Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

#MLM2021: Kumpulan #Bahye Jawab Tuduhan Gunakan Shashic Sebagai Content!

Fiza Kamarudin
11/11/2021 11:38 MYT
Kumpulan Bahye dianggotai Zahid Baharudin, Nizam Jentik-Jentik dan Shashic Iewan menolak tuduhan menjadikan Shashic sebagai modal dalam persembahan mereka setiap minggu.

Menjawab mengenai dakwaan tersebut, Zahid berkata kumpulan Bahye tidak pernah mengambil kesempatan atas kekurangan Shashic.

Malah kata Zahid, apa yang dipersembahkan setiap minggu, Shashic hanya menjadi diri sendiri serta tidak wujud isu digunakan atau mempergunakan.

“Gunakan kekurangan Shashic sebagai kelebihan…Ramai orang tanya fasal benda ni. Kami ingat lagi apa pesan Sang Bara, Bahye gunakan kekurangan Shashic.

“Shashic adalah seorang stand-up comedian dan dia dah establish bergerak solo dan menggunakan kekurangan dia untuk membuat persembahan komedi.

“Cuma kali ini dia bersama Bahye, dia sudah bersedia untuk menerima kritikan serta komen daripada penonton, juri dan sesiapa juga mengenai kekurangan dirinya.

“Bagi saya, ia mungkin satu kelebihan tetapi Bahye tak boleh selalu ‘gunakan’ dia setiap minggu untuk content grup kami,” katanya.

Tambah Zahid, dia bertuah kerana berada bersama Shashic dan Nizam Jentik-Jentik yang selalu membantunya di pentas komedi seperti MLM 2021.

“Saya akui saya memang agak kurang idea komedi, kerana ini bukan bidang saya. Nizam dan Shashic yang banyak bantu saya dari segi punchline dan sebagainya.

“Kedua-dua mereka ini memang power sebenarnya, kalau diberi peluang bertahan sehingga ke final mungkin akan nampak taring mereka.

“Mereka genius! Saya tak risau dengan mereka berdua sebab mereka ‘stand-up comedian’ yang dah biasa perform sorang-sorang atas stage cuma berbeza dalam MLM ini,” katanya.

Dalam pada itu Zahid turut menolak dakwaan kononnya Bahye merupakan peserta kegemaran juri disebabkan Shashic.

“Harapnya orang tak nampak Shashic je sorang kerana sebenarnya akar cerita datang daripada Nizam ditambah dengan Shashic punya kelebihan dan saya pun ada top-up sikit-sikit.

“Bahye feveret juri? Saya rasa Sang Bara yang feveretkan kitaorang. Dia suka dengan Shashic kot? Mungkin sebab tu kitaorang selamat!,” katanya dalam nada gurau.

Menganggap dakwaan tersebut sebagai tidak munasabah, Zahid berkata Bahye turut dikritik juri setiap minggu.

“Minggu pertama, kami dikritik dan ditegur juri sama macam kumpulan-kumpulan lain. Tetapi kami jadikan ia sebagai pemangkin semangat dan nasihat untuk memperbaiki persembahan kami.

“Terima kasih kepada juri-juri MLM 2021 kerana sentiasa bagi tips, bagi komen dan kritikan yang membina kepada kami untuk improve setiap minggu.

“Bahye bukan pilihan juri dan saya rasa juri semua fair. Minggu pertama Bahye berada di bottom four.

“Dan kami akui, dua minggu pertama sebagai orang baru, kami struggle juga nak tarik perhatian juri. Risau bila bagi punchline tak sampai.

“Harap masuk minggu kelima ni, juri pun dah faham konsep yang Bahye bawa, tak sama dengan kumpulan-kumpulan lain,” katanya.

Untuk rekod, Shashic Iewan merupakan bekas finalis top 5 program pencarian ‘stand-up comedy’, Gelak Gempak dan seorang yang istimewa kerana pertuturannya tidak lancar atau gagap.
#Nizam Jentik-Jentik #Zahid Baharudin #maharaja lawak mega 2021 #MLM2021 #Kumpulan Bahye #Shashic Iewan