Sekilas
- Seorang petinju Muay Thai berusia 20 tahun maut selepas dirempuh trak pikap ketika berjoging di Kilometer 4, Jalan Gua Musang–Sungai Terah.
- Pemandu trak pikap dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas dan melanggar mangsa, menyebabkan mangsa tercampak sejauh 40 meter.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis.
Seorang petinju Muay Thai maut selepas tercampak 40 meter akibat dirempuh sebuah trak pikap ketika sedang berjoging di Kilometer 4, Jalan Gua Musang–Sungai Terah di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 petang itu, mangsa, Mohamad Nabil Mohamad, 20, dikatakan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian tersebut daripada orang awam pada jam 6.30 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu trak pikap berusia 33 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Sungai Terah menghala ke Gua Musang sebelum dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.
“Akibat kejadian itu, kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan dan melanggar mangsa yang sedang berjoging bersama rakannya.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 40 meter manakala trak pikap terbabit terbabas dan terbalik di bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala rakan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.
Tambahnya, pemandu serta penumpang trak pikap berkenaan dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat,” katanya.
Menurut Choon Foo, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 09-9121222 atau 019-9144855.
Sumber: Sinar Harian