Maharaja Lawak Mega 2019
“Mula-Mula Masuk Tempat Berkhatan Tu, Pening Jugalah Sekejap” – Shahrol Shiro
Pelawak Shahrol Shiro pada Ahad, telah berkongsi pengalamannya menyertai program Khatan Perdana Daerah Kluang, Johor, di laman sosial Instagram (IG)nya.
Shahrol ketika dihubungi Gempak berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika program tersebut ialah, apabila tiba-tiba berasa pening dan hampir muntah ketika melihat proses khatan dijalankan.
“Program ini buat saya terimbau kenangan zaman kanak-kanak ketika nak bersunat dulu. Tapi saya sendiri pun tak sangka yang saya pening masa tengok proses khatan dijalankan.
“Saya sendiri tak sedar yang saya ini takut darah dan cepat rasa ngeri, sampailah semalam. Tapi sekejap je lah…lepas tu saya steady,” katanya ketawa.
Menurut Shahrol, program khatan beramai-ramai ini adalah kali kedua diadakan dan dia hanya berkesempatan untuk menyertainya pada tahun ini.
Pada tahun ini juga ada dua kanak-kanak bukan Islam yang turut menyertai program berkhatan anjuran ketua pemuda UMNO, Kluang tersebut.
“Kanak-kanak tersebut adalah adik beradik beragama Kristian yang berusia 10 dan 8 tahun dan jumlah peserta tahun ini ialah 47 orang.
“Sebenarnya bila menyertai program-program macam ni, selain daripada dapat bertemu dengan peminat di sini saya juga dapat menimba pengalaman mahal,” ujarnya positif.
Menjawab mengenai dakwaan dirinya menyertai program kemasyarakatan kebelakangan ini kerana tidak terlibat dengan program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019, Shahrol menafikan perkara tersebut.
“Kalau yang dah lama mengikuti saya di laman sosial, pasti tahu yang saya memang aktif menyertai program seumpama ini di sekitar Johor, terutama Kluang.
“Bukan baru setahun dua saya sertai aktiviti macam ini,” katanya.
Tambah Shahrol lagi, dia juga tidak berkecil hati apabila ada yang menganggap dirinya sedang mengejar cita-cita untuk menjadi ‘YB’ (Yang Berhormat).
“Betullah tu YB, tapi bukan Yang Berhormat…saya Yang Berkhidmat. Sebenarnya saya tidak berkecil hati dengan tanggapan orang lain.
“Takkanlah kerana saya tidak menyertai MLM 2019 terus orang buat spekulasi bukan-bukan. Agaknya yang cakap saya YB tu kerana watak yang saya bawa dalam MLM sebelum ini.
“Baguslah…itu maknanya watak yang saya bawa meninggalkan kesan di hati penonton,” katanya.
Shahrol yang merupakan anggota kumpulan Shiro bersama Ajak merupakan juara MLM 2018 dan sering menyelitkan moral dalam lawak di pentas, yang kini menjadi ikutan peserta lain.