Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Pak Nil, Remy Ishak, Raja Azura Antara Juri Havoc The Masked Singer Malaysia Musim Kedua

Mya Amri
12/01/2022 08:52 MYT
Program pertandingan nyanyian penuh misteri yang berjaya mencetuskan fenomena, The Masked Singer Malaysia kini kembali untuk musim kedua.

Musim pertama The Masked Singer Malaysia sebelum ini telah menyaksikan penyanyi, Aina Abdul dinobatkan sebagai juara dalam kostum Bunga Raya.

Kali ini, The Masked Singer Malaysia 2 membuka tirai dengan kehadiran 14 orang barisan selebriti terkemuka negara yang terdiri dari pelbagai cabang seni seperti penyanyi, pelakon, pelawak, personaliti TV, atlet sukan, pempengaruh media sosial dan ramai lagi.

Sama seperti musim sebelum ini, kesemua bintang The Masked Singer Malaysia 2 akan memakai kostum dari kepala hingga ke kaki dan membuat persembahan misteri.

Hanya suara sahaja yang akan dipertaruhkan dan mereka akan berentap dan menyorokkan kemasyuran serta identiti mereka di sebalik topeng.

The Masked Singer Malaysia” musim kedua ini bakal menyaksikan penglibatan seramai sembilan figura popular sebagai juri tetap iaitu Datuk Aznil Hj Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Rlla Aminuddin, Remy Ishak, Amy Mastura, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak.

Pengacara versatil negara, Datuk AC Mizal pula diberikan tanggungjawab sebagai hos The Masked Singer Malaysia 2.

Menariknya kali ini, kostum barisan bintang The Masked Singer Malaysia 2 adalah Bujang Senang, Nanas, Mat Penyu, Seladang, Teh Tarik Kaw, Harim Manis, Periuk Kera, Aiskrim Roti, Rambutan, Ratu Semut, Orkid, Si Merak, Burung Hantu dan Pepatung.

The Masked Singer Malaysia menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, “The King of Mask Singer” yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat.

Saksikan The Masked Singer Malaysia 2 setiap Jumaat, mulai 28 Januari 2022, jam 9.00 malam di Astro Warna HD (saluran 107), dan juga boleh distrim secara eksklusif di aplikasi Astro GO dan On Demand!

Berlangsung selama 10 minggu, sesi rakaman The Masked Singer Malaysia 2 dibuat di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

The Masked Singer Malaysia musim kedua ini dimeriahkan lagi dengan siri Live+ yang bakal bersiaran setiap hari Jumaat, jam 8.30 malam, mulai 28 Januari 2022.

Live+ yang dihoskan oleh Izzue Islam dan Anna Al Jufrey ini akan menyingkap semula kesemua persembahan setiap peserta di samping berinteraksi bersama audiens dengan pengisian menarik sepanjang program berlangsung.

SINAR tampil sebagai Radio Rasmi dan disokong oleh ERA untuk musim ini, manakala Gempak, Zon Lawak dan Ria X hadir sebagai Rakan Digital.

Terdahulu, The Masked Singer Malaysia musim pertama telah mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang kategori ‘Best TV Format Adaptation (non-scripted)’ di anugerah Content Asia Awards 2021, Ogos lalu.

Majlis penganugerahan tahunan ini mengiktiraf pemain industri kandungan terbaik serata Asia termasuklah Malaysia, Singapura, Jepun, Thailand, Taiwan, Indonesia, India dan banyak lagi.
#Remy Ishak #Juri #Paknil #Raja Azura #The Masked Singer Malaysia #Masked Singer Malaysia 2 #The Masked Singer Malaysia 2 #TMSM2