Skip to main content

KAFA Pendidikan Khas Murid Masalah Pendengaran Dilancar, PU Riz Puji Semangat Dakwah Pelajar - "Kadang-Kadang Mereka Lebih Baik Daripada Kita..."

Astro Gempak kafa puriz

Sekilas

  • Kelas Al Quran dan Fardu Ain Pendidikan Khas untuk murid bermasalah pendengaran diperkenalkan di Kuala Lumpur oleh JAWI sebagai usaha memperkasakan pendidikan Islam inklusif.
  • Kelas ini menempatkan 10 murid OKU pendengaran yang dibimbing oleh guru terlatih menggunakan kaedah khas untuk memastikan kefahaman al Quran dan fardu ain.
  • Program rintis ini mendapat pujian dan berpotensi dijadikan model untuk diperluaskan ke seluruh negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Buat julung kalinya, Kelas Al Quran dan Fardu Ain Pendidikan Khas bagi murid bermasalah pendengaran diperkenalkan di ibu negara sebagai langkah memperkasa pendidikan Islam yang lebih inklusif di Malaysia.

Inisiatif perintis tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan tujuan memastikan kanak kanak berkeperluan khas tidak tercicir daripada mempelajari asas agama seperti bacaan al Quran dan fardu ain.

Majlis pelancaran kelas khas itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Zulkifli Hasan di Pandan Perdana.

Menurut beliau, usaha ini membuktikan bahawa setiap anak, termasuk golongan OKU pendengaran, mempunyai peluang yang sama untuk memahami dan mendalami ajaran Islam.

“Semua murid yang hadir adalah anak anak OKU pendengaran. Mereka dilatih untuk membaca al Quran dan mempelajari fardu ain. Alhamdulillah, mereka nampak gembira dan kini boleh memahami ajaran al Quran serta agama kita. Ini menunjukkan semua anak anak termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas boleh belajar agama,” katanya.

Pada peringkat awal, kelas tersebut menempatkan 10 murid bermasalah pendengaran yang dibimbing oleh dua guru terlatih menggunakan kaedah pendidikan khas yang memberi fokus kepada kefahaman al Quran serta asas fardu ain.

Pendekatan pembelajaran yang digunakan juga disesuaikan dengan keperluan murid bagi memastikan mereka dapat mengikuti pengajaran secara lebih efektif dan inklusif.

PU Riz puji semangat dakwah pelajar

Dalam masa sama, pendakwah bebas yang juga suami kepada selebriti Neelofa, PU Riz turut berkongsi pandangannya selepas melihat sendiri usaha pendidikan tersebut.

Menerusi satu perkongsian video di media sosial, PU Riz meluahkan rasa kagum terhadap semangat murid murid di kelas KAFA pendidikan khas itu.

Menurutnya, walaupun berdepan kekangan pendengaran, mereka tetap menunjukkan minat dan kesungguhan yang tinggi dalam mempelajari agama.

"Sedar atau tidak sekarang ini di sebahagian tempat tinggal kita ataupun dalam keluarga kita sendiri ada anak-anak atau mereka yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU). Saya suka panggil mereka dengan orang kelebihan upaya kerana mereka ini semua semangatnya tinggi dalam dakwah.

"Saya ada pengalaman beri dakwah pada orang buta dan bila saya lihat mereka yang kurang pada penglihatan ini, sebenarnya mereka mempunyai keinginan dalam dakwah yang tinggi.

"Bahkan dalam ayat al-Quran, mereka sangat sempurna, kadang-kadang mereka lebih baik daripada kita yang celik ini," ujarnya.

Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bukan sahaja menyediakan tenaga pengajar terlatih bagi mendidik golongan kurang penglihatan serta kategori OKU lain, malah turut menyemarakkan semangat mereka untuk terlibat dalam aktiviti dakwah.

"Jadi disebabkan sedemikian saya nak ambil masa ini untuk memuji Kementerian Pendidikan Malaysia kerana KAFA pada kalini menubuhkan pendidikan khas. Maknanya mereka sudah mula mengajar orang yang kurang penglihatan atau apa sahaja kategori OKU.

"Dalam masa yang sama, guru itu juga terlatih dan memberikan didikan agama dan menaikkan semangat mereka untuk berdakwah. Jangan rasakan kita ini kurang, walaupun ada saudara kita yang lain mungkin kurang fizikalnya tetapi semangat dakwah dia itu jangan pernah kita lunturkan," tambahnya.

Model untuk dikembangkan seluruh negara

Dalam perkembangan sama, Dr Zulkifli memaklumkan bahawa program rintis tersebut berpotensi dijadikan model untuk diperluaskan ke lebih banyak lokasi di seluruh negara secara berperingkat.

Langkah tersebut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan serta kesejahteraan masyarakat tanpa mengira latar belakang atau keupayaan fizikal.

Dengan pengenalan KAFA Pendidikan Khas ini, lebih ramai murid berkeperluan khas dijangka berpeluang mendalami ilmu agama dalam persekitaran pembelajaran yang lebih mesra dan inklusif.

Anda mungkin berminat dengan

BUKIPET Mafaza Raya Dress Series

BUKIPET Mafaza Raya Dress Series

TIARA Premium Embroidery Baggy Kurung

TIARA Premium Embroidery Baggy Kurung

YAN@YAN Sulam Floral Baju Kurung with Pario Skirt

YAN@YAN Sulam Floral Baju Kurung with Pario Skirt

LINEA BAJU KURUNG KEDAH JALUR STRIPE COTTON LINEN

LINEA BAJU KURUNG KEDAH JALUR STRIPE COTTON LINEN

YAN@YAN Kurung Moden Sulam Lembut – Ayu & Sopan Bergaya-8319

YAN@YAN Kurung Moden Sulam Lembut – Ayu & Sopan Bergaya-8319

Must-Watch Video

Advertisement