Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
PMTepiKakGee

#PMTepiKakGee: Jejaka Terkejut Sahabat Perempuan Mahu Bercerai, Ajak Dirinya Kahwin Gara Gara Tekanan Covid 19

Kak Gee 02/11/2020 | 15:00 MYT
SOALAN
Kak Gee, saya Alif. Saya ada seorang kawan perempuan yang telah berkahwin. Kami telah lama berkawan sejak zaman sekolah.
Boleh dikatakan sebelum kawan perempuan saya berkahwin, semua masalah atau apa saja tentangnya saya tahu. Namun selepas dia berkahwin, suaminya macam tak berapa suka kami masih berhubung dan baik. Saya tidak salahkan suaminya, sebab saya faham apa yang cuba dipertahankan.
Masalah timbul sejak lockdown. Suaminya hilang pekerjaan dan sejak itu saya banyak membantu kewangan mereka tanpa pengetahuan suaminya. Saya tolong sebab saya kasihan memandangkan saya punya pekerjaan yang lebih baik.
Dan sekarang kawan perempuan saya sudah mula mencurahkan perasaannya kepada saya. Dia katakan ingin bercerai dan hidup bersama saya. Dia kata dia salah pilih suami sehingga nak makan pun tak ada duit sekarang.
Apa yang patut saya lakukan Kak Gee?
Yang Benar,
Alif
JAWAPAN
Hi Alif. Kak Gee rasa apa yang anda lakukan adalah sebuah perbuatan terpuji iaitu menolong kawan yang sedang kesusahan untuk kelangsungan hidup. Maklumlah kita faham sejak Covid 19 melanda dunia termasuk Malaysia, banyak yang hilang pekerjaan dan hidup kais pagi makan pagi dan sebaliknya.
Maka apabila anda membantu rakan anda, sekurang kurangnya beban yang ditanggung menjadi sedikit ringan.
Hanya apabila rakan perempuan anda sudah mula mencurahkan perasaan dan mengatakan salah pilih suami, itu bukanlah perbuatan yang baik.
Nasihat Kak Gee, anda harus berterus terang dan beritahu kepadanya bahawa apa yang dikatakan olehnya itu tidak baik. Beritahu niat anda menolongnya bukan untuk memporakperandakan rumah tangga mereka, tetapi hanya mahu memastikan mereka cukup makan dan keperluan penting sepanjang tempoh perit ini.
Dan kalau boleh, jauhkan diri daripadanya. Tak manis seorang lelaki terlalu rapat dengan isteri orang walaupun dia adalah sahabat baik anda. Hal ini kerana kehidupannya sudah bergantung kepada suami.
Malah Kak Gee rasa tak elok juga rakan perempuan anda mengatakan dia menyesal dan tidak mampu bertahan dengan suami hanya kerana tidak lagi mempunyai kewangan yang kukuh.
Inilah yang dinamakan ujian hidup dan berumahtangga. Pastikan Alif kelak tidak salah memilih isteri. Susah dan senang seharusnya dilalui bersama sama.
Kak Gee: Jika ada sebarang masalah, hantarkan persoalan anda di laman sosial Astro Gempak, Facebook, Instagram atau Twitter... PM Tepi je!
#Viral #Viral #COVID 19 #PMTepiKakGee
;