Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

#PMTepiKakGee; Lelaki Diperangkap Untuk Menikah, Mungkin Untuk Langsai Hutang Bakal Mertua

Kak Gee
08/09/2020 15:00 MYT
SOALAN

Salam Kak Gee, saya berumur 24 tahun. Saya ada masalah dengan keluarga selepas mereka mendapat tahu saya dan kekasih pernah ditangkap bersama di rumah sewa saya dahulu oleh keluarga dia sendiri.

Saya rasa diperangkap bila saya cakap saya hendak bertanggungjawab tapi mereka meminta RM15, 000 dahulu baru berkahwin dan mendesak saya beritahu kesalahan saya pada keluarga sedangkan saya hendak selesaikan secara baik dan tak mengaibkan sesiapa serta diri saya sendiri.

Tapi pihak perempuan secara senyap menghubungi pihak keluarga saya.Banyak pendapat masing masing dalam keluarga yang diberi pada saya. Saya diberi masa sampai bulan 10 untuk selesai semua.Dan saya mendapat satu maklumat yang pihak keluarga perempuan menanggung hutang dan perlu dibayar sebelum tahun depan.

Adakah saya ini dijadikan jalan penyelesaian hutang mereka. Adakah betul saya diperangkap? Saya buntu.

Yang Benar,

AA Boy



JAWAPAN

Hi AA Boy. Pertama, Kak Gee mahu anda buang prasangka adakah anda diperangkap atau hal hal yang lainnya.

Tetapi fokuslah kepada diri anda dan apa yang anda rasakan tentang masa depan anda bersama kekasih, keluarga anda dan bakal keluarga mertua anda. Pada saat ini, apa yang lebih penting adalah bagaimana anda membuat sebuah keputusan dengan tidak melibatkan emosi, tetapi rasional.

Apa yang telah keluarga kekasih lakukan kepada anda, tolak ke tepi dahulu. Tanya hati, tanya diri, solat hajat dan ikut kata hati anda.

Jika perlu meninggalkan kekasih dan melupakan impian bernikah, jangan pernah takut melakukannya kerana apa yang sedang anda hadapi adalah hidup dan masa depan anda. Ya, akan ada yang terluka, tetapi apa gunanya hidup merana di kemudian hari hanya kerana takut terluka pada hari ini?



Dan jika anda ingin menunaikan janji yang pernah anda lakukan, lakukan ia dengan ikhlas dan berlapang dada. Terima semua kemungkinan yang akan anda lalui di masa hadapan termasuk sikap dan layanan mertua juga liku liku hidup anda dan bakal isteri kelak.

Kak Gee tidak akan memberi anda jawapan kepada dilema anda. Tetapi mahu anda pertimbangkan ia sebaiknya dan tidak menjadikan diri sendiri mangsa keadaan hanya kerana tidak ingin dibenci atau mengecewakan sesiapa.

Good Luck ya AA Boy. Kak Gee yakin anda sudah boleh membuat keputusan yang terbaik.

Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!





#Viral #Viral #PMTepiKakGee #Perangkap
;