PMTepiKakGee
#PMTepiKakGee: "Apa Dosa Saya Pada Ibu Tiri?" - Anak Tidak Faham Sering Dimarahi
Soalan:
Salam Kak Gee. Nama saya Ana dan saya benar-benar hidup tertekan sejak ayah berkahwin lain dua tahun lalu. Saya tak tahu apa salah saya, Kak Gee.
Awal-awal dulu Ibu tiri saya nampak sangat baik, tetapi sejak beberapa bulan berkahwin dengan ayah saya, perangainya jadi berubah. Ada saja yang tak kena dengan saya di matanya.
Advertisement
Paling saya tak tahan bila saya dapat peluang sambung belajar di Kuala Lumpur, dia minta ayah saya tak benarkan saya pergi. Saya betul-betul nak keluar dari rumah tu. Saya tak kisah pasal harta benda Kak Gee. Dia nak ambil semua, ambil lah. Saya hanya nak kebebasan saya untuk belajar dan bekerja sendiri.
Saya nak restu daripada ayah saya. Saya tak mahu keluar rumah begitu saja walaupun saya boleh buat benda tu. Harap Kak Gee dapat berikan sedikit pendapat dan nasihat untuk saya. Terima kasih Kak Gee.
Ana
Jawapan:
Waalaikumussalam Ana. Pertama sekali Kak Gee nak ucapkan tahniah kepada Ana kerana dapat tawaran melanjutkan pelajaran. Setiap daripada kita jika berpeluang, perlu untuk menimba ilmu sebanyak mungkin.
Kak Gee faham dengan perasaan Ana yang tertekan dengan sikap ibu tiri Ana. Pada Kak Gee, ianya lebih kepada perebutan kasih sayang. Kalau Ana boleh membayangkan kepada ibu tiri Ana bahawa bila Ana tiada di rumah nanti, ibu tiri akan dapat sepenuh kasih sayang daripada ayah Ana, mungkin dia akan berubah fikiran.
Ana juga perlu duduk berbincang dengan ayah Ana tentang masa depan Ana. Terangkan sebaik mungkin bahawa pelajaran boleh membantu hidup Ana pada masa hadapan dan menentukan corak hidup Ana.
Setiap ayah pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Ana perlu buktikan pada ayah Ana bahawa peluang yang Ana dapat ini tidak boleh dipersiakan begitu sahaja kerana ramai lagi yang mahu peluang menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Ana perlu yakin dengan diri untuk berbincang dengan cara baik. Jangan keluar rumah tanpa pengetahuan ayah Ana kerana perbuatan itu hanya akan menjejaskan hubungan baik Ana dengan keluarga.
Kak Gee harap Ana dapat menyelesaikan perkara ini dengan baik dan Kak Gee doakan semoga cita-cita Ana untuk menyambung pelajaran menjadi kenyataan. Salam sayang daripada Kak Gee!
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
Must-Watch Video