PMTepiKakGee
#PMTepiKakGee: Isteri Resah Suami Berubah Bila Dapat Kerja Baru
Soalan:
Salam Kak Gee. Saya berkenalan dengan suami saya sudah lebih dua tahun sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada awal tahun ini. Semuanya indah-indah belaka sehinggalah masuk musim PKP dan suami saya dibuang kerja.
Kami saling bekerja keras menampung hidup dan sama-sama buat keputusan untuk tidak mempunyai cahaya mata ketika ini kerana keadaan keluarga yang tidak mengizinkan.
Baru-baru ini suami saya mendapat pekerjaan baru dan kami berpindah jauh daripada keluarga. Di tempat baru, tanpa kenalan dan tanpa pekerjaan, saya jadi sangat risau. Tetapi suami meyakinkan saya bahawa pekerjaannya mampu menampung hidup kami.
Awalnya rasa agak bahagia, tetapi saya sering ditinggalkan kerana suami kerap terpaksa outstation bersama boss. Masuk bulan ketiga, saya semakin jarang berjumpa dengan suami. Balik kerja ada badminton lah, ada bowling lah dan macam-macam alasan lagi.
Sehinggalah kelmarin saya dapat tahu dia keluar bersama-sama intern di tempat kerjanya. Lebih menyedihkan, itu bukanlah kali pertama. Ketika saya menulis pada Kak Gee, waktu sudah pukul 1:40 pagi tetapi suami saya masih lagi belum balik ke rumah.
Apa yang saya perlu buat Kak Gee? Adakah perasaan saya terlalu cemburu? Dulu kami tak pernah bergaduh, tetapi sekarang ini hampir setiap hari ada sahaja yang tak kena. Tolong saya Kak Gee. Saya perlukan nasihat Kak Gee.
Aishah
Jawapan:
Waalaikumussalam Aishah. Kak Gee harap Aishah dapatkan rehat yang cukup dan jangan selalu berjaga lewat, nanti kesihatan Aishah pula yang terganggu.
Pada Kak Gee, setiap daripada kita pasti ada perasaan cemburu kerana cemburu itu menandakan kita sayang, kita prihatin dan kita mengambil berat. Apatah lagi orang yang kita cemburui itu adalah suami kita sendiri.
Jangan terlalu mendengar cakap orang. Duduk berbincang dengan suami dan ceritakan apa yang Aishah ceritakan kepada Kak Gee. Beritahu dia kenapa wujud perasaan cemburu di hati Aishah dan terangkan kepadanya kenapa dia sepatutnya melebihkan Aishah sebagai isteri daripada menghabiskan masa bersama kawan-kawan dengan bermain badminton atau bowling.
Jika dia benar-benar sayangkan Aishah, dia boleh turut sama kenalkan Aishah kepada rakan-rakan sekerjanya dan apabila meluangkan masa, dia juga boleh bawa Aishah bersama dan bukannya meninggalkan Aishah di rumah seorang diri.
Jika Aishah rasa sunyi, mungkin sudah tiba masanya Aishah mencari kerja yang boleh Aishah lakukan dan memastikan diri Aishah terjaga dengan mempunyai pendapatan sendiri. Sangat penting untuk seorang isteri (biarpun suami mampu) untuk mempunyai karier sebagai satu sumber pendapatan, mahupun sebagai menghabiskan masa lapang yang ada.
Perkahwinan Aishah masih baru dan masih banyak yang perlu dilalui bersama. Perkara yang sangat penting adalah komunikasi antara satu sama lain. Berbincanglah dan jangan tidur dalam keadaan merajuk dan marah. Terangkan kepada suami Aishah apa yang Aishah rasakan supaya dia lebih memahami.
Kita sebagai perempuan perlu juga mengambil langkah untuk bersuara dan jangan hanya memendam rasa. Mungkin dia tidak tahu keadaan dan perasaan yang kita lalui. Kita mahu dia faham dengan situasi dan itulah yang Aishah perlu lakukan.
Kak Gee doakan semoga Aishah berjaya dan suami Aishah memahami keadaan yang Aishah lalui. Salam sayang daripada Kak Gee!
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!