Laman Utama
“Tolonglah Hargai Barang Orang” - Customer Terima Barang Pecah, Fizz Fairuz Tegur Pos Malaysia
Pelakon Datuk Fizz Fairuz semalam telah menegur Pos Malaysia menerusi sebuah video di laman sosial Instagram (IG)nya.
Fizz memulakan video dengan ucapan terima kasih kepada pengikut IGnya yang telah menyokong dan membeli ‘Sambal Mak Nenek’ keluarannya dan isteri, Almy Nadia.
Bagaimanapun pelakon Jodoh-Jodoh Anissa’ itu sempat membuat teguran kepada Pos Malaysia dan Pos Laju mengenai kerosakan item yang dihantar kepada pelanggan ‘Sambal Mak Nenek’.
“Kepada Pos Malaysia iaitu Pos Laju, tolong appreciate orang punya barang, tolong jangan campak-campak sebab kami hantar barang kepada customer, barang dah pecah, crack.
“Benda tu, kalau tak dicampak atau dilempar tak ada masalah. Customer bagi feedback dapat barang pecah.
“Kami hantar cantik dan dibalut rapi dalam kotak, bermakna ia dicampak oleh staff yang mungkin nak cepat,” katanya menerusi video tersebut.
Dalam pada itu Fizz turut memohon agar budaya mencampak barang ini tidak lagi berlaku kerana boleh menyebabkan kerosakan barang sebelum sampai kepada pelanggan.
Tambah Fizz lagi, sudah kali kelima menerima maklum balas daripada pelanggan mengenai bekas sambal dihantar pecah.
“Dia orang (Pos Malaysia) cakap kena letakkan nombor telefon supaya senang dihubungi sekiranya berlaku kerosakan barang, masalahnya kalau call bagitahu barang pecah, siapa yang nak ganti rugi? Pos Malaysia ke?
“Jadi minta tolong kepada Pos Malaysia beritahu kepada staff-staff, bulan puasa ni saya tak nak marah-marah cuma barang yang pelanggan pos letaklah elok-elok.
“Kami faham anda bekerja, kami juga bekerja. Tetapi kami tahu menghargai barang orang,” katanya dalam nada kesal.
Fizz dan Almy menjalankan perniagaan ‘Sambal Mak Nenek’ setiap kali menjelang Ramadan dan permintaan terhadap dua jenis sambal iaitu sambal hitam dan sambal tempoyak ikan bilis sangat menggalakkan.