Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

#MLM2021: “Nak Rebut RM500,000 Bukan Main-Main!" - Kumpulan Otai Pastikan Content Fresh Setiap Minggu, Elak Ciplak Atau Repeat!

Fiza Kamarudin
17/11/2021 14:17 MYT
Kumpulan Otai dianggotai pelawak senior, Azlee, Acong dan Ieda Moin mengakui berada di pentas besar seperti Maharaja Lawak Mega (MLM) bukan perkara main-main.

Azlee berkata, pentas sebesar MLM seharusnya dijadikan medan prestij untuk setiap pelawak bertanding secara sihat dan bersih.

Tambahan lagi kata Azlee, jumlah wang kemenangan yang ditawarkan bukan sedikit, tetapi setengah juta ringgit.

“Kita nak rebut RM500,000 ni kenalah betul-betul…Bersaing secara sihat. Kalau boleh elakkan meniru idea orang lain atau recycle ‘barang’ yang sudah pernah dipersembahkan di mana-mana pentas sebelum ini.

“Seperti kumpulan Otai sendiri, kami sentiasa beringat dan berjaga-jaga supaya bahan yang dipersembahkan ‘fresh’. Bukan tiru daripada Youtube atau di mana-mana.

“Pentas MLM ini bukan kecil sebab itu kita sebagai pelawak perlu menjaga pentas berprestij ini jika mahu menjaga nama baik kita.

"Respect kerjaya kita. Tidak ada jalan mudah atau singkat dalam mencari kejayaan,” kata pelawak berpengalaman itu.

Ditanya mengenai dirinya yang diparodikan kumpulan pelawak lain, Azlee berkata dia tidak mengambil hati atau marah.

“Saya tidak marah, jauh sekali berkecil hati. Cuma kalau boleh biarlah kena dengan temanya. Ltbih cantik kalau ia dilakukan di minggu parodi.

“Tetapi itu hak masing-masing cuma kita sebagai pelawak perlu ‘alert’ supaya ‘permainan’ yang kita bawa itu tidak menyinggung mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu Acong, mengulas mengenai persaingan yang semakin sengit selepas memasuki minggu keenam MLM 2021.

“Persaingan semakin sengit tetapi Otai tidak mudah mengalah dan akan terus berusaha untuk merebut tempat ke pusingan seterusnya.

“Insya-Allah, mudah-mudahan Otai akan terus berkarya. Dengan adanya teamwork di antara kami bertiga, semoga kami dapat mencari cerita yang menarik untuk dipersembahkan.

“Kami memang perah otak jugaklah ni sebab kami tahu saingan handal-handal, kita pun tak nak ketinggalan dan akan mencari idea untuk menghiburkan hati semua orang,” katanya positif.

#Acong #Azlee Senario #Ieda Moin #maharaja lawak mega 2021 #Kumpulan Otai