PMTepiKakGee

#PMTepiKakGee: “Orang Selalu Tuduh Ibu Tiri Jahat Tapi...” - Ibu Tiri Tak Tahan Dilayan Seperti Pembantu Rumah

gempak
Kak Gee
14/06/2020
02:45 MYT
Sponsor Banner
#PMTepiKakGee: “Orang Selalu Tuduh Ibu Tiri Jahat Tapi...” - Ibu Tiri Tak Tahan Dilayan Seperti Pembantu Rumah
Soalan:
Salam Kak Gee. Panggil saja saya Qaseh. Orang kata mak tiri ni jahat, suka dera anak tiri. Cerita drama pun kebanyakannya paparkan benda yang sama. Itu mungkin dulu.
Anak tiri zaman milenium ni lain. Mak tiri dah macam pembantu rumah pulak. Anak tiri dah besar panjang umur 26, 25, 22, 21, 20 dan 17 tahun, tapi semua kerja mak tiri kena buat. Masak langsung tak nak, kemas rumah dan basuh pakaian pun tak nak buat.
Dah makan tinggalkan meja dengan tak kemas, tak lap. Sudu sebiji pun tak nak basuh biar dalam sinki. Sebelum tidur dah kemas dan bersihkan dapur, bangun pagi dapur bersepah balik.
Jangankan nak hormat, beli makanan pun untuk mereka sahaja. Mak tiri beli apa saja mesti ingat satu rumah. Kena sindir dengan mereka pun dah jadi perkara biasa.
Bukan pembantu rumah, Qaseh
Jawapan:
Waalaikumussalam Qaseh. Kak Gee doakan Qaseh sihat-sihat selalu. Termenung seketika bila Kak Gee baca masalah Qaseh. Yalah, sepatutnya anak-anak tiri berasa beruntung mendapat ibu tiri yang sentiasa menjaga kebajikan mereka.
Kak Gee harap Qaseh jangan menyerah kalah. Maksud Kak Gee dengan menyerah kalah adalah tidak melakukan tugas-tugas ibu seperti yang Qaseh lakukan. Biarpun mereka bukan anak darah daging Qaseh, tunjukkan pada mereka kasih sayang Qaseh tiada batasannya.
Anak-anak tiri Qaseh mungkin cuba untuk mencari kesilapan Qaseh sebagai seorang ibu. Jangan berikan kepuasan pada mereka dengan mengalah. Tetapi pada masa yang sama, Qaseh perlu ‘mendidik’ mereka bahawa ibu tiri bukanlah pembantu rumah untuk membuat segala kerja mereka.
Walaupun masih menjalankan tugas-tugas ibu untuk anak-anak tiri Qaseh, hadkan tugasan Qaseh kepada yang perlu sahaja seperti memasak. Kak Gee rasa tidak perlulah Qaseh membasuh pakaian mereka kerana semuanya dah besar panjang. Basuh pakaian Qaseh dan suami Qaseh. Bila anak-anak tiri ini sudah tiada pakaian bersih yang hendak dipakai, pandai-pandai merekalah membasuhnya sendiri.
Begitu juga bila Qaseh sudah membersihkan dapur pada waktu malam dan paginya dapur kembali bersepah. Biarkan sahaja mereka membersihkan sepahan yang dibuat. Qaseh buat apa yang perlu sahaja dan paling penting jaga kasih sayang dengan suami.
Bercakap tentang suami, Kak Gee juga cadangkan supaya Qaseh berbincang secara baik dengan suami tentang perangai anak-anak tiri. Kalau mereka tidak boleh menghormati Qaseh sebagai ibu tiri, mereka juga tidak ada hak untuk melayan Qaseh seperti pembantu rumah.
Suami Qaseh perlu sedar bahawa dia berkahwin dengan Qaseh untuk dijadikan isteri dan bukannya pembantu rumah untuk anak-anaknya yang juga merupakan anak tiri Qaseh.
Bak pepatah Inggeris, ‘sometimes we have to be cruel to be kind’. Kak Gee harap Qaseh dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi sebelum Qaseh makan hati. Salam sayang daripada Kak Gee!
Itu kisah Qaseh, bagaimana pula dengan kisah seorang ustaz yang berperang dengan kisah lampau?
Jangan lupa saksikan Ada Apa Dengan Dosa yang mengangkat kisah seorang ustaz menghadapi dosa silam apabila pernah berzina hingga melahirkan anak luar nikah.
Lebih menakutkan, anak itu membesar sebagai seorang yang berfikiran bebas dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan hingga mahu membunuh diri.
Filem terbitan Pencil Pictures & Records itu dibintangi pelakon, Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, PU Riz, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.
Ada Apa Dengan Dosa akan ditayangkan di saluran Astro First bermula 4 Jun.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024