Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

"Buat Apa Nak Malu? Bawalah Watak Sepenuh Hati" - Kerap Dilabel Badut, Man Raja Lawak Tak Kisah

Mya Amri
20/01/2020 10:53 MYT
Juara Maharaja Lawak Mega (MLM2019) Man (PUTEH) akui tidak kisah dilabel sebagai ‘badut’ kerana watak-watak unik yang dibawanya sepanjang program berkenaan sebelum ini.

Menurut Man, dia akan melakukan yang terbaik tidak kira watak apa yang diberikan kepadanya.

“Buat apa nak malu, kerja dengan ikhlas. Setiap cerita yang dibawa ada karakter-karakter tertentu. Macam saya, setiap kali diberikan watak memang saya akan jiwai betul-betul.

“Itu yang bila mereka beri watak pelik-pelik saya terus buat, ‘in character’ lah orang kata.

“Saya sendiri pun tak sangka sebenarnya watak saya sebagai Qalbu dan juga penari Thailand itu berkesan sehingga ada yang tidak boleh lupa sampai sekarang.

“Kami tidak bawak setiap watak sambil lewa sebaliknya ada penasihat misal kata kalau tidak sesuai kami semua akan tukar,” katanya kepada Gempak.


Tambah Man lagi, walaupun MLM2019 sudah tamat namun pengalaman bersama PUTEH tidak akan dilupakan.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai kembali pengalaman bergelar juara dan kali ini bersama PUTEH.

“Biarlah apa orang nak kata, yang penting saya tidak putus asa untuk mencuba dan terus memperbaiki mutu persembahan selepas ini,” ujarnya.

Terdahulu, kumpulan PUTEH yang dianggotai oleh Ali, Mamak dan Man telah dinobatkan sebagai Juara MLM2019 pada 10 Januari lalu.

Man sebelum ini juga merupakan Juara dalam program Raja Lawak musim kelima.
#Man Raja Lawak #MLM2019