Maharaja Lawak Mega 2019
"Kami Kalau Boleh Mahu Ali Berehat Dan Bertenang Dulu” – Man & Mamak
Anggota kumpulan Puteh, Mamak dan Ali mengakui sudah berbincang mengenai penglibatan Ali di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019, pada minggu kelima Jumaat ini.
Mamak ketika ditemui Gempak berkata, dia dan Man mahu Ali berehat dahulu dan tidak terlalu memikirkan tentang persembahan Jumaat ini.
“Saya dan Man kalau boleh mahu Ali berehat dulu, bagi dia cool down, ada semangat balik kerana dia baru kehilangan anak kesayangannya.
“Saya dan Man mungkin berdua sahaja minggu ini. Kami tak risau kerana rasanya produksi faham situasi dilalui Ali dan keadaan Ali sekarang,” katanya.
Sementara itu Man memberitahu, sepanjang MLM 2019 ini dia melihat Ali sebagai seorang bapa dan sahabat yang sangat kuat.
“Bila dia dapat tahu anak dia ada masalah jantung, kami tahu dia resah tapi dia tetap kuatkan semangat.
“Setiap hari dia berulang-alik ke hospital dan selepas itu jumpa kami dan bekerja macam biasa. Dia tetap beri idea yang baik untuk content setiap minggu.
“Ada kalanya emosi dia nampak terganggu dan kami tidak pernah push dia untuk berada di pentas MLM 2019 setiap minggu.
“Tapi Ali ni degil…Dia kata, kalau anak dia boleh bertahan dia pun boleh bertahan. Lagi pun kata Ali, ini tempat dia cari makan dan tanggungjawab tetap kena pikul,” katanya.
Bagaimanapun kata Mamak dan Man, semuanya terpulang kepada Ali selepas ini.
“Kami mahu berehat dulu. Puteh masih belum ada apa-apa bahan untuk dipersembahkan minggu ini, tetapi kami akan mula cari bahan bersama esok (hari ini).
“Kami harap Ali tabah menjalani dugaan terbesar dalam hidupnya ini dan Puteh akan sentiasa bersama dia dalam apa jua keadaan sekali pun,” kata Man dan Mamak.
*Ali dan isteri di pusara Allahyarham Sharifah Nur Ainul Mardhiah*
Man dan Mamak ditemui ketika menghadiri pengebumian Allahyarham puteri kedua Ali, Sharifah Nur Ainul Mardhiah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu.
Jenazah dikebumikan selepas solat Asar selepas disembahyangkan di Masjid Zakaria Baru, Batu 8 Gombak.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir buat anak syurga Ali ialah, Abam, Khir Rahman, Joey, Afdlin Shauki, Tomok, Zalif Sidek dan Hazone XOXO.
Sharifah Nur Ainul Mardhiah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11.30 pagi semalam (Selasa), akibat kegagalan paru-paru, di Hospital Serdang selepas mesin bantuan pernafasan ditanggalkan.
Jenazah dimandi dan dikafankan di hospital sebelum dibawa pulang ke rumah ibu Ali di Kampung Sungai Salak, Batu 10, Gombak.