Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
PMTepiKakGee

#PMTepiKakGee: "Anak-Anak Lebih Suka Main Game & Lepak Dengan Kawan" - Ibu Tunggal Kecewa

Kak Gee 07/09/2020 | 02:59 MYT
Soalan:
Salam Kak Gee. Segan saya nak luahkan sebab rasa tak besar manapun masalah saya, tapi yalah nak kongsi dengan kawan-kawan yang rapat mungkin dorang tak berapa nak faham. Lagi satu, sejak saya jadi ibu tunggal beberapa tahun lalu, ramai jugaklah kawan rapat yang dah tak rapat lagi. Mungkin kemampuan saya tak sama dah dengan keluarga mereka.
Dulu gaji berdua memang mampulah kami bawa anak-anak jalan ke tempat menarik dalam dan luar negara. Sekarang bila pendapatan dah sorang diri ni memang jarang sangat. Sebelum PKP pun selalunya balik kampung sahaja atau cuti dekat-dekat.
Saya tak kisah semua tu. Cuma sekarang ni saya macam sedih sikit terutama cuti sekolah yang lepas. Saya memang tunggu-tunggu dan awal-awal lagi dah apply cuti. Sedihnya, anak-anak tak mahu bercuti dan lebih suka main game. Yang menyedihkan lagi, bila mereka dah buat perancangan dengan kawan-kawan untuk lepak-lepak.
Bukan apa Kak Gee, saya dah lah sibuk dengan kerja dan peluang nak luangkan masa dengan anak-anak agak terbatas. Saya bimbang mereka membesar tanpa saya merasai menjadi seorang ibu yang baik untuk mereka.
Salina
Jawapan:
Waalaikumussalam Salina. Kak Gee harap Salina sihat dan jangan terlalu banyak berfikir tentang perkara ini. Sebenarnya daripada apa yang Kak Gee baca, Salina seorang ibu yang baik. Jangan sesekali fikir sebaliknya.
Seorang ibu akan berkorban apa sahaja untuk anak-anaknya, mencari rezeki untuk memberikan kehidupan yang selesa dan apa juga yang termampu diminta oleh anak-anak. Apatah lagi dalam keadaan Salina sebagai ibu tunggal. Itu satu perkara yang perlu dihormati dan disanjungi.
Keinginan Salina untuk membawa anak-anak bercuti dan merasai pengalaman seperti ketika bersama suami dulu juga sangat Kak Gee sanjungi. Cuma Kak Gee fikir, bila anak-anak sudah membesar dan memahami keadaan, Salina mungkin dapat duduk berbincang dengan mereka. Masukkan mereka sekali dalam memberi pandangan sama ada tentang percutian keluarga atau apa juga keputusan yang agak penting lainnya.
Mereka mungkin akan berasa ketiadaan seorang ayah, tetapi dengan menjadikan mereka lebih dewasa dalam berfikir, mereka akan faham buat ketika ini Salina merupakan ayah dan ibu untuk mereka. Bukan senang untuk membesarkan anak seorang diri tetapi Kak Gee yakin dengan keupayaan yang Salina ada.
Setiap orang ada cara masing-masing dalam mendidik dan bermanja dengan anak-anak mereka. Begitu juga dengan anak-anak, mereka juga tahu bila mereka memerlukan ibu atau ayah atau kedua-duanya. Kak Gee harap dengan duduk bersama dan berbincang secara santai dapat membuka ruang di dalam diri masing-masing untuk merasai hubungan kekeluargaan itu.
Percayalah cakap Kak Gee, Salina seorang ibu yang baik, dan Kak Gee percaya juga bahawa Salina mempunyai anak-anak yang baik. Ada ketika, kualiti masa itu lebih penting daripada kuantiti. Kak Gee doakan yang terbaik untuk Salina. Salam sayang daripada Kak Gee!
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
#Anak #Ibu Tunggal #PMTepiKakGee
;