Laman Utama
Nabil Ahmad, Che Ta, Sharnaaz Ahmad & ‘Instafamous’ Beramal Sambil Berniaga di Karnival 72 Jam Tanpa Henti!
Seramai 44 orang selebriti tempatan termasuk ‘Instafamous’ bakal memeriahkan karnival 72 jam tanpa henti, Festival Gegar Gempak Raya 2019 (GGR 2019).
Kesemua selebriti dan instafamous tersebut bakal terlibat sebagai peniaga dan antaranya ialah Zain Saidin, Rosita Che Wan, Alif Satar, Ernie Zakrie, Izzue Islam, Nabil Ahmad, Syamel, Black Hanifah, Sharnaaz Ahmad dan ramai lagi.
Karnival yang terpanjang dan terbesar itu bakal berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) bermula jam 12.01 pagi pada 24 Mei 2019 (Jumaat) dan berakhir jam 12.01 pagi pada 26 Mei 2019 (Isnin).
Pengarah Urusan Aisy Azka Event Management, Anuar Mohd Azmi berkata, GGR 2019 berperanan sebagai satu hentian yang menyediakan semua kemudahan keperluan menyambut lebaran di bawah satu bumbung.
“Konsep beramal sambil berniaga ini adalah untuk memudahkan masyarakat setempat membeli persiapan raya dan pada masa sama membantu para usahawan terlibat menambah pendapatan.
“Terdapat lebih 200 jenama pakaian, minyak wangi, biskut raya, hiasan rumah, barang keperluan dan macam-macam lagi yang mungkin dapat memenuhi keperluan pengunjung dalam persiapan menjelang hari raya.
“Diharap karnival ini menjadi titik permulaan usahawan untuk bergerak lebih jauh dalam perniagaan,” katanya kepada Gempak.
Selain aktiviti jualan, festival GGR 2019 turut menyediakan Fiesta Trak Makanan yang akan turut berkampung selama tiga hari berturut-turut bermula jam 4 petang sehingga 5 pagi sepanjang festival.
Dengan kehadiran lebih 150 buah trak makanan, festival ini juga akan membuat percubaan memecah rekod bagi ‘Largest Foodtruck Gathering’, The Malaysia Book of Records.
Tambah Anuar, GGR 2019 juga festival mesra ibadah kerana selain berbuka puasa dan piknik bersama keluarga, pengunjung juga boleh menunaikan solat dan tarawih di khemah besar yang boleh memuatkan 400 orang.
“GGR2019 turut memperkenalkan slot aktiviti kemasyarakatan iaitu GGR Kongsi Kebahagiaan pada 25 dan 26 Mei 2019 dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai oleh orang awam seperti aktiviti rawang penyedian bubur lambuk, memasak rendang dan menganyam ketupat.
“Dalam kita bergembira untuk menyambut hari raya, GGR 2019 tidak melupakan mereka yang kurang bernasib baik. Pada hari terakhir festival, kami akan mengadakan majlis berbuka puasa bagi meraikan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Selain itu, setiap satu peratus daripada sewaan tapak perniagaan di festival GGR 2019, akan didermakan ke tabung rumah kebajikan terpilih,” ujarnya.
Must-Watch Video