Aedy Ashraf Puas Bawa Watak Beja! Bangga Jadi Anok Kelate - “Tak Rasa Kekok Nak Cakap Dialek Kelantan”
Mya Amri
29/10/2024 05:55 MYT
29/10/2024 05:55 MYT
Pelakon, Aedy Ashraf akui berasa puas dapat membawakan watak sebagai anak Kelantan iaitu Beja dalam filem Kahar: Kapla High Council.
Bangga jadi anak Kelantan
Menurut Aedy, karakter Beja berjaya meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya dan mengingatkan kembali tempat asal dia dilahirkan selain belum pernah membawakan watak dengan menggunakan dialek Kelantan.
“Saya rasa dia adalah satu level kepuasan yang saya boleh kata meninggalkan kesan emosi sebab saya orang Kelantan dan sepanjang saya berlakon saya tak pernah bawa watak sebagai seorang yang bercakap kelantan, berdialek kelantan.
“Saya pernah bawa watak orang cakap dialek Perak, Sabah, Temerloh, semua pernah tapi bahasa Kelantan sendiri belum walaupun saya dilahirkan di sana.
“Jadi bila dapat tawaran cerita ini saya rasa inilah masanya untuk saya beritahu orang yang saya ini memang berasal dari kelantan.
“Walaupun saya membesar tidak bercakap dalam dialek Kelantan, tapi pada saya itulah cabaran yang saya kena lalui untuk kembali semula kepada asal usul saya,” katanya.
Aedy berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Kahar:Kapla High Council yang berlangsung di Setia City Mall, baru-baru ini.
Ada kelas dialek Kelantan
Ketika ditanya mengenai loghat Kelantan, Aedy berkata untuk projek istimewa ini sememangnya sudah dilengkapi dengan kelas dialek.
“Saudara mara, ayah saya semua orang Kelantan. Namun saya membesar dengan mak jadi saya tak berapa boleh nak bertutur dalam loghat itu, tetapi sudah tentu saya faham bila mereka berbual.
“Untuk projek istimewa seperti ini, kita memang ada kelas dialek bersama dengan Cik Wan, dia merupakan pengarah filem Budak Kelantan dan direktor Kahar: Kapla High Council iaitu Razaisyam juga merupakan orang Kelantan.
“Jadi memang sepanjang kami menjalani sesi latihan, saya akan bercakap dialek Kelantan dengan mereka dan mereka juga sangat membantu,” jelasnya.
Tak kekok bertutur dialek Kelantan
Bagaimanapun kata Aedy, walaupun kurang fasih bertutur dialek Kelantan namun perkara itu tidak menjadi penghalang buat dirinya untuk menjiwai watak dengan baik.
“Saya tidak rasa kekok sebab bila kita bercakap secara biasa, okay, tapi akan rasa sedikit berbeza apabila kita nak bertutur dengan skrip yang menggunakan bahasa Kelantan.
“Tak kekok tapi rasanya lebih kepada cabaran, alhamdulillah, saya rasa saya dapat laluinya dengan baik atas sokongan dan semangat yang diberikan oleh pengarah serta para pelakon lain,” ujarnya.
Selain Aedy, empat lagi pelakon utama yang membintangi filem Kahar: Kapla High Council adalah Amir Ahnaf, Sky Iskandar, Thompson Goh dan Khenobu.
Astro Shaw juga mendedahkan nama-nama daripada siri premium popular Project High Council yang dikembalikan untuk filem prekuel ini.
Barisan pelakon tersebut adalah Fadhli Masoot, Fazziq Muqris, Nadhir Nasar, Naim Daniel, Yusof Hashim (Ucop), Sathisvaran, Hushairy Hussain, Ameer Asyraf dan Hasnul Rahmat.
Skrip filem Kahar: Kapla High Council pula ditulis oleh pencipta atau ‘creator’ Project High Council, Anwari Ashraf bersama beberapa penulis lain, dan diarahkan Razaisyam Rashid.
Selain itu, pihak Astro Shaw turut mengumumkan secara rasmi rakan kerjasama iaitu HM Entertainment dan ZAK Capital.
Nantikan filem Kahar : Kapla High Council yang akan berada di pawagam bermula 28 November.
SINOPSIS:
Kahar: Kapla High Council mengisahkan tentang Kahar, seorang pelajar tingkatan 4 yang pendiam dan kerap menyisihkan diri di sekolah berasrama penuh Kolej Ungku Deramat (KUDRAT), sering berasa tertekan kerana bapanya, Datuk Abu Yamin meletakkan harapan tinggi.
Berpunca dari satu insiden, tanpa sengaja Kahar terjerumus dalam ‘Pilihanraya’, di mana calon-calon dari setiap rumah asrama KUDRAT bertarung untuk menjadi Kapla, ketua kepada High Council, selaku 'pemerintah' tidak rasmi bagi seluruh badan pelajar.
'Pencapaian' baharu Kahar itu bagaimanapun mengundang musuh dari segala arah.