Skip to main content

Keluarga Jaslinda Berpuas Hati Rawatan Di Hospital Tapah

IMG 5321

Sekilas

  • Keluarga Jaslinda Saludin memilih untuk teruskan rawatan di Hospital Tapah tanpa memohon pemindahan ke hospital lain di Selangor.
  • Jaslinda kini dalam keadaan stabil, menunjukkan perkembangan positif dan mampu berkomunikasi seperti biasa selepas 14 hari sesat di hutan.
  • Hospital dan pihak berkuasa menghargai kerjasama semua pihak dalam operasi mencari dan menyelamat serta rawatan yang diberikan.

Keluarga kepada Jaslinda Saludin, 49, yang terselamat selepas 14 hari sesat di kawasan hutan berhampiran Gunung Batu Putih, tidak membuat sebarang permohonan untuk memindahkan beliau ke mana-mana hospital di Selangor, sebaliknya berpuas hati dengan rawatan yang diberikan di Hospital Tapah.

Pengarah Hospital Tapah, Dr Wan Immi Salim berkata, sehingga kini tiada permintaan diterima daripada pesakit mahupun ahli keluarga untuk proses pemindahan, walaupun terdapat jangkaan awal bahawa beliau mungkin dirujuk ke hospital berhampiran tempat kediamannya.


“Setakat pemeriksaan pagi tadi, tiada sebarang permintaan daripada beliau atau keluarga untuk dipindahkan. Mereka sangat berpuas hati berada di Hospital Tapah buat masa ini,” katanya pada sidang media di sini.


Menurutnya, Jaslinda kini berada dalam keadaan stabil dan menunjukkan perkembangan pemulihan yang positif sejak dimasukkan ke wad pada 6 Jun 2026 selepas dibawa oleh EMRS Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Beliau berkata, pesakit itu mengalami kecederaan pada bahagian kaki yang telah disimen secara separa serta luka-luka akibat berada lama di dalam hutan, selain kehilangan berat badan yang ketara.

“Kami anggarkan terdapat penurunan berat badan lebih kurang 10 kilogram atau lebih, namun keadaan beliau semakin baik dan stabil,” katanya.

Dr Wan Immi turut memaklumkan Jaslinda kini boleh makan, bercakap dan berkomunikasi seperti biasa serta ditemani ahli keluarga terdekat termasuk suami, kakak dan anak-anaknya.

Sementara itu, Exco Kesihatan Negeri Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, serta komuniti Orang Asli.

Menurutnya, keluarga mangsa juga menyatakan kepuasan terhadap perkhidmatan Hospital Tapah, sekali gus menafikan kemungkinan pemindahan ke hospital lain.

“Jika tidak berpuas hati, sudah tentu permohonan pemindahan akan dibuat. Namun mereka berpuas hati dengan rawatan yang diberikan.

“Yang penting hari ini beliau selamat, masih hidup dan sedang pulih dengan baik hasil rawatan hospital kerajaan serta kerjasama semua pihak,” katanya.

Pihak hospital turut memaklumkan Jaslinda dijangka dibenarkan keluar hospital dalam tempoh beberapa hari lagi sekiranya proses pemulihan terus menunjukkan perkembangan positif.

Sumber: Buletin TV3

Anda mungkin berminat dengan

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

ZANZEA Women Korean Casual Stripes Drop Shoulder 3/4 Sleeve Blouse

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

Tealive Bru & Friends - Milk Tea

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

ZANZEA Women Solid Two-Piece Bat Sleeve Vintage Muslim Maxi Dress

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

YAN@YAN Sut Wanita Gaya Korea

Must Watch Video

Advertisement