Muzikal Lawak Superstar 2022
MLS3: "Walau Saya Mudah Terhibur, Takkan Mudah Bagi 5 Bintang!" - Siti Saleha Cabar Diri Jadi Juri Program Lawak
Pelakon, Siti Saleha akui gementar untuk menjadi juri kepada bintang-bintang yang akan beraksi dalam pertandingan Muzikal Lawak Supertar musim ketiga (MLS3).
Menurut pemilik nama asli Siti Saleha Mohd Baharum, dia mengambil sedikit masa untuk berfikir terlebih dahulu sebelum menerima tawaran tersebut.
“Mulanya pihak produksi bagi tahu pengurus saya dan kami set masa untuk berjumpa dan bincang.
“Pihak produksi terangkan pada saya untuk menawarkan saya jadi juri pertandingan MLS3.
“Dalam masa yang sama saya berfikir juga boleh ke saya menjurikan rancangan lawak, selepas berfikir panjang, saya rasa mengapa tidak kan, jadi saya terima,” katanya ketika ditemui Gempak.
Selain Siti Saleha, penyanyi rock negara Datuk Awie dan pengacara TV popular Indonesia, Najip Ali antara yang alan menggalas tugas sebagai juri bagi pertandingan itu.
Tambah Saleha, tawaran kerja kali ini dapat memberikan kelainan dalam kerjaya seninya yang selama ini tertumpu pada bidang berlakon sahaja.
“Tahun ini saya akan variasikan kerjaya seni saya, saya nak keluar dari zon keselesaan saya.
“Selalu asyik berlakon dan pernah juga menjadi pengacara, jadi tahun ini saya jadi juri rancangan lawak sebagai kelainan pada kerjaya saya.
“ Saya juga buat persiapan untuk mengenali peserta yang ada, saya buat beberapa carian sebab ada beberapa muka baru.
“Walaupun saya memang mudah terhibur, tapi takkan la mudah-mudah saya nak bagi 5 bintang kan. Jadi kita tengok nanti macam mana,” tambah Saleha.
Muzikal Lawak Super 3 akan membuka tirai untuk konsert pertama pada 22 Julai 2022, yang mana akan bersiaran setiap hari Jumaat pada pukul 9.00 malam menerusi saluran Astro Warna 107 atau boleh strim secara online di Astro Go.
Must-Watch Video