Sekilas
- Amy Mastura mengumumkan cuti sementara dari kerjaya nyanyian untuk memberi fokus kepada pembelajaran ilmu agama.
- Keputusan itu juga dipengaruhi oleh pandangan agama mengenai suara wanita sebagai aurat, menyebabkan Amy menolak tawaran nyanyian jemputan.
- Sementara itu, Amy masih aktif berlakon dalam drama Ate Kome, I Love You yang kini ditayangkan di platform Viu.
Penyanyi dan pelakon, Amy Mastura memilih untuk 'bercuti' dari kerjayanya sebagai seorang penyanyi.
Amy atau Amy Mastura Suhaimi, 55, berkata keputusan tersebut dibuat kerana dia ingin memberi tumpuan pada ilmu agama.
“Dari segi nyanyian, saya bercuti buat masa ini. Saya nekad mahu belajar mengenai agama, kumpulkan ilmu yang perlu dan lihatlah nanti ke mana hala tuju saya selepas ini.
“Keputusan ini datang secara perlahan-lahan. Saya mahu belajar semula perkara asas seperti fardu ain dan sebagainya.
"Selama ini saya datang daripada latar belakang industri yang sentiasa menyanyi, jadi sekarang masanya untuk memberi ruang kepada diri sendiri mendalami ilmu agama,” katanya kepada Gempak.
Amy berkata demikian pada sidang media drama Ate Kome, I Love You di Sunway Pyramid pada Jumaat.
Dalam pada itu, Amy turut mengakui bahawa faktor suara wanita dikaitkan sebagai aurat dalam islam menyebabkan dirinya ingin berehat daripada dunia nyanyian.
“Lebih kurang begitulah sebabnya saya mengambil keputusan untuk tidak menyanyi buat masa ini.
“Tetapi saya tidak berani mengulas lebih lanjut kerana bimbang disalah tafsir. Berilah peluang kepada saya untuk belajar sedikit demi sedikit,” katanya.
Pelantun lagu Sha Na Na itu turut mengakui bahawa dia ada menerima pelbagai tawaran sebagai penyanyi jemputan, namun terpaksa menolak dan tetap berpegang teguh pada pendiriannya.
“Ada persembahan di majlis-majlis yang saya tolak, konsert pun ada. Saya menolaknya dengan cara yang baik dan berharap mereka memahami keputusan saya.
“Kepada peminat yang merindui saya, bolehlah terus mendengar lagu-lagu saya di Spotify. Saya masih ada, tidak ke mana. Kalau rindu, kita masih boleh berjumpa di majlis atau pertemuan kelab peminat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Amy turut membintangi drama romantik komedi Ate Kome, I Love You yang kini ditayangkan menerusi platform penstriman Viu.
Drama bersiri 12 episod itu, Amy yang memegang watak sebagai Jenab perlu bertutur sepenuhnya dalam loghat Perak.