuasa dan berhampiran dengan tempat tinggal ibu dan anak berkenaan. Dalam menuntut nafkah anak, ibu perlu melengkapkan dokumen yang boleh menyokong mengenai jumlah nafkah yang ingin dituntut seperti bil pembayaran bulanan anak, perbelanjaan makan minum, pakaian dan lain-lain keperluan diri dan pendidikan anak.
Mahkamah akan membuat penilaian dari kadar nafkah yang dituntut dengan kemampuan bapa selaku pembayar. Setiap orang anak perlu disediakan keperluan yang munasabah yang diperlukannya yang terdiri dari pakaian, makanan, minuman, keperluan tempat tinggal, pendidikan dan perubatan.
Begitu faktor taraf kehidupan dan persekitaran yang menjadi kelaziman di tempat anak berkenaan tinggal akan menjadi kayu ukur mengapa kadar nafkah anak di tetapkan sedemikian. Oleh itu, semua fakta yang menyokong mengenai mengapa nafkah itu perlu disediakan, berapa jumlahnya, mampukah bapanya untuk membayar, perlu disediakan dan dinyatakan oleh ibu dalam tuntutannya.
Selain fakta menyokong, dokumen yang ada itu akan menjadi bukti yang bakal diambil kira oleh mahkamah. Ketiadaan bukti yang menyokong akan memberi kesan terhadap tuntutan nafkah terutama isu kadar nafkah anak terbabit.
Tuntutan nafkah anak ini boleh dibuat oleh ibu pada bila-bila masa. Malah, dalam tempoh perkahwinan dan proses bercerai, nafkah anak ini boleh dituntut.
Sebagaimana mengikut Seksyen 74, Undang-Undang Keluarga Islam Negeri; mahkamah boleh pada bila-bila masa, memerintahkan seseorang bapa untuk membayar nafkah anaknya – (a) jika dia enggan atau cuai mengadakan peruntukan nafkah dengan munasabah bagi anak dan/atau isterinya; (b) jika dia meninggalkan langsung isterinya, dan anaknya itu adalah dalam penjagaan isterinya; (c) dalam masa menanti keputusan sesuatu perbicaraan hal ehwal suami isteri di mahkamah; atau (d) apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain. Oleh itu, bapa bertanggungjawab memberi semua jenis nafkah kepada anaknya sama ada lelaki atau perempuan.
Jika mereka tidak mempunyai bapa, maka datuk wajib mengambil alih tanggungjawab itu dan begitu seterusnya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: Yang bermaksud: ...jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; Surah al-Talaq (6).
Ayat ini menjelaskan perempuan yang menyusukan anak orang lain wajib diberi upah oleh bapa kepada anak itu. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama dilaksanakan oleh bapa. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah (233): Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”
Kredit Foto: Google
#cerai #Suami #Nafkah
;