Sekilas
- Seorang wanita yang dikaitkan sebagai pengasuh anak penyanyi Sufi Rashid menafikan isu antara mereka sudah diselesaikan secara baik kerana tiada pertemuan secara bersemuka berlaku.
- Wanita itu juga tidak mengharapkan sebarang permohonan maaf dan menegaskan reaksi dirinya tidak patut digelar "overreacting" terutama ketika berdepan layanan kasar.
- Sufi Rashid sebelum ini memohon maaf secara terbuka atas tindakan berlebihan dirinya dan isteri, Ain, selepas wanita tersebut berkongsi pengalaman buruk bekerja sebagai pengasuh.
Seorang wanita dipercayai individu sama yang sebelum ini dikaitkan pernah mengasuh anak kepada penyanyi Sufi Rashid tampil menafikan dakwaan bahawa isu antara mereka sudah diselesaikan secara baik.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Threads, wanita itu menjelaskan bahawa dia langsung tidak pernah bertemu secara bersemuka dengan 'pihak sana' bagi menyelesaikan apa-apa perkara.
“Isu ini berakhir di sini. Media lapor saya dan influencer itu sudah selesaikan isu ini secara baik.
“Tapi sebenarnya kami tak pernah pun bertemu ‘face to face’ untuk selesaikan apa-apa sebab saya tak jawab sebarang permintaan untuk closure daripada pihak mereka,” katanya.
Wanita itu turut mengakui tidak mempunyai sebarang harapan untuk menerima permohonan maaf kerana percaya ia tidak akan berlaku walau apa pun situasinya.

“Perkataan ‘overreacting’ tak sepatutnya digunakan untuk menggambarkan reaksi anda terhadap posting saya.
“Itu lebih sesuai untuk momen ketika anda memilih untuk menengking saya dan membaling beg, sedangkan anda tahu orang sedang memerhati,” katanya lagi.
Wanita itu turut menyentuh mengenai perasaan keluarganya apabila dirinya diperlakukan sedemikian.
“Kalau saya layak kena jerkah sebab mereka yang bayar gaji, bayangkan perasaan ayah saya kalau dia ada di situ.
“Seperti mana anda jaga kesihatan mental anak anda… jangan lupa pengasuh juga anak kepada seseorang,” ujarnya.
Sebelum ini, Sufi sebelum ini memuat naik permohonan maaf terbuka di media sosial, mengakui dirinya dan isteri, Ain, telah bertindak secara berlebihan sehingga menerima pelbagai kritikan.
Terdahulu, wanita sama tampil berkongsi pengalaman buruk bekerja sebagai pengasuh kepada seorang pempengaruh tanpa menamakan individu terbabit, namun rata-rata netizen mengaitkannya dengan pasangan tersebut.
Untuk rekod, Sufi Rashid dan Ain mendirikan rumah tangga pada 21 September 2019 dan dikurniakan cahaya mata perempuan, Sabreen Aleyna, pada November tahun lalu.