Sekilas
- Nurin Lofa jelaskan anak sulungnya, Jebat, yang berusia 1 tahun 8 bulan masih dalam fasa belajar bercakap dan hanya boleh sebut beberapa perkataan mudah.
- Jebat dikatakan pemalu bila berhadapan kamera, menyebabkan netizen buat andaian salah tentang masalah pertuturannya.
- Nurin dan suami, Smokey, sedang menanti kelahiran cahaya mata baru tidak lama lagi.
Pempengaruh media sosial, Nurin Lofa meluahkan rasa kurang senang apabila terdapat segelintir netizen yang membuat andaian bahawa anak sulungnya, Jebat, mengalami masalah pertuturan atau speech delay.
Menerusi perkongsian di Threads, Nurin menjelaskan bahawa anaknya yang kini berusia setahun lapan bulan masih berada dalam fasa belajar dan hanya mampu menyebut beberapa perkataan mudah.
“Anak aku 1 tahun 8 bulan, tapi belum boleh bercakap lancar lagi. Setakat ini, dia boleh sebut mama, papa, tak nak, bik, mamam dan beberapa perkataan biasa sahaja,” tulisnya.
Mengulas lanjut, Nurin berkata Jebat sebenarnya boleh bertutur seperti kebanyakkan kanak-kanak, namun dia menjadi malu dan segan apabila berada di hadapan kamera.
“Tapi bila on camera, terus dia jadi pemalu dan tidak mahu bercakap. Netizen dekat TikTok pula ramai yang buat andaian dia ada speech delay sebab anak mereka umur sama dah boleh bercakap lebih banyak.
“Hari itu, Smokey upload video Jebat sebut ‘papa’, habis ramai orang mula bandingkan. Bibik yang baca komen tu pula bukan main marah.
“Membebel tiga hari dua malam pasal orang asyik nak bandingkan budak-budak. Lepas itu dia cakap, ‘Bibik tahu Jebat tu boleh je bercakap tapi Jebat malas mem. Ada orang dia tak nak bercakap’,” ujarnya.
Untuk rekod, Nurin kini mendirikan rumah tangga bersama Smokey dan pasangan itu juga bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.
Sebelum ini, Nurin mempunyai seorang anak lelaki, Jebat hasil dari perkahwinan terdahulu bersama bekas suami, Fadrul.