PMTepiKakGee
#PMTepiKakGee: "Teringin Nak Tatap Wajah Ibu" - Tragedi Tinggal Kesan Mendalam
Soalan:
Salam Kak Gee. Dengan bantuan seorang sepupu, saya menulis kepada Kak Gee. Ramai yang saja yang berikan nasihat, tapi saja saya nak dengar daripada orang luar dan bukan ahli keluarga.
8 tahun dulu saya bergaduh dengan Ibu. Teruk juga pergaduhannya menyebabkan saya ambil keputusan untuk lari dari rumah. Saya ke bandaraya di selatan tanah air. Sehinggalah satu ketika, saya terlibat dalam kemalangan. Kesan daripada kemalangan tersebut menyebabkan saya buta.
Hanya tahun lalu saya pulang ke kampung selepas tidak lagi mampu hidup sendiri. Saya bersyukur kerana Ibu saya tetap menerima saya. Cuma sejak pulang, saya tidak pernah berhenti menangis. Biarpun Ibu sudah memaafkan saya, tapi saya terlalu rindu untuk menatap wajahnya. Saban hari saya menangis dan berdoa semoga saya dapat menatap wajahnya walau seminit untuk saya memohon maaf daripadanya.
Saya tak tahu sama ada Kak Gee ada jawapannya. Tapi jika tidak ada pun tak mengapa, anggaplah saja luahan hati saya.
Zue
Jawapan:
Waalaikumussalam Zue. Sebak Kak Gee baca kisah Zue dan apa yang Zue lalui. Tetapi di sebaliknya, Kak Gee gembira kerana ibu Zue tetap menerima Zue dengan baik dan memaafkan Zue. Hanya hati seorang ibu sahaja yang tahu betapa sayangnya dia kepada Zue.
Kak Gee memang tidak mempunyai jawapan untuk Zue menatap wajah ibu. Itu hanya terserah kepada Yang Maha Kuasa. Apa yang Kak Gee boleh berikan jawapan adalah untuk Zue memaafkan diri Zue sendiri. Apa yang berlaku, biarkanlah dia berlalu pergi sebagai satu lipatan sejarah.
Perkara yang penting adalah Zue sudah kembali bersama keluarga dan bersama ibu yang tercinta. Gunakan masa yang ada untuk kembali berkasih sayang, menyimpul kasih dan menghilangkan rindu yang selama ini terpendam. Kak Gee yakin ibu Zue juga gembira kerana Zue sudah kembali ke pangkuannya.
Usah diungkit derita lama, buka buku baru dan melangkah dengan penuh keindahan. Lalui hari-hari mendatang dengan tabah dan lebih memahami antara satu sama lain. Salam sayang daripada Kak Gee!
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!