Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Ada Yang Kata Aku Curi Identiti Pak Yus, ‘Keymon’ (Come On) Bossku…” – Luahan Tapai Selepas Sertai Jambuz

Fiza Kamarudin
23/10/2019 11:06 MYT
Pelawak Tapai yang juga anggota kumpulan ‘Kiut’, meluahkan rasa terkilan di laman sosial Facebook (FB)nya selepas didakwa mencuri identiti Allahyarham Pak Yus.

Tapai menerusi sebuah status yang dimuat naik semalam berkata, ada juga individu yang menuduhnya mengambil kesempatan kerana menyertai Jambuz bersama Tauke dalam Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019.

“Ramai orang berkata yang aku ni ambil kesempatan atas tiket Jambu. Di sini saya nak ‘habaq’ (bagitahu) arwah Pak Yuih (Pak Yus) tiada gantinya.

“Dia adalah dia, dia ‘legend’, dia idola aku, dia juga macam abang aku. Orang kata aku guna nama Jambu. Halo, dalam Jambuz ada Tauke la bossku,” luahnya kesal.

Tapai turut menjelaskan, tujuan Tauke membentuk kumpulan Jambuz dalah untuk mengembalikan nostalgia kumpulan Jambu.

“Tujuan Tauke buat macam ini adalah untuk kembalikan nostalgia Jambu, supaya orang ingat balik lawak-lawak Jambu, Tauke bukan saja-saja buat Jambuz ni,” katanya.

Dalam pada itu Tapai turut menafikan dakwaan dia mencuri identiti Pak Yus yang merupakan anggota kumpulan Jambu.

“Ada juga yang kata aku curi identiti Pak Yuih (Pak Yus). ‘Keymon’ (come on) bossku...Atas pentas aku jadi diri aku la.

“Mungkin sebab dulu aku memang terlalu minat Pak Yuih (Pak Yus) sampai aku terikut-ikut lawak dia.
“Kami buat benda ni supaya orang ingat akan dia...Selalu doakan dia…orang tak lupa dia...,” katanya.

Tapai merupakan anggota kumpulan Kiut bersama Hanaffi dan Zam yang menyertai Gegar Lawak pada tahun 2018 dan telah dinobatkan sebagai juara musim itu.

Kali ini Tapai akan bersama Tauke dalam MLM 2019 membentuk kumpulan Jambuz.

MLM 2019 bakal membuka tirainya bermula 1 November ini selepas MLM 2019 – Kerusi Panas bersiaran pada 25 Oktober ini.

Bakal bersiaran selama 11 minggu, MLM 2019 mengekalkan pengacara tersohor dan versatil tanah air, Datuk AC Mizal sebagai pengacara buat kali kelapan.

MLM boleh ditonton di Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124) dan boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand untuk pilihan lebih fleksibel.

Program ini akan bersiaran secara langsung dari Royal Theater, Shah Alam.

#Tapai #MLM 2019