Skip to main content

Nadia Brian Buka Mulut Soal Hubungan Dengan Boss Ned, Tersentuh Nora Danish Hantar Mesej Peribadi - “Sekarang Kami Berdua Solo, Jadi…”

fdd

Sekilas

  • Pelakon Nadia Brian menerima mesej peribadi daripada Nora Danish yang menyambut baik hubungan Nadia dengan bekas suaminya, Nedim Nazri Aziz.
  • Nadia dan Nedim baru berkenalan sebulan lalu dan masih dalam proses mengenali antara satu sama lain sambil menghormati status solo masing-masing.
  • Nedim dan Nadia mencuri perhatian selepas memuat naik foto bersama di Instagram, manakala Nedim juga berkongsi gambar bersama anak lelakinya, Mohamed Neqayl.

Pelakon Nadia Brian mengakui tersentuh apabila menerima mesej peribadi daripada aktres Nora Danish susulan penularan foto romantis yang dimuat naik bekas suami Nora, Nedim Nazri Aziz bersama dirinya di media sosial.

Menurut Nadia, sikap profesional dan keterbukaan yang ditunjukkan Nora amat dihormatinya, malah mesej yang diterima itu memberi makna besar buat dirinya.

“Saya tengok Nora dan Nedim sangat profesional dan baik. Saya sangat menghormati Nora dan bila dia hantar mesej peribadi ‘welcome to family’ serta like posting gambar saya dan Nedim, saya sangat tersentuh.

“Penerimaan itu Alhamdulillah. Saya tahu Nora pun kenal saya sebab kami dalam industri yang sama,” katanya.

Tambah Nadia, meskipun belum pernah bertemu secara bersemuka dengan Nora, hubungan mereka kekal positif.

“Saya belum pernah jumpa lagi dengan Nora, tapi saya ada jumpa Nene (Neqayl),” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan Nedim yang juga dikenali sebagai Boss Ned, Nadia menjelaskan hubungan mereka masih di peringkat awal.

“Sejujurnya, kami mula berkenalan sejak sebulan lalu, memang baru sangat-sangat dan masih dalam proses mengenali hati budi lagi.

“Kalau boleh, doakanlah yang baik-baik dan terima kasih untuk doa dan kata-kata yang baik.

“Sekarang kami berdua sama-sama berstatus solo dan rasa-rasanya tiada masalah untuk berkawan dan meneruskan hubungan ini.

“Kalau soal jodoh pula, saya serahkan pada Allah SWT,” katanya.

Semalam, Nedim dan Nadia mencuri perhatian ramai selepas masing-masing memuat naik foto bersama di akaun Instagram mereka. Selain gambar berdua, Nedim turut berkongsi foto bersama anak lelakinya, Mohamed Neqayl.

Kapsyen yang ditulis Nedim turut mengundang pelbagai reaksi netizen apabila seolah-olah memberi bayangan tentang hubungan mereka ketika ini.

Untuk rekod, Nedim pernah mendirikan rumah tangga dengan Nora Danish pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, sebelum disahkan bercerai pada Julai 2024.

Nadia pula pernah berkahwin dengan ahli perniagaan, Muizz Nasruddin pada 9 November 2019 sebelum berpisah secara sah pada April 2021.

Must-Watch Video

Advertisement