Maharaja Lawak Mega 2019
MLM2019: Dah 8 Tahun Jadi Hos di MLM, Datuk AC Tak Pernah Bosan
Pengacara popular Datuk AC Mizal memberitahu dia tidak pernah bosan menjadi Maharaja Lawak Mega (MLM) walaupun sudah lapan tahun bersama program realiti itu.
Datuk AC berkata, ramai juga yang bertanyakan kepada beliau tentang hal tersebut tetapi baginya mengacara ibarat bermain bola sepak.
“Ya, memang ada yang cakap pelawak samalah, program lamalah…Tak bosan ke? Macam inilah, seperti pertandingan bola sepak pemain lain-lain tetapi corak permainan yang berbeza.
“Ada ke kita tengok pemain bola sepak minggu ini main bola minggu depan main polo air? Tidak, mereka masih bermain bola kan?
“Sama juga dengan MLM ini, pelawak-pelawak ini memang kita dah ada tetapi persembahan dan cabaran mereka setiap minggu berbeza.
“Sebab itulah kita (MLM) masih lagi relevan untuk dipersembahkan kepada penonton-penonton,” katanya kepada Gempak.
Tambah AC lagi, pentas MLM merupakan ‘taman permainan’ kepada pelawak-pelawak di Malaysia untuk berkarya.
“MLM adalah pentas untuk pelawak berkarya. Jadi, tidak ada isu berapa musim pun program ini akan dipentaskan atau orang sudah mula bosan.
“Saya sudah lapan tahun di MLM tapi saya tak pernah pun bosan…Rasa ‘nervous’ lagi adalah…Sebab saya kena buat homework tentang setiap peserta dan perlu bersedia dengan apa juga kemungkinan berlaku.
“Contohnya jika ada kumpulan yang persembahan mereka hambar di pentas…Saya perlu keluar dengan sesuatu yang boleh kembalikan mood penonton dalam masa sama tidak melemahkan semangat pelawak-pelawak,” katanya.
Memasuki tahun kelapan bersama keluarga pelawak, fesyen dikenakan AC setiap minggu juga sering menjadi perhatian netizen.
Agak-agaknya malam ini, apa pula baju yang AC akan pakai ya?
Jangan lupa untuk bersama MLM 2019 dan Datuk AC yang akan bersiaran secara langsung dari Royal Teater Shah Alam pada setiap Jumaat.
Bersiaran selama 11 minggu, MLM 2019 juga boleh ditonton di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) pukul 9 malam.