Sekilas
- Khairul Aming menjelaskan SOP di restoran Rembayung mengira bayi sebagai sebahagian daripada jumlah pelanggan untuk menjaga keselamatan mereka.
- SOP tersebut diwujudkan bagi memastikan pergerakan kakitangan dan pelanggan lebih selamat, terutama mengelakkan risiko tumpahan lauk panas dan air pada bayi dalam stroller.
- Khairul Aming menegaskan SOP bukan untuk menyusahkan pelanggan, malah beliau sendiri tidak mendapat keuntungan daripada pengiraan bayi dalam pax.
Hantaran seorang individu yang meluahkan rasa terkilan mengenai sistem prosedur operasi standard (SOP) di restoran Rembayung milik Khairul Aming mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen.
Antara perkara yang dipersoalkan adalah mengapa bayi turut dikira sebagai sebahagian daripada jumlah pelanggan atau pax ketika membuat tempahan.
Susulan itu, Khairul Aming tampil menjelaskan SOP berkenaan diwujudkan demi menjaga aspek keselamatan bayi serta kanak-kanak.
“Di Rembayung KA minta bayi dikira dalam pax sebab dah macam-macam incident yang terjadi sepanjang enam bulan berniaga tapi orang luar tak nampak.
“SOP ni saya wujudkan sebab nak lindungi keselamatan bayi dan kanak-kanak. Saya tak untung buat SOP ni, malah makin rugi sebab babies tak makan pun nasi.
“Tapi saya buat ni sebab nak protect keselamatan mereka. Bila ada seribu orang sehari, macam-macam benda boleh terjadi kat restoran,” jelasnya.
Menurut pempengaruh dan usahawan itu lagi, SOP tersebut bukan diwujudkan untuk menyusahkan pelanggan, sebaliknya bagi memastikan pergerakan kakitangan dan pelanggan lebih selamat.
“Saya nak explain yang SOP tersebut bukan dibuat sebab mengada-ngada, nak menyusah customer, bukan. Di setiap meja tu ada laluan kiri kanan depan belakang untuk lauk-pauk panas keluar masuk termasuk air dalam cawan kaca.
“Kalau katakan parents ada empat orang parents datang and bawa dua baby dalam stroller yang sedang tidur, persoalannya dekat mana kita nak parking stroller tersebut?
“Kalau KA letak dekat tengah-tengah laluan tu, bayangkan lauk-pauk panas yang nak lalu dengan air dalam cawan kaca, kalau tertumpah kena dekat stroller and kena baby, itu akan jadi safety issue,” katanya.
Baca penjelasan penuh KA menerusi Threads