Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
PMTepiKakGee

#PMTepiKakGee: "Boleh Ke Kak Gee?" - Pemuda Tertarik & Bercinta Dengan Sepupu Sendiri

Kak Gee 30/08/2020 | 02:00 MYT
Soalan:
Salam Kak Gee. Nama saya Sham. Saya baru habis belajar kat oversea akhir tahun lepas. Bila saya balik dan dapat kerja, mak dan ayah saya bawaklah saya jumpa kaum keluarga yang dah lama tak jumpa lepas habis PKP.
Saya jumpalah dengan sepupu saya yang dulu masa kecik selalu bergurau senda dengan saya. Dia dah besar Kak Gee. Cantik pulak tu. Bertudung, lemah lembut, pemalu tak macam dia yang dulu.
Nak dijadikan cerita, saya dah jatuh hati dengan dia Kak Gee. Keluarga tak tahu, tapi kami dah suka sama suka. Boleh ke Kak Gee? Salah ke kalau saya nak kahwin dengan sepupu saya sendiri? Tolong saya Kak Gee, kami dah sama-sama jatuh hati.
Sham
Jawapan:
Waalaikumussalam Sham. Tahniah sebab dah habis belajar dan balik bekerja di negara tercinta. Curahkan bakti apa yang Sham belajar di luar negara untuk kebaikan negara kita sendiri.
Kak Gee faham ramai yang keliru sama ada perkahwinan sesama sepupu dibenarkan di dalam Islam. Sebelum inipun banyak juga yang berpendapat bahawa kalau kahwin sesama sepupu nanti dapat anak cacat.
Daripada apa yang Kak Gee tahu, risiko mendapat anak yang tidak sempurna bagi mereka yang berkahwin dalam keluarga terdekat hanya 7% hingga 8% sahaja berdasarkan kajian perubatan.
Kalau menurut hukum berkahwin dalam Islam pula, berkahwin dengan keluarga terdekat seperti sepupu adalah dibenarkan selagi bukan mereka bukan daripada golongan mahram.
Di dalam firman Allah SWT yang menerangkan wanita-wanita yang diharamkan berkahwin dalam ayat 24 surah al-Nisa’ yang membawa maksud:
“Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu…”
Juga firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 50 yang bermaksud: “…dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu…”
Rasulullah SAW sendiri berkahwin dengan sepupu baginda yang bernama Zainab, dan baginda sendiri mengahwinkan anak perempuan baginda Ummu Kultsum dan Ruqayyah dengan ‘Utbah dan ‘Utaybah, mereka adalah sepupu kepada anak perempuan baginda.
Jadi kalau Sham minta pendapat Kak Gee, tidak ada masalah langsung untuk Sham berkahwin dengan sepupu Sham itu. Paling terbaik, berbincanglah dengan keluarga supaya mereka juga merestui perkahwinan itu nanti. Jangan lupa jemput Kak Gee makan nasi minyak, ya!
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
#Cinta #PMTepiKakGee #Sepupu
;