Highlights
Ziarah Raya PKPB – Maklum Sajalah Musim Covid-19, Tak Semua Tuan Rumah Sudi Terima Tetamu.
Tidak dinafikan lagi betapa lain benar suasana raya yang akan kita tempuhi menjelang 1 Syawal nanti. Dalam keadaan tidak boleh menunaikan solat berjemaah di masjid, tidak dapat balik kampung kerana rentas negeri masih lagi tidak dibenarkan dan lain-lain butiran dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menghalang kita daripada menyambut raya seperti kebiasaannya.
Kredit Foto: Google
Suka saya berkongsi muat naik status twitter oleh Tan Sri Dr Jemilah Mahmood yang kini menjawat jawatan sebagai Penasihat Khas Kesihatan Awam Perdana Menteri. Antara lainnya, Tan Sri Dr Jemilah menyeru rakyat Malaysia agar tidak mementingkan diri walaupun ada yang berdegil mahu pulang beraya. Pelbagai alasan direka bagi meloloskan diri untuk pulang ke kampung. Harus diingat, warga emas adalah golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai sejarah penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang, jantung dan lain-lain.
Kelonggaran Ziarah Raya
Seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam Perutusan Khas baru-baru ini, terdapat beberapa kelonggaran diberi sempena menyambut kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi. Antara kelonggarannya ialah ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang dalam satu-satu masa ketika hari perayaan. Tetapi tidak perlu buat jamuan besar atau rumah terbuka.
Kredit Foto: Google
Namun demikian, walaupun terdapat kelonggaran diberi ia tidak bermakna kita boleh sewenang-wenangnya ambil peluang dan kesempatan hingga abaikan langkah-langkah pencegahan dan kebersihan diri. Sewajarnya kita perlu lebih peka dan cakna dalam meneliti butiran berikut:
1. Kenal Pasti Ahli Keluarga Tuan Rumah
Rumah yang ingin dituju ada warga emas atau tidak? Ada bayi atau anak kecil? Ada pesakit jantung , darah tinggi, kencing manis, kanser atau buah pinggang? Pastikan anda maklum dan kenal pasti soal ini terlebih dahulu. Hal ini kerana mereka berisiko tinggi untuk dijangkiti. Jangan disebabkan kedatangan kita yang entah mungkin ada virus, mereka yang patuh PKPB dan duduk rumah menjadi mangsa pula. Ia tidak mustahil kerana ada saja kebarangkalian seseorang yang tidak bergela tetapi positif Covid-19 boleh menyebarkan virus ini. Allahu, moga dijauhkan hendaknya.
Kredit Foto: Facebook Zachki Ahmad Suri
2. Hubungi Dan Tanya Tuan Rumah
Adakah mereka okey dan sudi menerima tetamu atau tidak? Sebaiknya, elakkan terjah raya. Ini penting sebabnya ada sesetengah orang sememangnya menjaga dan menitikberatkan soal ini hinggakan tidak pernah keluar rumah walaupun sudah ada kelonggaran kini. Namun disebabkan tetamu ada sudah ada di depan pintu, tuan rumah pula jadi serba salah. Jangan ingat semua orang seronok sangat nak beraya macam kita.
3. Tuan Rumah Perlu Jujur
Sungguh, tak mudah nak lakukannya. Barangkali ada yang tidak sampai hati mahu tolak kedatangan tetamu. Tetapi tidak salah sekiranya anda meletakkan soal keselamatan dan kesihatan anak kecil, warga emas yang ada di dalam rumah sebagai prioriti. Jangan kerana mahu menjaga hati orang yang datang berkunjung, kita abaikan apa yang seharusnya dijaga. Tak mengapalah kalau orang kata kita terlalu paranoid atau over dalam bab ini. Asalkan kita bertanggungjawab menjaga rumah dan kesihatan orang yang kita sayang. Nak mudah, letak saja papan tanda depan rumah ‘Maaf .... Rumah ini tak dapat terima tetamu.’ Pasti akan difahami dan tetamu pula janganlah berkecil hati.
Kredit Foto: Google
4. Sampul Dan Duit Raya
Memandangkan Malaysia belum pulih dan bebas daripada pandemik Covid-19 lagi, maka apa sahaja yang berada disekeliling kita perlu diberi perhatian. Lebih berhati-hati dan berwaspada. Misalnya dalam rutin normal baharu, apabila kita menerima bungkusan atau parcel jangan segera dibuka. Lakukan semburan disinfeksi atau sanitization terlebih dahulu.
Begitu juga dengan soal pemberian duit raya. Dari mana kita dapat duit dan sampul, adakah terjamin tahap kebersihannya? Adakah ia sudah disanitasi? Dan kalau tidak, bayangkan sewaktu ia bertukar tangan. Kita serahkan kepada anak kecil dan warga emas. Alahai… Takut pula nak bayangkan kemungkinan yang berlaku. Mungkin ada logiknya tangguhkan beri duit raya tahun ini. Atau kalau masih mahu beri, buat pembayaran secara online.
5. Tak Salah Kalau Tak Ziarah Raya Tahun Ini.
Menjadi adat kita beraya saling bermaaf-maafan antara satu sama lain. Mohon diampunkan segala salah dan silap selama ini, terlanjur bicara, terkasar bahasa dan sebagainya. Tetapi adakah kita akan meminta maaf andai kita menjangkiti orang lain dalam masa kita beraya? Atau adakah kita akan menyalahkan tetamu yang datang sekiranya ditakdirkan kita positif Covid-19?
Tuan Rumah Dan Tetamu, Amalkan Langkah Ini Kalau Masih Mahu Ziarah Raya
1. Pastikan keadaan kesihatan anda berada pada tahap terbaik. Tiada gejala ringan seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak dan sebagainya. Jika bergejala, pakai topeng muka atau lebih baik tangguhkan dahulu hasrat untuk pergi beraya. Duduk diam-diam dirumah lebih baik.
2. Tuan rumah sediakan hand sanitizer dan periksa suhu tetamu sebelum masuk ke rumah. Tetamu juga pastikan tangan dicuci bersih sebelum masuk ke rumah yang ingin dikunjungi.
3. Pastikan jumlah tetamu dan seisi rumah tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa.
4. Elakkan bersalaman dan berpelukan, cukup sekadar tunduk dan bersalaman dari hati.
Jadi, selagi boleh dielak dan dicegah buatlah. Kita tahu dan maklum mengenai risiko pandemik ini yang mungkin akan berakhir dengan kematian. Justeru, fikirlah sedalamnya. Walau belum menang, tetapi kini kita dalam perjalanan menuju garisan penamat. Jangan kerana nafsu mahu makan lontong, lemang, rendang segala; kita gagalkan semua usaha.
Must-Watch Video