Muzikal Lawak Superstar 2019
Momen MLS: “Kenapa Awie Naik Harley Davidson? Sebab Kalau Superbike, Kaki Tak Sampai” – Nabil Ahmad
Minggu kedua Muzikal Lawak Superstar (MLS) menyaksikan penyingkiran kumpulan SEP dan Bunga.
Jumlah markah yang diperolehi SEP (Sharul, Eyya, Pinky ML) adalah 26.54% dan Bunga (Azmir Raja Lawak, Caca Raja Lawak, Leez Rosli) 27.57%.
Manakala kumpulan yang mendapat tempat teratas adalah Botak (Achey, Abam, Black) dengan peratusan markah sebanyak 49.92%.
Botak juga meraih takhta sebagai juara mingguan dan sebagai hadiah mereka diberi peluang untuk membawa ‘live prop’ bagi persembahan minggu ketiga yang bertemakan hutan.
Selain pengumuman tersebut, terdapat pelbagai lagi momen manis dan lucu berlaku sepanjang program bersiaran yang mungkin penonton dirumah tidak tahu.
1. "Aku ingatkan dah pandai dah,” ayat spontan dan mimik wajah ‘give up’ Nabil apabila Nabila masih lagi membuat kesilapan ketika mengacarakan program undang tawa penonton.
2. Sebaik sahaja siaran iklan, Nabila terus ke bahagian tepi pentas bersama Nabil dan aktres itu kelihatan sibuk menghafal ‘que card’. Nabil juga turut membantu Nabila yang masih lagi gementar.
3. Penonton di dewan mengusik Nabil dengan memanggil nama isterinya, Zira. Nabil kemudiannya membalas: “Siapa panggil nama bini aku? Ada ke panggil Zira. Ada nampak muka aku macam bini aku ke?” katanya pura-pura serius sebelum disambut dengan tawa penonton. Semuanya berlaku sewaktu siaran iklan.
4. "Kenapa Datuk Awie naik Harley Davidson sampai sekarang…? Sebab kalau naik superbike kaki tak sampai,” – usikan Nabil buat Datuk Awie ketawa.
5. Paling comel apabila Nora Danish menyanyikan lagu kanak-kanak, Twinkle-Twinkle Little Star selepas dipaksa Nabil. Nora kemudiannya menundukkan wajahnya kerana malu. Alahai comel sungguhla mummy Ney Ney ni.
6. Nabil buat hal lagi, tinggal 50 saat nak bersiaran langsung, Nabil selamba ajak penonton berborak tepi pentas sambil ketawa melihat wajah panik kru MLS.
7. Sewaktu menunggu siaran iklan tamat, Nabil secara spontan memanggil Datuk Awie dan membuat trademark ‘pheewit’ Amy Search. Nabila kemudiannya memberikan respon paling cool, "Tu bukan Datuk Awie, tu bapak aku,” katanya ketawa sambil menggelengkan kepala.
Selain Nora, Datuk Awie dan Altimet juga merupakan juri tetap Muzikal Lawak Superstar manakala Nabil dan Nabila Huda diberi tanggungjawab sebagai hos program berkenaan.
MLS akan bersiaran selama 10 minggu, setiap Jumaat, jam 9 malam secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.
Program ini juga disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.
Untuk mengundi bintang, undian boleh dilakukan secara:
1.Undian boleh dilakukan di gempak.com/muzikallawaksuperstar
2.Taip MLS <jarak> NAMA KUMPULAN atau MLS (3/5/10/20) <jarak> NAMA KUMPULAN untuk (3/5/10/20) undian ke 32777.
Untuk perkembangan terkini program Muzikal Lawak Superstar, layari www.muzikallawaksuperstar.gempak.com.