Sekilas
- Pelakon Puteri Sarah Liyana dikejarkan ke hospital akibat ulser dan luka pada bahagian tekak selepas mengalami batuk yang semakin teruk dan kesakitan yang tidak tertanggung.
- Sarah berkongsi pengalamannya yang mula mengabaikan simptom batuk sebelum keadaan menjadi serius sehingga sukar makan dan minum, namun kini keadaannya semakin pulih selepas mendapat rawatan profesional.
- Dia menasihati orang ramai supaya sentiasa menjaga kesihatan dan tidak mengambil ringan simptom awal seperti batuk dan keletihan, kerana kesihatan adalah keperluan penting.
Pelakon, Puteri Sarah Liyana memaklumkan bahawa dirinya telah dikejarkan ke hospital akibat penyakit ulser dan mengalami luka pada bahagian tekak.
Menerusi perkongsian di Instagram, Sarah berkongsi bahawa pada awalnya dia menggagap dirinya hanya mengalami gejala batuk biasa, namun keadaan bertambah teruk apabila dia akhirnya sukar untuk mengisi perut.
"Untuk beberapa minggu ini, saya selalu tidur lewat hari-hari sebab saya kerja, buat assignment dan buat semuanya. Saya ingatkan saya boleh buat semua itu. Kemudian, saya dah mula batuk. Selama seminggu saya abaikan batuk itu kerana menyangka ia hanya batuk biasa.
"Namun, setiap malam keadaan menjadi semakin sukar. Tekak terasa seperti dicucuk jarum. Saya tidak boleh tidur, tidak mampu makan dan akhirnya minum pun menjadi terlalu sakit.
"Pukul enam petang semalam saya akhirnya tertidur kerana badan saya dah terlalu penat. Bila saya bangun, saya rasa lemah. Mak saya terus bawa saya ke hospital dan rupanya saya ada ulser dan kesan lebam pada bahagian tekak," tulisnya.
Dalam masa sama, Sarah merakamkan penghargaan kepada petugas kesihatan yang merawatnya dengan baik sepanjang di pusat perubatan tersebut, selain berkongsi keadaannya kini semakin beransur pulih.
"Saya hubungi doktor apabila kesakitan sudah tidak tertanggung dan beliau memberikan rawatan dengan penuh perhatian serta profesional.
"Alhamdulillah, keadaan saya semakin pulih. Mohon doakan kesihatan saya kembali baik," ujarnya.
Dalam pada itu, Sarah turut menasihati orang ramai agar sentiasa memberi perhatian pada kesihatan tubuh badan berbanding perkara lain.
"Ada masanya tubuh hanya berbisik sebelum akhirnya menjerit. Kalau batuk, demam, selalu penat atau rasa ada sesuatu yang tidak kena pada badan, jangan ambil mudah. Rehat secukupnya, makan dengan baik, minum air dan tidur yang cukup.
"Semuanya boleh tunggu, tetapi kesihatan tidak.
"Kesihatan bukan kemewahan, tetapi satu keperluan. Jaga diri sebelum tubuh memaksa kita untuk berhenti," katanya.