MLS4: Eric Floor 88 Dah Reda Jika Deroyan Tersingkir Minggu Separuh Akhir - “Semua Nak Menang Tapi…”
Asyikin Mayudin
11/11/2024 05:55 MYT
11/11/2024 05:55 MYT
Ahli kumpulan Deroyan iaitu Eric Floor 88 mengakui dia sebenarnya sudah reda sekiranya tersingkir pada minggu separuh akhir Muzikal Lawak Superstar 4 (MLS4) yang berlangsung pada Ahad.
Penat mental & fizikal
Bukan berputus asa namun sudah penat fizikal dan mental, Eric bagaimanapun tetap mahu lakukan yang terbaik untuk semua yang menyokong kumpulannya.
“Sebenarnya macam saya dah reda kalau tersingkir. Sebab kami dah bekerja keras selama 24 jam… dia penat, penat mental, emosi dan sampai tahap rasa tersingkir pun tak apa.
“Tapi tak adil untuk orang yang sokong kami, kawan-kawan, kawan sekumpulan, keluarga sebab selangkah saja lagi. Nak tak nak, kena teruskan tapi kalau tersingkir itu, reda saja.
“Berat di hati semua nak ke final, semua nak menang. Cuma tersingkir pun tak apa, tapi dalam masa sama nak menang. Kalau tak nak menang, takkan kami bekerja 24 jam,” katanya kepada Gempak.
Hiburkan peminat
Dalam pada itu, pelawak Has Arteh memberitahu biarpun tiada rehat yang cukup sepanjang berada di pentas MLS4 namun mereka terus berjuang demi ingin menghiburkan rakyat Malaysia.
“Mungkin orang nampak persembahan enam minit sahaja tapi enam minit itu adalah perahan otak selama seminggu untuk kita persembahkan di atas pentas ini.
“Sebab itu tidur tak cukup, rehat tak cukup, tapi disebabkan kami punya minat untuk hiburkan rakyat Malaysia. Berbalik kepada lawak itu subjektif, ada orang suka dan ada orang tak suka.
“Kita usaha yang terbaik daripada kita,” ujarnya.
Untuk MLS4 minggu kelapan yang berlangsung di Pusat Kovensyen CIDB, Kuala Lumpur, kumpulan Deroyan yang dianggotai Has, Dewa dan Eric yang mendapat markah paling rendah turut berjaya ke pentas akhir.
ARTIKEL BERKAITAN: MLS4: Kumpulan Zuara Buat AC Mizal Menangis! Putehh Masih ‘Gempak Superstar Of The Week’ & Impian Deroyan Nak Ke Final Hampir Berkecai
ARTIKEL BERKAITAN: MLS4: Kumpulan Deroyan Anggap Menang ‘Gempak Superstar Of The Week’ Tambah Tekanan - “Sebab Orang Dah Letak Harapan Tinggi…”
Ia sekali gus melayakkan kesemua lima kumpulan iaitu Putehh, Zuara, Padie, Sarkas dan Deroyan untuk bersaing di pentas akhir MLS4 pada Ahad depan.
Persembahan setiap kumpulan dinilai oleh juri sebanyak 70 peratus manakala lagi 30 peratus adalah hasil daripada undian online di gempak.com/muzikallawaksuperstar.
Program lawak ini bersiaran secara langsung bermula 22 September selama sembilan minggu, pada setiap hari Ahad, pukul 9 malam di Astro Warna (saluran 107).
Juri terdiri daripada Saiful Apek, Anna Jobling dan Harith Iskander manakala Datuk AC Mizal sebagai pengacara utamanya.
‘Muzikal Lawak Superstar 4’ bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, dan turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta aplikasi Astro GO dan sooka untuk pilihan yang fleksibel.
Dapatkan Pek Astro sekarang dengan diskaun 30%* dan pemasangan percuma dari hanya RM41.99/sebulan.
Raikan saat-saat bersama dengan #AstroBaharu – Hiburan kini lebih mantap untuk seisi keluarga. Layari astro.com.my untuk maklumat lanjut.