Sekilas
- Pelakon Aprena Manrose mengakui rumah tangganya sebelum ini melalui fasa bahagia dan bergaduh seperti pasangan lain sebelum bercerai pada Jun lalu.
- Aprena percaya suami sepatutnya lebih kuat mempertahankan rumah tangga, namun dia reda dengan keputusan bekas suaminya untuk berpisah.
- Untuk kuatkan diri selepas perceraian, Aprena mengisi masa dengan majlis ilmu dan solat tahajjud, serta menunaikan umrah.
Pelakon Aprena Manrose mengakui rumah tangganya sebelum ini sama seperti pasangan suami isteri lain yang melalui fasa bahagia dan bergaduh.
Akur dengan perceraiannya, Aprena bagaimanapun menganggap seorang suami sepatutnya yang lebih kuat mempertahankan rumah tangga.
“Hubungan suami isteri mana yang tak bergaduh. Mesti ada saja bergaduh. Saya kalau boleh tak nak cakap lebih-lebih sebab bimbang akan terbuka aib mana-mana pihak.
“Sebab bukannya sepanjang perkahwinan kami tidak okay, ada masa okay, ada waktu bahagia dan tak bahagia. Cumanya bagi saya, macam mana kita pertahankan perkahwinan itu.
“Bagi saya, seorang lelaki sepatutnya kena lebih kuat pertahankan rumah tangga berbanding perempuan. Tapi bila lelaki itu memutuskan untuk lepaskan, kita akur la,” katanya kepada Gempak.
Aprena ditemui di majlis ilmu, Cahaya Hati 2.0: Dari Luka Temui Cahaya di MATRADE, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Dalam pada itu, Aprena turut berkata menghadiri majlis ilmu juga salah satu cara dia menenangkan jiwa dan menguatkan imannya.
“Majlis ilmu juga adalah salah satu cara untuk saya sembuh, kuatkan iman saya… kadang-kadang kita tahu perempuan ini, kalau tak isikan masa-masa dengan kelas agama, kita akan banyak bermain dengan perasaan kita.
“Sebab itu, cara saya untuk menangani masalah saya, bila rasa down, saya akan pergi mengisi masa-masa dengan majlis ilmu,” ujarnya.
Bersyukur segala proses perceraian dipermudahkan, Aprena memberitahu dia mendapat kekuatan selepas berpisah dengan melakukan solat tahajjud selama empat bulan.
“Alhamdulillah proses perceraian saya dipermudahkan… semuanya dipermudahkan. Rasa macam tiba-tiba eh dah habis idah. Tipulah kalau tak sedih, ada fasanya.
“Dalam masa dua, tiga bulan juga dalam tempoh idah, ada la cuba untuk nak berbaik. Tapi bila Allah kata sudah, sudah la. Salah satu sebab kerana saya dekatkan diri dengan Allah.
“Saya pergi umrah, Allah beri kekuatan. Saya buat solat tahajjud, saya buat empat bulan lebih. Mungkin sebab itu saya dapat kekuatan,” katanya.
Hampir sembilan tahun berkahwin, pelakon Aprena Manrose mengumumkan dia kini sudah berpisah dengan bekas suaminya iaitu Mohd Afiq Hazman pada Jun lalu.