Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
PMTepiKakGee

#PMTepiKakGee: Ibu Bimbang Anak Ketagih TikTok, Usia Baru 11 Tahun

Kak Gee 02/07/2021 | 14:20 MYT
Soalan
Hi Kak Gee, perkenalkan diri saya sebagai Puan H. Saya hanya ingin meluahkan rasa bimbang terhadap pendedahan dunia dan teknologi tanpa sempadan sekarang.
Saya ada seorang anak, tunggal dan sedang meningkat remaja. Perempuan berusia 11 tahun. Anak saya sangat berahsia dengan saya walaupun sudah banyak kali saya cuba berbaik dan menjadi sahabatnya.
Kebelakangan ini kerana sistem pembelajaran dari rumah atau PdPR, dia lebih banyak menghabiskan masa dengan tablet. Selepas waktu sekolah pula, barulah saya sedar dia akan menghabiskan masa di platform TikTok.
Sebelum ini saya dan suami sudah membuang dua kali akaun TikToknya (tahun lalu). Tapi rupa rupanya di belakang kami, dia membuat akaun baru dengan nama asing. Dan itu sangat mengejutkan saya. Apabila saya bertanya, dia hanya mendiamkan diri.
Risau saya Kak Gee. Apa yang perlu saya lakukan?
Yang Benar,
Puan H
Jawapan
Hi Puan H, terima kasih kerana sudi berkongsi luahan dan kebimbangan bersama Kak Gee.
Apa yang puan rasa dan bimbangkan, Kak Gee percaya turut dirasai oleh para ibu bapa lain juga yang mempunyai anak remaja dan terdedah dengan teknologi.
Pada amnya, tak ada yang salah dengan teknologi, tapi bagaimana kemajuan ini terlalu laju dan memberi pelbagai pengaruh kepada kita semua. Tentulah sebagai ibu dan bapa kita lebih bimbang bila tengok anak membesar dengan bermacam macam pendedahan yang ada di depan jari.
Ada Instagram, Facebook dan TikTok misalnya yang membuatkan kita lagi bimbang anak anak terpengaruh. Jadi saya faham sangat dengan dilema yang dilalui Puan H.
Beginilah Puan H, saya rasa sebagai ibu cubalah terus memenangi hati anak perempuan puan. Apalagi dia anak tunggal dan hanya puan serta anak sahaja perempuan di dalam rumah. Walaupun mungkin agak sukar kerana dia sedang membesar dan selalunya remaja punya kemahuan sendiri, namun tetaplah setia bersamanya.
Jadikan dia sebagai kawan, perhatikan apa yang dia minat dan fahami nalurinya.
Tentang TikTok, Kak Gee rasa, Puan H bertemanlah juga dengannya di platform tersebut. Jadi pengikutnya dan pantau kandungan serta siapa kawan kawannya di dalam itu. Mungkin dari situ puan akan lebih memahami anak puan.
Mungkin juga dia gunakan akaun TikTok untuk perkara bermanfaat seperti belajar melukis, melihat cara atau resipi masakan, jadi ada kebaikan juga untuk dirinya.
Tapi bila Puan H rasa dia menggunakan TikTok untuk hal tidak berfaedah, ajak dia dan suami berbincang secara harmoni. Jelaskan mengapa kalian melarang dia berada dalam aplikasi tersebut dan kesannya.
Perlahan lahan Puan H, Kak Gee doakan semoga anak boleh memberi kerjasama dengan kalian.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
#Anak #Media Sosial #Ibu #TikTok #PMTepiKakGee #Ketagih
;