PMTepiKakGee
#PMTepiKakGee; Ibu Stress Anak Tidak Bijak Macam Anak Orang Lain
SOALAN
Kak Gee, saya ibu kepada seorang anak lelaki. Usia anak lelaki saya sudah 11 tahun, tapi boleh saya katakan dia lemah dalam hampir semua mata pelajaran di sekolah. Kadang kadang bila pulang ke kampung saya segan saat berkumpul dengan saudara mara yang anak mereka memang pandai pandai semua.
Bila saya suarakan rasa bimbang ini dengan suami, dia akan memarahi saya. Anak saya pula sebenarnya bukan tak ada usaha nak perbaiki diri, cuma memang saya boleh katakan dia macam tak berminat dengan pelajaran. Apa yang dia suka adalah bersukan, terutama badminton.
Yang Benar,
Ibu
Kredit Foto Hiasan: Iluminasi
JAWAPAN
Hi Ibu. Kak Gee harap ibu berada dalam keadaan sihat. Ibu, jangan kecil hati kalau Kak Gee katakan ini.
Memikul tanggugjawab seorang ibu memang tak mudah, Kak Gee juga seorang ibu jadi Kak Gee faham apa yang Ibu bimbangkan.
Cuma untuk membandingkan anak anda kurang pandai berbanding anak orang lain, itu adalah sesuatu yang kurang baik.
Sepatutnya sebagai ibu dan bapa setelah kita sedar kelemahan anak, cari atau fokus terhadap kelebihannya. Bukan Kak Gee kata pelajaran tak penting, tapi daripada stress memikirkan anak tidak pandai dan membandingkan dia sampai anak pun terasa hati, adalah lebih baik mencari solusinya.
Ibu maklumkan anak sangat gemar bersukan terutama badminton. Sokong dia. Mungkin boleh daftarkan dia masuk di mana mana kelab badminton atau membelikan kelengkapan sukan yang terbaik buatnya.
Dan kemudian, buat perjanjian dengan anak. Minta dia belajar dengan lebih gigih supaya kelak dia boleh mendaftar di sekolah sukan sekali gus mencapai cita citanya.
Lagi pula usia anak Ibu baru 11 tahun. Masih terlalu muda untuk menentukan hala tuju dan kejayaan atau kegagalan yang akan dia kecapi di kemudian hari.
Jadi bermula dari hari ini, belajar positifkan diri dan berhenti melihat kelebihan orang lain berbanding anak anda.
Luangkan lebih banyak masa dan cuba fahami rentak dia yang sudah ingin melangkah remaja.
Kak Gee percaya, apabila anak melihat Ibu sangat memahaminya, dia pasti tidak sampai hati untuk mengecewakan anda juga. Dia juga pasti mahu yang terbaik buat dirinya dan membanggakan keluarga.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
Must-Watch Video